Sihat

Pembedahan Bariatric Untuk Kuruskan Badan: 8 Perkara Yang Ramai Nak Tahu

3.4K
SHARES
pembedahan bariatric

Obesiti adalah antara masalah kesihatan yang banyak berlaku di kalangan rakyat Malaysia.

Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi Malaysia (NHMS, 2015), peratusan masalah obesiti di kalangan rakyat Malaysia meningkat secara dramatik dalam jangka masa melebihi 15 tahun sejak 1996 sehingga 2015 sebanyak 300%.

Ini menunjukkan bahawa status kesihatan rakyat Malaysia sedang berada dalam keadaan yang amat membimbangkan.

Selain mengamalkan pemakanan sihat, bersenam, pengambilan ubat-ubatan atau suplemen tertentu, pembedahan bariatric adalah antara pilihan terakhir bagi yang nekad menurunkan berat badan dengan serius.

Di Malaysia, pembedahan bariatric juga semakin terkenal di kalangan selebriti tempatan.

Terkini, Abby Abadi baru sahaja dikhabarkan menjalani pembedahan bariatric untuk membantu mengurangkan berat badannya yang dikatakan naik mendadak ketika tempoh PKP.

Penyanyi terkenal tanah air, Aishah dan pengarah Michael Ang juga nampaknya telah menunjukkan perubahan positif setelah berjaya menurunkan berat badan dengan agak ketara.

Foto Kredit: Astro Awani

Antara selebriti lain yang pernah menjalani pembedahan bariatric termasuklah juga Chef Zam, Syanie dan Rahim Sepahtu.

Mungkin anda tertanya-tanya apakah pembedahan bariatric ini dan bagaimana ia membantu mengurangkan berat badan?

Jom baca selanjutnya.

8 Perkara Yang Ramai Nak Tahu Tentang Pembedahan Bariatric Di Malaysia

1. Apakah Pembedahan Bariatric?

Secara umumnya, pembedahan bariatric adalah pembedahan yang membantu menurunkan berat badan dengan membuat sedikit perubahan pada sistem pencernaan.

Bergantung kepada jenis pembedahan bariatric yang dilalui, prosedur ini dapat mengecilkan perut, membuatkan seseorang kurang makan dan minum pada satu-satu masa dan seterusnya menjadikan seseorang merasa cepat kenyang.

Foto Kredit: msn.com

2. Kelebihan Pembedahan Bariatric

Ramai yang telah mencuba pelbagai cara untuk mengurangkan berat badan namun tidak berjaya. Oleh itu, pembedahan bariatric adalah antara alternatif yang bukan saja membantu mengurangkan berat badan, tetapi juga merendahkan kandungan lipid dalam darah pesakit obesiti sebanyak 60% hingga 80%.

Selain itu, pembedahan ini telah ditemui sebagai rawatan yang lebih berkesan berbanding rawatan lain seperti ubat-ubatan atau suplemen dalam pengawalan berat badan dan diabetes.

Kajian juga mendapati bahawa risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular juga dapat dikurangkan sebanyak 82% melalui pembedahan ini.

Malah, penyakit-penyakit lain seperti asma, pernafasan yang terhenti ketika tidur (Sleep Apnea), migrain dan masalah depresi jugak dapat diperbaiki sebanyak 50%.

Tips mengurangkan berat badan

3. Bagaimana Ia Membantu Untuk Kurus

Pembedahan bariatric berfungsi dengan mengubah anatomi saluran gastrointestinal (sistem perut dan pencernaan) lalu menyebabkan perubahan fisiologi di dalam badan.

Prosedur ini akan mengubah keseimbangan tenaga dan metabolisme lemak.

Ia juga dapat mempengaruhi pengeluaran hormon usus dengan cara yang mengurangkan rasa lapar dan
selera makan dan meningkatkan perasaan cepat kenyang.

Walaubagaimanapun, kejayaan penurunan berat badan juga bergantung pada banyak faktor penting lain selepas pembedahan dijalankan, seperti pemakanan, senaman, pengubahsuaian gaya hidup dan banyak lagi.

pembedahan bariatric

Foto Kredit: UKM.my

4. Jenis Pembedahan Bariatric

Prosedur pembedahan bariatric dilakukan menggunakan kamera dengan potongan kulit yang minimum atau dengan kaedah membuka bahagian tengah abdomen.

Antara jenis pembedahan bariatric adalah:

  • Roux-en-Y.
  • Billiopancreatic diversion with duodenal switch.
  • Laparoscopic adjustable gastric banding (LAGB).
  • Sleeve gastrectomy.

pembedahan bariatric

5. Siapa Yang Boleh Menjalani Pembedahan Bariatric?

Menurut Hello Doktor, pembedahan ini mungkin menjadi pilihan bagi mereka yang:

  • Mempunyai indeks jisim badan (BMI) 40 atau lebih.
  • Mempunyai indeks jisim badan (BMI) antara 35 hingga 39.9 bersama risiko kesihatan seperti diabetes jenis 2, tekanan darah tinggi, penyakit jantung dan apnea tidur. Kadangkala ia mungkin juga dijalankan bagi BMI 30 jika berisiko tinggi.
  • Perlu diingat bahawa pembedahan ini bukan bertujuan kecantikan atau kosmetik seperti pembedahan sedut lemak (liposuction surgery). Sebaliknya, ia adalah untuk mengurangkan risiko masalah kesihatan.
  • Ia juga hanya boleh dilakukan selepas usaha melalui perubahan gaya hidup seperti diet gagal.

Tidak semua orang yang mempunyai BMI tinggi layak menjalani prosedur ini. Seseorang perlu menjalani ujian saringan untuk memastikan dirinya sesuai bagi pembedahan ini.

Foto Kredit: Astro Awani

6. Risiko

Setiap prosedur dan pembedahan mempunyai risiko tertentu, begitu juga dengan pembedahan bariatric.

Namun, bergantung kepada keadaan seseorang, risiko yang ada mungkin lebih kecil berbanding manfaat yang diperoleh.

Memandangkan pembedahan ini mengubah struktur asal perut dan usus, antara komplikasi yang mungkin berlaku ialah:

  • Usus tersumbat
  • Cirit-birit, mual dan muntah (sindrom Dumping)
  • Batu karang hempedu
  • Angin pasang
  • Hipoglisemia
  • Malnutrisi
  • Ulser
  • Perut bocor
  • Maut (sangat jarang)

Selepas pembedahan, disiplin dan gaya hidup baru harus diamalkan.

Ini termasuk cara dan jenis pemakanan serta meninggalkan tabiat kurang sihat seperti merokok dan alkohol.

pembedahan bariatric

7. Kesan Jangka Masa Panjang

Menurut Majalah Sains, kajian menunjukkan bahawa setiap jenis pembedahan bariatric mempunyai risiko yang berbeza.

Namun secara umunnya, antara risiko yang bakal dialami ialah pendarahan, jangkitan pada luka pembedahan, mengalami penyakit batu hempedu dan kekurangan nutrisi.

Seramai 38% ke 52% pesakit yang menjalani pembedahan ini mengalami penyakit batu hempedu dalam jangka masa satu tahun selepas pembedahan dijalankan.

Kekurangan nutrisi seperti zat besi, vitamin B12, vitamin D dan kalsium juga adalah antara perkara yang perlu diambil kira untuk menjamin kesihatan yang baik terhadap pesakit setelah menjalani pembedahan.

8. Kos Pembedahan Bariatric Di Malaysia

Pembedahan bariatric bukanlah sesuatu yang asing lagi di Malaysia.

Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) adalah antara yang mencatatkan pembedahan bariatric tertinggi sejak tahun 1996 lagi.

Ia juga boleh dilakukan di hospital-hospital swasta yang terpilih. Dari segi kos, ia dianggarkan bermula sekitar RM25,000- RM35,000 atau lebih, bergantung pada hospital masing-masing.

pembedahan bariatric

Pembedahan Bariatric Bukan ‘Jalan Pintas’

Pembedahan bariatrik adalah salah satu inisiatif yang baik untuk mengatasi masalah obesiti.

Namun ia tidak seharusnya dilihat sebagai ‘jalan pintas’ untuk mendapatkan berat badan ideal tanpa mengamalkan gaya hidup sihat.

Seseorang perlu berbincang dengan doktor dan mengambil kira tentang risiko yang bakal dialami selepas pembedahan ini.

Selain itu, langkah berjaga-jaga sewaktu pembedahan dijalankan dan pengamalan diet sihat selepas pembedahan perlu diambil perhatian bagi mengekalkan kesihatan yang optimum sepanjang masa.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×