Sihat

Oh, Baru Tahu! Ini Maksud Kod Plastik Yang Selamat Untuk Diguna Semula

75
SHARES
kod plastik malaysia

Perasan tak, bila kita minum air mineral atau guna bekas plastik, akan ada satu cop segitiga bernombor iaitu kod plastik di bahagian permukaan bawah atau labelnya.

Sistem kod ini telah dicipta oleh The Society of Plastics Industry (sebuah persatuan perdagangan di Amerika Syarikat) pada tahun 1988 bagi tujuan kitar semula.

Sistem kod ini terdiri daripada Nombor 1 hingga 7.

Setiap nombor pada simbol kitar semula tersebut menunjukkan jenis-jenis bahan plastik yang digunakan untuk menghasilkan pembungkus atau bekas makanan dan minuman plastik.

kod plastik

Kebanyakan bahan pembungkus atau bekas makanan / minuman plastik diperbuat daripada enam (6) jenis resin yang biasa: polyethylene terephthalate (PET atau PETE), high-density polyethylene (HDPE), polyvinyl chloride (PVC atau V), low-density polyethylene (LDPE), polypropylene (PP) dan polystyrene (PS).

Setiap jenis resin ini diwakili oleh ‘nombor’ di bawah Sistem Kod Identifikasi Plastik.

Jom Kenali Jenis / Kod Plastik Yang Selamat Untuk Diguna Semula!

kod plastik

Kod 1: POLYETHYLENE TEREPHTHALATE (PET) – Biasanya Pada Botol Air Mineral

Dikenali dengan singkatan PET atau PETE.

Plastik jenis ini selalu digunakan dalam industri minuman berbungkus seperti air mineral, jus, dan minyak.

Jika botol ini terdedah kepada suhu tinggi atau bahan pencuci, ia boleh terurai dan membebaskan bahan kimia berbahaya iaitu antimoni.

Tidak disyorkan untuk guna semula.

Kod 2: HIGH-DENSITY POLYETHYLENE (HDPE) – Biasanya Pada Botol Susu

Dikenali sebagai HDPE.

Jenis plastik ini diperbuat daripada petroleum dan mempunyai tekstur yang keras, tidak lutsinar dan tahan suhu tinggi.

HDPE biasanya digunakan dalam pembuatan alat permainan kanak-kanak, bekas sabun pencuci, jar susu dan juga kerusi/meja lipat.

Belum ada kajian yang menunjukkan bahawa plastik jenis ini berbahaya.

Namun begitu kebanyakan plastik jenis ini digunakan sebagai bekas penyimpanan barang bukan jenis makanan.

Kod 3: POLYVINYL CHLORIDE (PVC) – Biasanya Pada Pelampung

Juga dikenali sebagai PVC variasi polimer termoplastik.

Plastik jenis ini selalunya dicampur dengan phthalates (sejenis plastisizer) untuk menjadikan plastik jenis ini lebih lembut dan boleh dilenturkan.

Contoh bahan seperti shower cap, tilam air, alat permainan mandi kanak-kanak, plastik yang boleh ditiup seperti pelampung dan juga pakaian.

Plastik jenis ini bertoksik dan tidak selamat digunakan untuk tujuan penyimpanan makanan.

Antara toksik tersebut adalah seperti plumbum, DEHA, Dioxins, Ethylene dichloride, dan juga Vinyl chloride.

Kesan buruknya terhadap kesihatan termasuklah kurang berat badan sewaktu lahir, masalah pembelajaran dan tingkahlaku dikalangan kanak-kanak, sistem imunisasi badan yang rendah, gangguan hormon, kanser, kecacatan waktu lahir dan juga perubahan genetik.

Kod 4: LOW-DENSITY POLYETHYLENE (LDPE) – Biasanya Pada Beg Plastik

Juga dikenali secara ringkasnya sebagai LDPE.

Seperti HDPE, LDPE juga adalah termoplastik yang diperbuat daripada petroleum. Plastik jenis ini mudah lentur dan kuat tetapi boleh dikoyakkan.

Ia selalunya digunakan untuk lapisan dalam dan luar kotak minuman (menjadikan kotak tersebut kalis air), bakul plastik beli-belah, dan juga bahan pembungkus.

Setakat ini belum ada kajian yang menunjukkan bahawa plastik jenis ini berbahaya atau memberi kesan terhadap kesihatan kita.

Oleh itu, boleh dikatakan plastik jenis ini selamat untuk digunakan semula untuk tujuan penyimpanan makanan atau minuman.

NOTA: Bekas penyimpanan makanan jenama ‘Tupperware’ mempunyai kod no 4

Baca juga: 7 Cara Hilangkan Bau Tak Sedap Dalam ‘Tupperware’ & Bekas Makanan

Kod 5: POLYPROPYLENE (PP) – Biasanya Pada Bekas Plastik Tahan Microwave

Polypropylene atau PP adalah polimer termoplastik.

Plastik jenis ini besifat tahan lasak, kuat, tahan kepada suhu tinggi dan juga boleh menghalang kelembapan daripada memasuki bahan yang dilindunginya.

PP selalunya digunakan sebagai bekas yogurt, bekas marjerin, gelas plastik, botol susu bayi, barang dapur, bekas plastik microwave.

PP selamat digunakan.

Belum ada kajian menunjukkan bahawa plastik jenis ini berbahaya jika digunakan semula.

Kod 6: POLYSTYRENE ATAU POLISTIRENA (PS) – Bekas Makanan Styrofoam

Polystyrene yang dikenali secara ringkasnya sebagai PS adalah plastik yang berasaskan petroleum.

Ianya selalunya wujud dalam keadaan keras ataupun dalam bentuk styrofoam.

Polistyrene digunakan secara meluas dalam pembungkusan dan juga sebagai penebat haba.

Contoh kegunaan yang sangat meluas ialah bekas bungkus makanan yang berbentuk Styrofoam berwarna putih (bekas polistrin).

Styrene (asas molekul polystrene) diklasifikasikan sebagai bahan beracun oleh IARC.

Pendedahan dalam jangka masa panjang kepada styrene (polystyrene) akan mengakibatkan kesan neurotoksik (cepat letih, rasa gugup yang keterlaluan, dan kesukaran untuk tidur), hematologi (menjejaskan kandungan darah), cytogenetic (kecacatan genetik), dan juga kesan karsinogenik.

Kod 7: LAIN-LAIN (OTHERS)

Plastik yang mempunyai kod nombor 7 adalah plastik yang mana bahan asasnya tidak dapat ditentukan dengan jelas.

Kod nombor 7 bermaksud lain-lain yang mana ia mungkin mengandungi bahan beracun dan juga tidak.

Selalunya ia dilabelkan dengan ringkasan PC, yang bermaksud Polycarbonate yang mana mengandungi BPA dan bahaya kepada kesihatan kita.

Biasanya plastik dengan kod nombor 7 ini digunakan untuk pendawaian elektrik, bekas CD atau DVD dan juga botol bayi.

Elakkan daripada memakai semula botol plastik yang mempunyai kod no 7 kerana kita tidak pasti sama ada plastik yang digunakan memudaratkan kesihatan atau tidak.

 

*Sumber: KKMFood Safety Malaysia

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×