Nama Jep Sepahtu kembali menjadi perhatian selepas perkongsian rekod pembayaran zakat perniagaannya mencecah kira-kira RM1.935 juta sepanjang 10 tahun.
Tindakan pelawak itu turut mendapat pujian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, yang menyifatkannya sebagai inspirasi kepada golongan asnaf di Wilayah Persekutuan.
MENTERI AGAMA PUJI JEP SEPAHTU, SIFATKAN INSPIRASI KEPADA GOLONGAN ASNAF
Menerusi hantaran di Facebook, Dr. Zulkifli menyampaikan penghargaan kepada Jep atau nama sebenarnya Mohd Nadzri Zainal Abidin kerana berkongsi rekod pembayaran zakat dari 2016 hingga 2025.
Menurut beliau, tindakan tersebut boleh dijadikan contoh positif kepada masyarakat, khususnya dalam melaksanakan tanggungjawab agama dan membantu golongan yang memerlukan.
“Alhamdulillah, setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan buat Saudara Jep Sepahtu (Mohd Nadzri Zainal Abidin) yang benar-benar menjadi wira serta inspirasi kepada para asnaf di Wilayah Persekutuan.
“Kita ambil dari sudut positif, dan doakan yang baik-baik untuk semua,” katanya menerusi satu kenyataan di media sosial.
Menurut Dr. Zulkifli, tindakan Jep mendedahkan rekod pembayaran zakat selama sedekad merupakan langkah berani dalam menegakkan ketelusan, mempertahankan integriti dan menangkis fitnah.
“Langkah beliau berkongsi rekod pembayaran zakat dari tahun 2016 hingga 2025 yang mencecah kira-kira RM1.935 juta merupakan satu tindakan berani demi menegakkan ketelusan, mempertahankan integriti, dan menangkis fitnah, sekali gus membuktikan pelaksanaannya secara telus berlandaskan kewajipan agama.
“Pengorbanan dan ketelusan figura awam seperti beliau wajar dijadikan ibrah dan iktibar terbaik buat seluruh masyarakat,” katanya.
Terdahulu, Jep berkongsi beberapa keping resit pembayaran zakat perniagaannya bagi tempoh 2016 hingga 2025. Antara yang mencuri perhatian ialah bayaran sebanyak RM300,000 pada tahun lalu.
Jep menjelaskan bahawa perkongsian tersebut bukan bertujuan untuk menunjuk-nunjuk, sebaliknya bagi membuktikan bahawa dia telah melaksanakan tanggungjawabnya dan tidak mengambil hak orang lain.
Zakat bukan sekadar kewajipan, bantu golongan memerlukan

Facebook Jep Sepahtu.
Dalam perkongsian sama, Dr. Zulkifli turut mengingatkan masyarakat bahawa zakat bukan sekadar kewajipan untuk menyucikan harta, malah berperanan membantu kelangsungan hidup golongan yang memerlukan.
Beliau menjelaskan bahawa amalan berzakat dapat mengukuhkan persaudaraan dan keadilan sosioekonomi umat Islam melalui pembelaan terhadap golongan asnaf.
Sehubungan itu, beliau mengajak masyarakat mencontohi sikap positif tersebut dengan menunaikan kewajipan zakat melalui saluran yang disediakan.
“Ayuh kita contohi teladan mulia ini dan tunaikan kewajipan harta – jom bayar zakat di Pusat Pungutan Zakat!” tambahnya lagi.
Sumber: Facebook YB Senator Dr. Zulkifli Hasan
Baca juga: Tular Dakwaan Individu Islam Lakukan Ritual Agama Lain, JAIS Siasat Kemungkinan Ada Suntingan AI

