Dapur

Resepi Kuih Manisan Orang Banjar, Unik & Sedap Tapi Makin Dilupakan

29
SHARES

Baru-baru ini, Sirap Limau bersama Tourism Malaysia Wilayah Selatan berkesempatan melawat Mersing untuk belajar buat kuih orang Banjar dan mengenali budaya unik masyarakat ini di sana. Kami berkesempatan belajar dua jenis resipi kuih Banjar iaitu Kuih Balungan Ayam dan Kuih Papudak.

BUAT KUIH ORANG BANJAR DI Mersing, Komuniti Banjar di Selatan

kuih orang banjar

Pekan kecil yang terletak 136 km dari Johor Bharu ini menjadi salah satu penempatan masyarakat Banjar di Semenanjung Malaysia. Masyarakat Banjar yang berhijrah telah membina penempatan dan komuniti di kawasan penanaman padi. Jika di utara tanahair, komuniti Banjar tertumpu di pantai barat Perak dan Selangor. Walaupun berada di penempatan berbeza, mereka masih mengangkat budaya leluhur yang sama.

Kuih Balungan Ayam

Memiliki nama yang pelik, tapi gabungan rasanya cukup unik. Nama kuih ini merujuk kepada bentuknya seperti balung ayam. Kuih ini mempunyai dua cara pembuatannya, pertama dengan melipat doh di dalam daun pisang, manakala cara lain dengan membentuk doh dan mengukusnya dilapisi daun pisang.

kuih orang banjar

Resipi Kuih Balungan Ayam

Bahan inti kelapa

  • 1 biji kelapa parut 
  • 300gm gula merah 
  • ½ cawan air panas
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 cawan gula
  • 2 helai daun pandan (disimpul) 
  • 1 sudu besar tepung gandum (optional) 

Bahan doh

  • 2 ½ cawan tepung pulut 
  • 1 cawan air pandan
  • 1 sudu kecil garam
  • 1 sudu kecil air kapur 

Cara penyediaan

  1. Untuk inti, masukkan air gula ke dalam kelapa dan kacau sebati. Tunggu sehingga inti menjadi kering. Tunggu sehingga sejuk.
  2. Untuk doh, ayak tepung pulut dahulu. Kemudian masukkan air pandan dan uli sehingga sebati menjadi doh yang tidak melekat di tangan. Ketepikan. 
  3. Kemudian, layukan daun pisang di atas api
  4. Sapukan daun pisang dengan minyak, ambil segumpal doh, ratakan atas daun pisang seperti membuat karipap.  Letakkan inti kelapa. 
  5. Lipat dua daun pisang, pastikan inti tidak keluar. Gunting bahagian lebihan daun. 
  6. Kukus kuih selama 10 – 15 minit api sederhana sehingga masak. 

Baca juga : Resipi Red Ruby Thai Guna Bunga Telang, Warna Lain Dari Yang Lain

Kuih Papudak

Dalam bahasa Banjar, kuih ini turut dikenali sebagai sunduk lawang atau dalam Bahasa Melayu sebagai selak pintu kerana bentuknya yang mirip kayu selak pintu zaman dahulu.

Kuih Papudak sudah jarang dibuat dan hanya boleh ditemui semasa bulan Ramadan atau majlis keraian. Jika dahulu, pembuatannya amat rumit seperti, daun pisang perlu direbus terlebih dahulu untuk mengelak ia pecah apabila digulung, lengkap dengan acuan khas semasa proses merebus. Tetapi kini, resipi diolah untuk memudahkan pembuatan tetapi masih mengekalkan rasa yang sama.

Resipi Kuih Papudak

Bahan

  • 5 cawan santan
  • 2 ½ cawan tepung beras
  • ¾ atau ½ cawan gula 
  • 2 sudu makan tepung ubi 
  • Garam secukup rasa
  • 1 sudu makan air kapur
  • 1 cawan jus pandan
  • Sedikit pewarna hijau 
  • Daun pisang Nipah @ Kapas 

Baca juga : Resipi Kek Buah Kukus Supermoist Chef Asma, Nostalgia Kek Buah Air Tangan Nenek

Cara penyediaan

  • Masukkan tepung beras, tepung ubi, gula, garam dan santan di dalam bekas adunan. 
  • Kacau sebati dan masukkan pewarna hijau
  • Kacau adunan dan tapis 
  • Masak adunan di dalam kuali dan kacau sehingga pekat dan likat
  • Sentiasa kacau adunan dan masak dengan api kecil 
  • Apabila adunan sudah kental, tutup api dan kacau lagi aduanan supaya tidak berketul 
  • Sediakan daun pisang, ambil adunan dan bentukan kelongsong
  • Ikat bahagian hujung daun 
  • Kukus selama 15 – 20 minit dengan api sederhana kuat

Video Resipi

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×