Sihat

Rugi Siapa Tak Makan, Ini 6 Khasiat Jantung Pisang Yang Ramai Tak Tahu

321.1K
SHARES

Buah pisang ni semestinya antara buah yang paling mudah didapati di Malaysia. Rasanya memang sedap, boleh dibuat jemput-jemput, kek pisang, apam, kerepek dan sebagainya.

Tapi mungkin masih ramai antara kita yang tak biasa makan jantung pisang.

Jantung pisang dikenali sebagai ‘banana blossom’ atau ‘banana flower’ dalam bahasa Inggeris.

Sebenarnya jantung pisang ini juga sedap dimakan dan ada banyak kebaikannya yang tersembunyi.

Ini antara khasiat jantung pisang yang mungkin ramai antara kita tak tahu.

6 Khasiat Jantung Pisang Untuk Kesihatan

1. Membantu Mengelakkan Jangkitan

Jantung pisang mengandungi sejenis kompaun yang memiliki ciri anti-mikrobial serta kaya dengan Vitamin E.

Maka tak hairanlah, di sesetengah tempat, ia masih lagi digunakan secara turun-temurun untuk membantu mempercepatkan pemulihan pada luka atau jangkitan kulit.

khasiat jantung pisang

Foto Kredit: IDNtimes

2. Awet Muda

Jantung pisang kaya dengan Vitamin C dan kompaun seperti tannin dan flavonoid, di mana semuanya ini memiliki ciri antioksidan.

Antioksidan penting untuk kesihatan tubuh kerana ia membantu mengurangkan stres pada sel di seluruh tubuh badan sekaligus memperlahankan proses penuaan. Awet muda gitu!

Petua Awet Muda

3. Mencegah Anemia

Mungkin tak ramai tahu, jantung pisang memiliki kandungan zat besi yang tinggi dan boleh dimakan ketika hamil juga.

Anemia adalah antara masalah yang selalu kita dengar apabila masuk fasa kehamilan. Ia boleh terjadi ketika darah di dalam tubuh tidak mengandungi cukup sel darah merah untuk membawa oksigen ke seluruh jaringan tubuh.

Jadi, ibu mengandung bolehlah makan jantung pisang, tapi pastikan ia dicuci bersih dan dimasak sepenuhnya ya.

khasiat jantung pisang

Foto Kredit: veganmiam.com

4. Melancarkan Pencernaan

Masalah pencernaan seperti pedih ulu hati, angin, kembung perut, mahupun sembelit juga boleh dikurangkan dengan pengambilan serat berkhasiat seperti jantung pisang.

Jantung pisang mengandungi serat terlarut dan serat tidak terlarut yang dapat membantu mengurangkan masalah pencernaan.

5. Membantu Menurunkan Berat Badan

Oleh kerana kandungan serat yang baik, jantung pisang juga boleh menggalakkan penurunan berat badan.

Namun, ia perlulah disertai dengan diet harian yang sihat beserta gaya hidup yang sihat juga tau.

Foto Kredit: medicalnewstoday.com

6. Membantu Relaks & Tidur Lena

Dalam dunia moden ini, stres dan depresi adalah antara masalah kesihatan yang paling utama.

Tahukah anda, jantung pisang ini kaya dengan magnesium, di mana ia dapat membantu tubuh badan kita untuk relaks secara semulajadi.

Secara tak langsung, ia juga dapat membantu kita mendapatkan tidur yang lena. Tidur lena ini penting kerana ia membantu kita berasa segar dan lebih bertenaga apabila bangun nanti.

Barulah semangat!

khasiat jantung pisang

Foto Kredit: IDNtimes

Pelbagai Menu Sedap & Sihat Boleh Diolah Daripada Jantung Pisang

Jantung pisang ni mudah dimasak dan rasanya lemak-lemak. Rebus dan makan begitu saja cicah dengan sambal belacan pun sedap terangkat!

Bagi yang baru nak try makan, ini contoh resepi kerabu jantung pisang yang boleh anda cuba di rumah.

Resepi Kerabu Jantung Pisang Simple

  • 1 biji jantung pisang – direbus & dihiris halus
  • 1 tangkai bunga kantan – di belah 4 dan di hiris halus
  • 1 labu bawang besar – dihiris halus
  • 5 biji cili – dihiris halus
  • Udang kering @ belacan @ ikan bilis – digoreng tanpa minyak dan ditumbuk lumat.
  • 3-4 biji perahan limau nipis / kasturi
  • Garam / gula /perasa secukup rasa

Selain dibuat kerabu, jantung pisang juga biasa dibuat masak lemak dan lauk-pauk yang lain.

Ternyata, banyak khasiat jantung pisang yang boleh kita amalkan secara bersederhana.

Selamat mencuba!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×