Umum sedia maklum mengenai satu berita sedih dan rakaman kamera litar bertutup (CCTV) yang tular memaparkan seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun maut apabila dilanggar van sekolah dinaikinya di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, semalam.
Dalam kejadian 12.10 tengah hari, Nur Alisha Safiya cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta.
Baca juga: Kanak-Kanak Usia 7 Tahun Maut Digilis Van Sekolah
‘NAK PERGI JAUH’-TAK SANGKA ALISHA PERGI SELAMANYA
Menerusi laporan terbaharu BH Online, menurut Mahani Hamid, nenek kepada Alisha, menantunya ada memberitahu yang arwah mahu pergi jauh dan meninggalkan keluarga.
“Menantu beritahu, arwah pernah maklumkan mahu pergi jauh meninggalkan keluarga. Tak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” katanya.
Mangsa merupakan anak bongsu daripada tiga adik beradik kepada pasangan kakitangan kerajaan di Putrajaya, Mohd Azlin, 47, dan Mahani Saad, 43. Mahani berkata, hujung minggu lalu, Nur Alisha Safiya pulang ke kampung di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang bersama ibu bapanya.
Tambahnya, kesemua lima anaknya bersama cucu berkumpul di kampung untuk menziarah suaminya, Saad Hashim, 70, yang menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu.
“Ketika itu, Nur Alisha Safiya cukup ceria, berbeza dengan sebelum ini yang mana dia seorang yang pemalu serta pendiam. Pada malam pertama di kampung, Nur Alisha Safiya tidak tidur hingga pagi dan menghabiskan masa bermain bersama sepupunya.
“Ketika mahu pulang, Nur Alisha Safiya bersalaman dan memeluk saya dengan lama, berbeza sebelum ini,” jelasnya.
Abang sulung Nur Alisha Safiya, Muhammad Aiman Firdaus, 16, berkata ketika kejadian dia berada di rumah selepas tamat sesi persekolahan dan dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh bapa saudaranya yang datang ke rumah.
“Nur Alisha Safiya sangat rapat dan manja dengan saya kerana saya sering membantunya menyiapkan kerja sekolah selain dijadikan rujukan jika dia berdepan masalah pembelajaran.
“Pemergian Nur Alisha Safiya cukup mengejutkan, rumah pasti sunyi selepas ini. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT,” katanya.
Sumber: BH Online