Asuh

7 Tragedi Culik dan Bunuh Kanak-Kanak Pernah Menggemparkan Malaysia, Sebak..

73
SHARES
kes culik budak

Kes culik budak merupakan antara jenayah yang sering berlaku di Malaysia. Malah, terdapat beberapa kes besar yang pernah berlaku bukan sahaja melibatkan penculikan, penjualan malah turut dibunuh tanpa rasa simpati.

Berikut merupakan beberapa tragedi melibatkan kehilangan kanak-kanak yang pernah menggemparkan negara dan paling menyayat hati, ada yang dibunuh dan tidak dijumpai sehingga sekarang. Kes terbaharu melibatkan adik Zayn Rayyan turut tersenarai..

Baca juga: Mak Ayah Ada Anak OKU Layak Mohon Road Tax Percuma, Ini Caranya

7 KISAH KES CULIK BUDAK, HILANG DAN DIBUNUH PERNAH BERLAKU DI MALAYSIA

1.TING SONG SHENG, 12 JANUARI 1996

kes culik budak

Foto: The Star

Pada tahun 1996, Tin Song Sheng, 7 tahun diculik ketika sedang menunggu bas di perkarangan sekolah untuk pulang ke rumahnya. Ketika itu, sesi persekolahan baharu sahaja bermula dua minggu.

Beliau kali terakhir dilihat meninggalkan perkarangan sekolah bersama seorang wanita Cina pertengahan usia. Ibu bapa Song Sheng, Gan Kim Choo dan Tin Kuwi Diun sanggup berhabisan dalam berusaha mencari anak mereka. Sehingga kini, Song Sheng tidak dapat dikesan.

2.Nurul Huda Abdul Ghani (2004)

Nurul Huda Abdul Ghani merupakan anak bongsu berusia 10 tahun yang sering dipanggil ‘Manja’. Pada 17 Januari 2004, kanak-kanak ini telah menunggang basikal untuk keluar membeli ikan dan telur buat keluarga di sebuah kedai yang terletak 500 meter dari rumah.

Namun sehingga jam 12.45 tengah hari, Nurul Huda masih tidak pulang ke rumah hingga menimbulkan kebimbangan ahli keluarga yang lain. Mereka seterusnya membuat laporan polis sehingga membawa kepada penemuan tubuhnya yang sedang nyawa-nyawa ikan di tandas Stesen Janakuasa Tenaga Nasional Berhad (TNB). Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia sebaik tiba di pusat kesihatan. Sedih..

3.Nurin Jazlin, 20 Ogos 2007

kes culik budak

Foto: Harian Metro

Ini merupakan antara tragedi yang meruntun hati ramai. Tragedi melibatkan pembunuhan kejam seorang kanak-kanak, Nurin Jazlin Jazimin, 8 tahun, bermula selepas dia dilapor hilang ketika keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Seksyen 1, Wangsa Maju.

Pelbagai usaha dilakukan melalui media dan orang ramai termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mengesan murid tahun dua Sekolah Kebangsaan (SK) Desa Setapak, Setapak, Kuala Lumpur itu. Pada pagi 17 September 2007, sebuah beg sukan yang ditinggalkan di hadapan sebuah rumah kedai di PJS 1/48, Petaling Jaya ditemui oleh pemilik kedai. Hasil daripada ujian asid deoksiribonukleik (DNA) mengesahkan mayat itu merupakan Nurin Jazlin.

Beg itu mengandungi badan kanak-kanak yang mengalami kecederaan teruk, disumbat dalam posisi janin. Malah, timun dan terung ditemui disumbat dalam kemaluan beliau dan telah menyebabkan rektumnya pecah.

4.Sharlinie Mohd Nashar, Januari 2008 

Belum reda dengan kes Nurin Jazlin, kes seumpama itu kembali menghantui rakyat Malaysia apabila seorang lagi kanak-kanak perempuan, Sharlinie Mohd Nashar, 5, turut dilaporkan hilang awal Januari 2008.

Sharlinie dilaporkan hilang ketika bermain bersama kakaknya di padang permainan yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya di Taman Medan, Petaling Jaya, Selangor. Tahun demi tahun berlalu sehingga Sharlinie kini kanak-kanak tersebut gagal ditemui.

5.Muhammad Asmawi Jalaludin, Mac 2008

Foto: X Mastika

Muhammad Asmawi Jalaludin, 11 tahun, hilang ketika dalam perjalanan pulang berdekatan rumahnya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur.

Kanak-kanak lelaki ini dilapor hilang setelah pulang bermain bersama seorang rakan tidak jauh dari kawasan rumahnya. Sama seperti kes Sharlinie, sehingga kini Muhammad Asmawi tidak ditemui.

6.Nurul Nadirah Abdullah, 1 Mac 2012

Nurul Nadirah Abdullah atau lebih mesra dipanggil Dirang oleh ahli keluarga, 5 tahun, dilaporkan hilang pada 1 Mac 2012. Dirang dikatakan telah keluar untuk membeli mi segera dan telur di sebuah kedai runcit bawah rumahnya di Flat Seri Delima, Bandar Seri Alam.

Sama seperti kes kehilangan yang lain, Dirang telah ditemui mati akibat dibunuh dan dibakar pada 8 Mac 2012. Pencarian Dirang berakhir selepas sekujur mayat rentung ditemui di sebuah tapak perumahan terbengkalai di Damai, Masai dan disahkan identitinya.

Suspek yang diberkas polis dikatakan mencekik Dirang sehingga maut sebelum mayat kanak-kanak itu dimasukkan ke dalam lubang lalu dibakar. Motifnya adalah kerana suspek berdendam, tidak berpuas hati dihina dan dipandang rendah oleh nenek Dirang. Suspek dijatuhkan hukuman gantung sampai mati pada tahun 2013 selepas didapati bersalah membunuh.

7.Zayn Rayyan, 5 Disember 2023

Foto: Utusan Malaysia

Ini merupakan kes terbaharu yang masih belum dirungkaikan. Ibu Zayn Rayyan mendakwa anaknya hilang ketika menaiki tangga di Blok R, Apartment Idaman, Damansara Damai pada tengah hari 5 Disember. Operasi pencarian membabitkan penduduk, anggota polis dan anjing pengesan (K9) di sekitar Apartment Idaman melibatkan 2,482 unit kediaman.

Pada jam 10 malam 6 Disember, Zayn ditemukan terbaring di anak sungai pada jarak 200 meter dari kediamannya oleh beberapa penduduk, meskipun unit K9 sudah melakukan pencarian di lokasi sama sebanyak tiga kali. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Jenazah Zayn Rayyan disemadikan di Perkuburan Islam Seksyen 9, Kota Damansara.

Hasil bedah siasat mengesahkan Zayn dipercayai dibunuh kerana terdapat kecederaan pada bahagian tubuhnya. Mangsa juga dikatakan bergelut dengan pembunuhnya selain dipercayai dibunuh di lokasi lain sebelum mayatnya ditinggalkan di saliran air kira-kira 200 meter dari kediaman.

Tiba-tiba pada 1 Jun 2024, polis mengesahkan penahanan ibu bapa Zayn dan mereka direman tujuh hari setelah permohonan dilakukan di Mahkamah Petaling Jaya pagi Sabtu lalu. Penahanan mereka bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan terbaharu, laman media sosial ibu Zayn sudah lesap dan peguam sudah tidak mewakili pihak ibu bapa Zayn.

*Ini merupakan beberapa kes besar yang berlaku namun hakikatnya, statistik tahun melaporkan kes kehilangan kanak-kanak dan remaja berada pada tahap merisaukan. Minta dijauhkan anak-anak kita dari kes sebegini dan semoga pelaku mendapat hukuman setimpal.

Baca juga: Kanak-Kanak Usia 4 Tahun Maut Akibat Si Bapa Sumbat & Paksa Makan Cili

Sumber: Sinar Plus

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×