Eh, rupanya banyak khasiat buah pokok letup-letup ni!
Masa kecil pasti kita suka main buah letup-letup dan pecahkan di kepala kan?
Kadang-kadang kita petik dan gunakan sebagai ramuan main masak-masak dengan kawan sebaya di kampung.
Zaman dahulu memang senang nak cari pokok letup-letup di semak.
Dengan nama saintifik Passiflora foetida, sesetengah orang juga panggil pokok ini sebagai pokok ulat bulu disebabkan buahnya yang berbulu.
Kredit Foto : Jabatan Pertanian Malaysia
Ada lagi satu spesis pokok letup-letup yang kita sering jumpai iaitu pokok letup-letup kelambu (Physalis angulata).
Berbanding pokok letup-letup yang menjalar, pokok letup-letup kelambu pula tumbuh secara menegak. Buahnya pula tidak berbulu dan dilindungi oleh kantung jika belum masak.
Sesuai dengan nama gelarannya, kedua-dua spesis ini mempunyai buat yang meletup bila dipicit.
Pokok letup-letup kelambu juga lebih senang dijumpai di kawasan berpaya atau sawah.
Kredit Foto : Jabatan Pertanian Malaysia
Walaupun kita sering anggap pokok letup-letup sebagai rumpai, sebenarnya banyak khasiat yang terkandung pada buah dan daun pokok letup-letup ni.
Jom kita kenali khasiat pokok buah letup-letup dengan lebih dekat!
Khasiat Pokok Letup-Letup ( Pokok Ulat Bulu)
Kredit Foto : Jabatan Pertanian Malaysia
Berpotensi Sebagai Penawar Ulser Perut
Pokok letup-letup jenis menjalar ini didapati mempunyai potensi untuk dijadikan penawar bagi ulser perut. Sebuah hasil kajian mendapati ekstrak pokok letup-letup didapati mempunyai komponen antiulser bagi mencegah penyakit ini.
1. Merawat Cirit Birit
Secara tradisional, buah letup-letup juga sering digunakan bagi merawat cirit-birit. Satu kajian juga mendapati ekstrak buah letup-letup mengandungi komponen anti-diarrhoeal yang membantu dalam merawat cirit-birit secara berkesan.
2. Bersifat Antibakteria
Selain dijadikan penawar bagi cirit-birit, daun dan buah pokok letup-letup juga sering digunakan dalam rawatan tradisional untuk penyakit kulit. Sebuah kajian mendapati ekstrak daun pokok letup-letup mengandungi komponen antibakteria aktif.
Ia didapati dapat melawan bakteria yang menyebabkan penyakit seperti penyakit kulit dan cirit-birit secara efektif.
3. Berpotensi dalam Mengatasi Kemurungan
Menurut International Journal of Pharmacy & Pharmaceutical Sciences, ekstrak daun pokok letup-letup didapati berpotensi sebagai antimurung yang baik serta membantu dalam mengurangkan simptom keresahan secara berkesan.
4. Kaya Dengan Antioksida
Kebaikan antioksida untuk tubuh badan adalah penting bagi memastikan diri terlindung daripada radikal bebas yang boleh mengakibatkan penyakit.
Buah letup-letup yang sering dianggap sebagai rumpai juga rupanya kaya dengan antioksida khususnya vitamin C.
Khasiat Pokok Letup-Letup Kelambu
1. Bersifat Antiradang
Menurut Hawaii Journal of Medicine & Public Health, komponen aktif bernama withanolides yang ditemui dalam buah letup-letup kelambu mempunyai manfaat khas bagi melawan keradangan terutamanya keradangan usus.
2. Menguatkan Sistem Imun Tubuh
Buah letup-letup kelambu juga kaya dengan polifenol iaitu sejenis antioksida yang baik dalam membantu menguatkan sistem imun tubuh di samping melawan simptom keradangan.
Seperti buah letup-letup berbulu, buah letup-letup kelambu juga kaya dengan vitamin C bagi menguatkan lagi sistem pertahanan badan.
3. Menguatkan Tulang
Selain Vitamin C, buah letup-letup kelambu juga kaya dengan vitamin K yang amat baik untuk kesihatan tulang.
Vitamin K sememangnya mineral yang penting bagi mengekalkan kesihatan dan metabolisma tulang serta tulang rawan pada tahap optimum.
4. Menyihatkan Mata
Pengambilan buah-buahan dan sayur-sayuran yang kaya karotenoid adalah sangat digalakkan bagi meningkatkan kesihatan mata.
Karotenoid memainkan peranan dengan mencegah kerosakan makula yang boleh mengakibatkan penglihatan rosak atau buta.
Buah letup-letup kelambu juga padat dengan manfaat karotenoid seperti lutein dan beta karotene.
Hati-Hati Bila Makan Buah Letup-Letup! Pastikan Ia Dimakan Dengan Cara Betul
Mungkin ramai yang teruja bila tahu khasiat buah pokok letup-letup ini.
Namun, pastikan anda kenal dengan tumbuhan ini dan memakannya dengan betul.
Kredit Foto : womensbeauty.id
Jangan sampai termakan buah letup-letup kelambu muda yang berwarna hijau! – Ia mengandungi solanine iaitu racun semulajadi yang berbahaya untuk kesihatan.
Pastikan anda hanya makan buah letup-letup kelambu yang sudah ranum berwarna kuning keemasan.
Siapa sangka buah yang tumbuh liar di semak dan kawasan berpaya ini ada banyak khasiatnya.
Dengan banyak penemuan tentang kelebihan buah letup-letup, kini ia menjadi tumpuan bagi kajian yang lebih terperinci.
Dengan potensi yang cukup tinggi, tidak mustahil jika buah yang kita anggap sebagai rumpai ini boleh bertukar menjadi buah yang dikomersialkan suatu hari nanti.
Sumber rujukan:
- Antiulcer and antioxidant activity of ethanolic extract of Passiflora foetida : ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3113390/
- Medicinal potential of Passiflora foetida L. plant extracts: biological and pharmacological activities : pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/24666678/
- Antibacterial properties of Passiflora foetida L. – a common exotic medicinal plant : researchgate.net/publication/27798026_Antibacterial_properties_of_Passiflora_foetida_L_-_A_common_exotic_medicinal_plant
- Khasiat Buah Letup-letup : Jabatan Pertanian Malaysia
- 10 Khasiat Pokok Letup-letup Yang Ramai Tak Tahu : Impiana