Seorang lelaki berkongsi kisah menyentuh hati apabila mendedahkan dirinya telah menderma darah sebanyak 28 kali, dengan setiap sesi melibatkan 450cc darah, demi membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira bangsa atau agama.
Perkongsian yang dimuat naik di Threads itu bukan sahaja meraih perhatian ramai, malah turut mendapat respons daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta individu yang pernah menerima transfusi darah.
MENDERMA DARAH SEBANYAK 28 KALI, LELAKI CINA INI RAIH PERHATIAN RAMAI

Foto: Threads @
Dalam perkongsiannya, lelaki berbangsa Cina itu memaklumkan dia memiliki darah jenis AB+ RR+ dan sering dihubungi oleh Hospital Seberang Jaya untuk menderma darah.
Dia kemudian bertanya kepada doktor mengapa pihak hospital kerap menghubunginya.
Menurutnya, doktor menjelaskan bahawa darahnya sepadan dengan darah seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia.
Perkongsian itu mengundang rasa sebak dalam kalangan warganet kerana menggambarkan bahawa kemanusiaan sentiasa mengatasi perbezaan kaum dan latar belakang.
KKM Tampil Beri Respon Kepada Penderma Darah

Foto: Threads @kementeriankesihatanmalaysia
Kisah berkenaan turut mendapat perhatian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meninggalkan komen penghargaan terhadap semua penderma darah.
Menurut KKM, setiap titisan darah yang didermakan mampu menjadi harapan kepada pesakit yang memerlukan rawatan.
Pesakit Talasemia Turut Ucap Terima Kasih
Ruangan komen turut dibanjiri luahan hati daripada individu yang bergantung kepada pendermaan darah untuk meneruskan kehidupan.
Seorang ibu yang mempunyai anak perempuan berusia setahun tujuh bulan yang menghidap talasemia mengucapkan terima kasih atas keikhlasan penderma darah.
“Terima kasih, Encik. Anak perempuan saya berusia 1 tahun 7 bulan, seorang thalassemia warrior. Terima kasih kerana menjadi insan yang menyelamatkan nyawa.”
Seorang lagi pengguna yang juga penghidap talasemia berkata pendermaan darah amat bermakna buat mereka yang memerlukan transfusi.
“Saya penghidap talasemia. Saya juga penerima darah walaupun hanya bila ada simptom dan HB drop.
Saya mengucapkan ribuan terima kasih kerana menderma dan membantu orang ramai, lebih-lebih lagi kawan-kawan yang sama seperti saya yang memerlukan.
Semoga diberikan kesihatan yang baik dan dipermudahkan segala urusan.”
Turut ada yang menyifatkan setiap penderma darah sebagai insan yang menjadi penyelamat kepada ramai pesakit.
“Terima kasih, awak dah selamatkan banyak nyawa. Awak dah bantu ramai orang yang memerlukan.”
Setiap Derma Darah Mampu Menjadi Harapan Seseorang
Kisah ini menjadi peringatan bahawa satu beg darah yang didermakan mungkin menjadi peluang kedua buat pesakit talasemia, mangsa kemalangan, pesakit kanser serta individu yang menjalani pembedahan.
Tanpa mengira bangsa, agama atau latar belakang, setiap pendermaan darah membawa satu tujuan yang sama, iaitu memberi peluang kepada seseorang untuk terus hidup.
Baca juga: Memang Comel Tapi Apa Hukum Pisahkan Anak Kucing Dengan Ibunya? Boleh Jatuh HARAM Kalau…
Sumber: Threads @vince.yh117
