Rakyat

Mahkamah Khas Nafkah Dah Mula Beroperasi. Dijangka Selesai Kes Dalam 6 Bulan

2.4K
SHARES

Mahkamah Rendah Syariah (Bahagian Nafkah) yang diluluskan kabinet sebelum ini telah mula beroperasi pada hari ini, 3 September di Dewan Mahkamah Rendah Syariah (MRS) Wilayah Persekutuan.

Menurut kenyataan rasmi yang diumumkan oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama) menggunakan pendaftaran kes pertama pada hari ini dengan nombor pendaftaran kod kes mahkamah 14005.

Sementara itu Hakim Syarie pertama yang diamanahkan mengendalikan kes di dewan MRS (Bahagian Nafkah) ialah Abdullah Zuhdee Ab Halim.

Dijangka Dapat Memendekkan Tempoh Selesai Kes Kepada 6 Bulan

Dalam kenyataan media tersebut, dijelaskan bahawa dengan beroperasinya MRS (Bahagian Nafkah) ini, ia dijangka akan memendekkan tempoh penyelesaian kes daripada 14 bulan kepada enam bulan.

Ini selari dengan tujuan penubuhan Mahkamah Perkahwinan, Hadhanah dan Nafkah ini untuk menyelesaikan secara sekali gus kerana kebiasaan amalan pada hari ini, proses untuk perceraian, proses menuntut nafkah dan hak penjagaan mengambil tempoh yang agak panjang.

“Pemerkasaan mahkamah syariah merupakan sebahagian daripada agenda utama kerajaan bagi memastikan penyampaian perkhidmatan keadilan dapat diberikan sebaik mungkin kepada masyarakat.”

Memastikan Hak Anak / Bekas Isteri Tidak Terabai

“Melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) dan Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan (MSWP), Program Pengkhususan Pengendalian Kes Hadhanah dan Nafkah serta Pewujudan Bahagian Penguatkuasaan dan Pelaksanaan diwujudkan,” katanya.

Dalam kenyataan tersebut, fasa pasca bicara selepas perintah yang dikeluarkan juga diberikan penekanan melalui program itu.

Jelasnya, ia selari dengan prinsip syariah yang digariskan dalam risalatul qada bahawa tugas mahkamah syariah tidak terhenti setakat mengeluarkan perintah bahkan perlu memastikan perintah yang dikeluarkan itu dilaksanakan sepenuhnya.

“Justeru pewujudan bahagian penguatkuasaan dan pelaksanaan bersama perjawatan bailif yang tiada di MSWP sebelum ini telah direncana dengan baik untuk program ini.

“Adalah diharapkan dengan permulaan pelaksanaan program ini pada hari ini, ia dapat menjadi pencetus kepada usaha pemerkasaan mahkamah syariah di seluruh negara dan mendapat kerjasama semua pihak untuk dilengkapkan serta direalisasikan sebagaimana pakej keseluruhan program yang dirangka”.

 

*Sumber: Dr Mujahid Yusof Rawa, Malaysia Dateline

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×