Sihat

Khasiat Buah Bambangan Yang Cukup Popular Di Borneo. Boleh Bunuh Sel Kanser!

87
SHARES

Mungkin ramai yang belum kenal dengan buah bambangan, namun khasiatnya cukup tinggi. Rasanya pula masam dan manis serta lebih kasar berbanding mangga.

Saiznya juga jauh lebih besar sehingga boleh mencapai sekitar 500 gram hingga 1 kilogram untuk sebiji buah bambangan.

Asalnya hanya boleh ditemui di dalam hutan, kini ia boleh dijumpai di kebun atau perkarangan rumah masyarakat di Sabah. Kulitnya lebih tebal dan isinya pula seperti buah mangga.

Masyarakat di Sabah sering menggunakan buah bambangan serta kulitnya untuk dijadikan jeruk atau juadah tradisional Kadazan Dusun.

Ia juga sangat baik untuk diamalkan dalam diet harian kerana kaya dengan pelbagai khasiat.

Buah bambangan agak sukar untuk didapati di Semenanjung Malaysia, dan mungkin kebanyakan kita tak pernah melihat buah ini.

Jadi, jom kenali buah bambangan yang eksotik ini!

bamba

Kredit Foto : says.com 

Khasiat Buah Bambangan

1. Mempunyai Komponen Antikanser Bagi Mencegah Kanser Payudara

Antara kajian yang telah membuka mata penyelidik terhadap buah bambangan ialah penemuan komponen antikanser bagi barah payudara.

Hasil kajian ini mendapati ekstrak daripada biji buah bambangan mampu menghapuskan sel kanser payudara.

Hasil kajian daripada Universiti Tun Hussein Onn Malaysia ini mendapati 90 % daripada populasi sel kanser payudara yang didedahkan kepada ekstrak biji bambangan dapat dihapuskan dalam masa 72 jam.

2. Kaya Dengan Antioksida

Buah-buahan dan sayur-sayuran merupakan sumber antioksida yang baik.

Komponen antioksida yang didapati dalam buah bambangan sangat tinggi. Kandungannya sangat padat dan telah berjaya mengalahkan buah dengan antioksida seperti mangga, oren, dan nanas.

Antioksida merupakan nutrisi yang penting untuk tubuh untuk mengelakkan penghasilan radikal bebas yang boleh mengakibatkan penyakit.

Antioksida juga merupakan komponen penting bagi menyihatkan kulit dengan cara memudarkan garis halus, kedutan serta tona kulit yang tidak sekata.

Baca juga: Bukan Sekadar Herba Tempatan, Pucuk Manis Kaya Dengan Khasiat Superfood

3. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung

Kajian telah dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia dengan pengambilan jus buah bambangan selama 9 minggu.

Hasil kajian mendapati pengambilan jus buah bambangan dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Buah bambangan juga didapati mempunyai kandungan beta karotena yang paling tinggi berbanding spesis buah mangga lain.

Khasiat beta karotena juga didapati berupaya dalam mengawal paras kolesterol serta mengelakkan daripada penyakit seperti strok dan katarak .

4. Tinggi Kandungan Vitamin C

Pengambilan vitamin C dalam diet seharian amat penting bagi meningkatkan sistem imun tubuh dan sebagai penawar kepada luka dan selsema.

Kandungan vitamin C dalam buah bambangan juga sangat tinggi berbanding mangga.

Setiap 100 gram buah bambangan dapat membekalkan sebanyak 51% vitamin C harian.

5. Baik Untuk Sistem Penghadaman

Dalam memastikan sistem penghadaman sentiasa berada dalam keadaan sihat, pengambilan serat serta prebiotik dalam diet adalah amat penting.

Buah serta kulit bambangan yang biasa menjadi diet dalam masyarakat Kadazan Dusun mengandungi kedua-dua nutrisi serat dan prebiotik untuk kebaikan sistem pencernaan.

Serat penting untuk melancarkan pergerakan usus di samping mampu membuatkan seseorang merasa kenyang dengan lebih lama.

Prebiotik pula penting bagi meningkatkan aktiviti bakteria baik dalam perut untuk mendapatkan sistem pencernaan yang sihat serta meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.

Bukan Saja Berkhasiat, Ia Juga Sedap Dimakan!

Buah bambangan ini juga wajar untuk diperkenalkan kepada masyarakat dengan lebih meluas lagi.

Disebabkan khasiatnya yang tinggi, para pengkaji kini sedang giat menghasilkan produk bambangan berdasarkan nutrisinya.

Ia juga mempunyai potensi serta nilai komersial yang berharga untuk diketengahkan dalam pasaran.

Semoga buah bambangan mendapat pasaran yang lebih luas agar semua rakyat Malaysia dapat merasai keenakan buah tempatan yang eksotik ini.

Rujukan:

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×