Bermula 7 Oktober lalu, Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara mencipta kelainan dengan memberi wang saku kepada pelajar yang menunaikan solat Subuh di masjid itu.
Amaun yang diberikan adalah RM3 untuk murid sekolah rendah manakala RM5 untuk pelajar sekolah menengah.
Idea Unik Mengimarahkan Masjid
Menurut posting Masjid Saidina Umar Al-Khatab di Facebook, perkara pertama baginda Nabi Muhammad SAW lakukan sewaktu berhijrah adalah mendirikan masjid (Masjid Quba’) untuk menghidupkan JEMAAH. Masjid Saidina Umar Al-Khattab dengan kesedaran itu menjemput semua untuk Solat Subuh berjemaah di masjid.
Maka idea tersebut tercetus ketika kesemua Ahli Jawatankuasa (AJK) masjid mengadakan mesyuarat. Pelajar yang berpakaian sekolah akan diberikan wang saku sebagai pembakar semangat dan menaikkan lagi minat mereka untuk ke masjid.
Menurut Ketua pentadbir masjid, Mohammad Akmal Abdul Aziz, inisiatif yang dilakukan pada hari Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum selama seminggu itu berjaya membuahkan hasil apabila lebih daripada tujuh orang remaja solat Subuh bersama ahli keluarga di masjid tersebut.
Selain mengimarahkan masjid, AJK mahu menarik anak muda untuk hadir solat Subuh berjemaah di masjid. Secara tidak langsung, ia mengajak ibu bapa untuk turut serta bersama mereka. Ia satu pendekatan yang amat unik dan nampaknya mampu menarik minat kariah di sini.
Banyak Lagi Aktiviti Di Masjid
Difahamkan bahawa sumber kewangan yang diperoleh merupakan hasil sumbangan ahli kariah dan korporat.
Selain pemberian wang saku, pelbagai program bermanfaat seperti ini dijalankan dari minggu ke minggu.
Antara pengisian program dan aktiviti yang akan diadakan untuk golongan muda yang berkunjung ke masjid itu ialah program Movie Night (kisah rasul), pertandingan beyblade dan hafazan.
Rata-rata netizen memuji usaha pengurusan Masjid Bukit Damansara dalam menarik minat golongan muda untuk berkunjung ke masjid. Netizen turut berharap masjid-masjid di kawasan lain dapat menjadikan Masjid Bukit Damansara sebagai contoh dalam usaha mengimarahkan masjid.
Sungguh banyak kelebihan berjemaah bagi yang mengetahuinya.
Adik-adik jangan lupa datang solat sekali, boleh dapat wang saku!
*Sumber: Sinar Harian, Masjid Saidina Umar Al-Khattab Bukit Damansara