Perbuatan khianat di sebuah masjid di Kampung Berangan, Tumpat, bukan sahaja menyebabkan pintu kaca pecah, malah ruang solat lelaki turut tercemar dengan cecair berbau busuk hingga kerja sertu perlu dilakukan secara berperingkat selama tiga hari.
Kejadian berlaku kira-kira jam 4.35 pagi Isnin lalu di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, apabila seorang lelaki dipercayai menceroboh masuk sebelum menuang cecair berwarna coklat kehijauan yang mengeluarkan bau kurang menyenangkan pada karpet.
Baca juga: Isu Panas Doktor Lelaki Nak Lihat, Sentuh Berlapik Kemaluan Wanita Untuk Bersalin… Ini Hukumnya!
LELAKI CEROBOH MASJID, TUANG CECAIR BUSUK DI RUANG SOLAT LELAKI

Tangkap layar dari CCTV.
Polis menerima maklumat berhubung kejadian itu pada 6.35 pagi hari kejadian dan kini sedang mengesan lelaki yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan berkenaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 427 KK.
Kotoran basah sebabkan proses sertu lebih rumit
Selepas kejadian itu, kerja pembersihan dilakukan sebelum proses sertu dimulakan pada Selasa.
Kontraktor pencuci, Mohd Hanif Mohammad Noor berkata, pihaknya terlebih dahulu membuang kotoran yang terdapat pada karpet, dinding serta meja ceramah.
Bagaimanapun, keadaan kotoran yang dipercayai basah menyebabkan proses pembersihan perlu dilakukan dengan lebih teliti kerana bimbang ia telah meresap atau merebak ke kawasan lain.
“Hari ini (Selasa) proses sertu bermula dengan menggunakan campuran air tanah, diikuti enam kali basuhan dengan air mutlak sebelum kerja mencuci keseluruhan karpet dijalankan yang dijangka selesai esok.
“Prosesnya agak rumit dan memakan masa kerana walaupun cecair yang dituang itu di beberapa tempat sahaja tapi kita bimbang ia menyerap dan disebabkan rasa was-was itu, saya memutuskan untuk mencuci keseluruhan ruang itu.
“Lagipun kotoran itu dianggap berat kerana membabitkan najis binatang, serpihan tulang, bulu serta ulat biarpun belum menerima pengesahan lagi jenis kotorannya dari pihak berkaitan,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.
Mohd Hanif yang mempunyai sijil untuk menjalankan proses berkenaan berkata, dia sudah biasa mengendalikan kerja sertu di masjid.
Sebelum ini, khidmatnya pernah diperlukan bagi membersihkan kawasan yang dimasuki anjing atau babi. Namun, proses berkenaan lebih mudah kerana hanya melibatkan laluan kering haiwan terbabit.
“Bagaimanapun kali ini agak rumit kerana membabitkan kotoran yang basah dan saya bersama seorang rakan perlu menjalankan proses pembersihan secara berperingkat dengan masa yang diambil selama tiga hari,” katanya.
Tak tergamak ambil bayaran, anggap amal jariah

Gambar ihsan Mohd Hanif Mohammad Noor: Mohd Hanif sedang menyertu masjid yang terkena cecair disyaki najis.
Bagi Mohd Hanif, kerja yang dilakukan kali ini bukan semata-mata mencari pendapatan.
Lelaki berusia 36 tahun itu memilih untuk membantu pihak masjid tanpa mengenakan bayaran walaupun kos perkhidmatan berkenaan boleh mencecah ribuan ringgit.
“Saya tak tergamak nak ambil bayaran kerana kosnya agak mahal malah boleh mencecah RM6,000 jika ikut keluasan kawasan terbabit.
“Jadi saya anggap apa dilakukan itu sebagai amal jariah dengan niat membantu pihak masjid,” katanya lagi.
Mohd Hanif yang menetap di Rantau Panjang, Kelantan berkata, dia dihubungi pihak pengurusan masjid untuk membantu membersihkan kawasan berkenaan selepas kejadian.
Katanya, bau yang terdapat pada permaidani membuatkannya teringat kepada bau najis babi yang pernah dihidu sebelum ini, namun dia tidak dapat memastikan jenis kotoran berkenaan.
“Sebaik tiba di masjid, saya dapati bau najis pada permaidani itu seperti najis babi kerana pernah terbau yang sama.
“Cuma tak pasti kebenarannya dan disebabkan was-was, saya maklumkan kepada pihak pengurusan masjid.
“Kemudian, saya minta izin untuk sertu sebelum bersihkannya bermula semalam dan disambung ke hari ini (Selasa),” katanya.
Kerja berkenaan dilakukannya bersama dua pekerja dan dijangka selesai sebelum masjid boleh digunakan semula.
Menurutnya, dia sudah menawarkan khidmat pembersihan sejak lapan tahun lalu dan bersyukur masih diberi peluang untuk membantu pihak masjid dalam keadaan sedemikian.
Masjid masih boleh digunakan

Gambar Siti Rohana Idris: Pekerja membersihkan kawasan keseluruhan ruang solat lelaki di Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Kota SPP Warisan, Kampung Berangan, disertu selepas dikotori cecair dipercayai campuran najis binatang, bulu, serpihan tulang serta ulat.
Sementara itu, bilal Masjid Al-Aziz Al-Hadi, Hasbullah Hassan berkata, kejadian berkenaan mengejutkan pihak pengurusan kerana sebelum ini tidak pernah berlaku sebarang kejadian tidak diingini di masjid terbabit.
Bagaimanapun, jemaah masih boleh menggunakan bahagian tingkat dua masjid kerana proses sertu hanya membabitkan tingkat bawah yang menempatkan ruang solat lelaki.
Hasbullah berharap kejadian seumpama itu tidak berulang dan menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis.
“Diharapkan kejadian ini tidak berulang lagi dan kita serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Mohd Hanif turut meluahkan rasa sedih dengan kejadian yang berlaku dan berharap perkara sama tidak berulang.
“Jujurnya sedih bila jadi kes sebegini namun saya difahamkan pihak masjid sudah membuat laporan polis.
“Jadi biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut cuma berharap kejadian sama tidak berulang,” katanya yang menawarkan khidmat pembersihan sejak lapan tahun lalu.
