Asuh

Benarkah Bijirin Bayi Komersial Sekadar ‘Junk Food’?

493
reads
Bijirin bayi komersial

Nampaknya, ramai yang mengecam tindakan seorang ibu yang cuba memberikan bijirin bayi komersial kepada anaknya. Sedangkan, beliau hanya meminta pendapat jenis susu yang sesuai untuk dibancuh bersama bijirin tersebut.

 

 

Bijiran bayi komersial

 

Lagi antara komen pembaca:

Screenshot_2015-12-05-16-26-48 Screenshot_2015-12-05-16-27-40

Sememangnya, menyediakan makanan sendiri seperti puree buah dan sayuran dijamin lebih bersih, selamat, dan jimat. Namun sebahagian ibu bapa memilih untuk memberikan bijirin bayi yang dibeli dari pasaraya atas alasan yang tersendiri: Ada yang tidak cukup masa. Ada yang selalu on-the-go. Ada juga bayi yang cerewet dan menolak semua makanan yang kita buat sendiri!

Akhirnya, mesti ada ibu bapa yang kecewa dan bertukar kepada bijirin bayi sahaja. Dari segi penyediaan, ia ternyata lebih senang dan mudah dibawa ke mana-mana.

Mengapa Ada Yang Menganggap Bijirin Bayi Komersial Sebagai ‘Junk Food’?

Tentulah ekstrim untuk kita melabel bijirin bayi komersial ini sebagai ‘junk food’ kerana hampir kesemua produk yang berada di pasaran terkemuka Malaysia telah ditapis dan mematuhi piawaian serta kod etika pemakanan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Walaupun begitu, tidak dapat dinafikan bahawa terdapat sesetengah bijirin bayi komersial (bukan semua, ya!) yang mempunyai ciri-ciri mirip dengan ‘junk food’.

Antaranya:

 1. Lebih Kandungan Gula

Menurut Panduan Pemakanan Bayi yang diterbitkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, semasa memasak makanan bayi sendiri di rumah, kita tidak disarankan untuk meletak sebarang gula atau garam di dalam makanannya.

Tetapi, banyak kajian dan laporan telah mendedahkan lebihan gula yang terkandung dalam kebanyakan produk makanan bayi komersial, termasuklah biririn. Dalam sebuah kajian yang diterbitkan oleh Oxford Journal pada tahun 2010, 63% daripada makanan bayi komersial yang ditinjau di Kanada dikaitkan dengan lebihan gula dan garam  (kebanyakannya gula).

Sekiranya bayi diperkenalkan dengan terlalu banyak gula dan garam sejak kecil, mereka akan cenderung terhadap makanan manis dan masin apabila meningkat usia.

Antara alasan utama pengeluar mencampurkan banyak perasa seperti gula dan garam ke dalam makanan iaitu untuk menambah kelazatan, menjimatkan kos dan sekaligus mengaut lebih keuntungan.

Hal ini perlu dipandang serius kerana gula bukan sahaja menjadi punca obesiti, tetapi juga kerosakan gigi dan penyakit-penyakit lain di kalangan kanak-kanak.

2. Makanan yang Diproses

Memang benar ada beberapa jenis bijirin bayi komersial diberikan nilai gizi dan kandungannya pada label. Namun, ini tidak bererti kandungan gizi di dalamnya sempurna.

Menurut sebuah buku terbitan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), makanan bayi komersial selalunya dipekatkan dan diproses berkali-kali. Perkara sebegini memungkinkan nutrisinya asalnya terhapus. Jika diambil terlalu kerap, ia bukan sahaja kurang berkhasiat, malah bahan pewarna dan pengawet yang terkandung di dalamnya mampu menjejaskan sistem pencernaan bayi.

3. Tidak Menggambarkan Makanan ‘Sebenar’

Bayi sepatutnya diperkenalkan kepada pelbagai kumpulan makanan untuk mendapatkan khasiat yang seimbang. Biasanya, rasa dan tekstur makanan bayi yang dibeli adalah serupa.

Oleh itu, pemberian makanan bayi komersial yang dijadikan rutin sebenarnya mengurangkan peluang bayi anda untuk mencuba pelbagai jenis rasa, warna dan tekstur makanan sebenar. Ini menyebabkan bayi susah menerima kepelbagaian rasa dalam makanan lain yang anda sediakan.

Panduan Sihat Memilih dan Menyediakan Makanan Bayi Komersial

Walaupun terdapat beberapa kesan yang dinyatakan di atas, ia tidak bermaksud anda tidak boleh langsung memberikan bijirin bayi komersial. Tetapi, anda mungkin boleh mengawal dan memilih sumber yang baik serta mempelbagaikan cara hidangannya.

1. Produk ‘homemade baby food’ alternatif paling sihat

Tahukah anda, di Malaysia kini terdapat beberapa produk tempatan seperti Shuugies dan Baby Eats By Justlixa yang menghasilkan ‘homemade baby food’ yang selayaknya diberi perhatian. Produk seperti ini adalah lebih segar dan mempunyai jangka hayat yang lebih pendek kerana tidak mengandungi sebarang gula, garam, bahan perasa mahupun pengawet.

Selalunya, ia terdapat dalam bentuk puree dan dijual dalam keadaan sejukbeku (frozen). Ianya disediakan di rumah dan tidak diproses seperti makanan bayi yang dijual di pasaraya terkemuka. Namun, seperti produk handmade yang lain, ianya mungkin agak terhad dan sukar didapati di kawasan tertentu.

2. Pilih daripada rangkaian makanan organik

Di hampir semua pasaraya kini terdapat bermacam-macam produk dan jenama bijirin bayi yang dihasilkan secara organik. Antara jenama produk organik komersial yang terkenal ialah Gerber, Organix, dan Heinz. Berbanding produk biasa, produk makanan bayi organik adalah mahal harganya.

Pernahkah anda merasa sendiri makanan organik bayi? Produk yang elok sebenarnya mempunyai rasa yang sedikit tawar, masam, dan mungkin tidak begitu enak pada lidah kita. Tetapi, sebenarnya langit-langit mulut bayi belum berkembang sempurna dan dia belum memiliki kecenderungan rasa manis atau masin.

Jadi, makanan yang kita anggap tawar untuk bayi sebenarnya tiada masalah untuknya!

3. Teliti label

Semasa merujuk ramuan pada label pek makanan bayi, bahan yang disenaraikan paling dahulu dalam senarai ramuan menunjukkan bahawa ia merupakan kandungan yang paling banyak dalam makanan tersebut. Oleh itu, pastikan bijirin penting atau buah-buahan disenaraikan dahulu dalam senarai ramuan – bukannya air atau gula.

Bayi sebenarnya tidak memerlukan sebarang gula dalam diet hariannya. Namun, gula ini biasa terdapat dalam pelbagai bentuk. Oleh itu, jauhi produk yang mengandungi gula tambahan yang diungkap dalam bahasa kimianya. Antaranya dekstrosa, sukrosa, maltosa, fruktosa, sirap jagung, sirap mapel, dan sebagainya.

Garam pula dikenal sebagai sodium pada pek makanan. Lebihan garam dikhuatiri boleh merosakkan buah pinggang bayi anda yang masih belum matang.

Seperti gula, garam juga tidak digalakkan dan tidak perlu ditambah dalam makanan bayi. Namun, sebagai rujukan, jumlah garam yang dibenarkan untuk bayi yang berusia 12 bulan ke bawah ialah 1 gram sehari (0.4 gram sodium), manakala 1-3 tahun 2 gram sehari (0.8 gram sodium).

4. Tambah sendiri buah dan sayuran segar

Jika diteliti, setiap bijirin bayi komersial akan memberikan cadangan hidangan di mana ia mengesyorkan resipi dan cara penyediaan. Hampir kesemua cadangan hidangan akan menganjurkan supaya anda menambah sendiri khasiat sayuran dan buah-buahan segar ke dalam bijirin yang telah dibancuh.

Ini menunjukkan bahawa bijirin ini tidak sepatutnya dihidangkan begitu sahaja. Anda boleh memperkenalkan makanan baru kepada bayi melalui cara ini secara perlahan-lahan.

5. Beri Ketika Perlu

Seelok-eloknya, cuba hadkan pemberian makanan bayi komersial ini pada waktu yang benar-benar memerlukan seperti ketika di rumah pengasuh, outstation, atau semasa percutian. Jangan jadikan ia sebagai hidangan utama si kecil setiap hari.

Kita sebagai dewasa pun, kalau diberi makan makanan dalam pek setiap hari mesti naik bosan juga, kan?

6. Bancuh dengan susu badan

Jika bayi anda menyusu badan secara ekslusif, anda boleh membancuh bijirin kosong dengan susu ibu yang telah diperah. Jika terpaksa menggunakan susu formula, pastikan ianya diyakini sesuai dengan bayi anda dan tidak menyebabkan alahan.

7. Lebih berhati-hati memilih makanan jejari

Walaupun pilihan makanan jejari yang terbaik ialah buah-buahan lembut yang boleh dipegang seperti pisang atau betik, namun ia mungkin kurang praktikal pada sesetengah waktu.

Namun, anda perlu lebih teliti dalam memilih makanan jejari (‘finger food’) atau biskut bayi di pasaran.

Ini kerana, sebuah laporan terbaru bertarikh Julai 2015 telah mendedahkan kajian di George Institute, Australia yang menemui kebanyakan produk makanan bayi yang paling tidak sihat adalah dalam jenis makanan jejari .

Amalan Makanan Sihat Bermula Sejak Kecil

Bijirin bayi komersial

Foto Kredit: vegkitchen.com

Seelok-eloknya, cubalah memberi makanan segar dan dimasak sendiri kerana kita dapat mengawal kualiti nutrisinya. Kementerian Kesihatan Malaysia menyediakan sebuah Garis Panduan Pemberian Makanan Bayi dan Kanak-kanak Kecil yang boleh dijadikan rujukan.

Namun, tidak dinafikan bahawa ada masanya kita tidak berkesempatan menyediakannya untuk bayi. Dengan perancangan dan kreativiti, bijirin bayi komersial juga boleh dihidangkan secara sihat.

Walau apa pun pilihan ibu bapa, tentunya mereka sedang cuba sedaya-upaya untuk memberikan yang terbaik untuk bayi mereka. Oleh itu, kita haruslah menghormati pilihan masing-masing.

Yang Popular

To Top