Rakyat

[Update] Kes Kematian Adik Zara, Suami Pengasuh Dipenjara 20 Tahun, 12 Sebatan

1.5K
SHARES

Masih ingatkah lagi kes yang melibatkan penderaan seksual dan fizikal oleh suami pengasuh yang meyebabkan kematian terhadap bayi 11 bulan, Adik Zara atau Nur Muarzara Ulfa Muhammad Zainal.

Semalam, 28 November 2018, suami pengasuh tersebut, Hazmi Majid, 36, telah dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di Kajang atas dua tuduhan memasukkan jari ke dalam kemaluan mangsa.

Hakim Datin Surita Budin menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan terhadap selepas tertuduh mengaku bersalah melakukan kesalahan itu.

Didakwa Memasukkan Jari Ke Dalam Kemaluan & Dubur Bayi

Menurut Berita Harian, berdasarkan kertas pertuduhan, suami pengasuh yang bekerja sebagai tukang gunting rambut itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk tersebut di Apartmen Sri Cempaka, Jalan 6/3, Seksyen 16, Bandar Baru Bangi, antara jam 10.30 pagi dan 1.30 petang, pada 7 November lalu.

Bagi kedua-dua pertuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 377CA Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.

Dalam sebuah kenyataan sebelum ini, tertuduh juga telah menjalani ujian saringan air kencing dan mendapati suspek positif methaphetamine.

Rayuan Dibantah, Sebaliknya Dimohon Hukuman Berat Oleh Timbalan Pendakwa Raya

Susulan itu, pihak tertuduh iaitu Hazmi Majid yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya memohon supaya dikenakan hukuman ringan atas alasan hanya dia sahaja yang bekerja dan perlu menanggung isteri dan 3 orang anak mereka.

Walaubagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noor Hafizan Zakaria, membantah rayuan itu dan memohon hukuman berat dijatuhkan. Ini mengambil kira faktor kepentingan awam kerana kesalahan yang dilakukan adalah serius dan membabitkan mangsa berumur 11 bulan yang tidak berdaya untuk mempertahankan diri sendiri.

“Tertuduh adalah suami kepada pengasuh mangsa yang sepatutnya turut menjaga dan bukannya mengambil kesempatan ke kanak-kanak itu.

“Kesalahan terhadap bayi dan kanak-kanak juga semakin menular dalam kalangan masyarakat hari ini,” katanya.

Mangsa yang dilahirkan pada 10 Disember 2017 itu dipercayai didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya dan meninggal dunia pada 9 November 2018 setelah 2 hari berada dalam keadaan kritikal. Selepas pemeriksaan mendapati ada kesan koyakan pada kemaluan serta dubur mangsa.

Apa Kata Anda?

Sememangnya hukuman berat perlu dijatuhkan kepada tertuduh supaya kesalahan sebegini dipandang serius oleh masyarakat. Tindakan pedofilia sebegini seringkali ‘terlindung’ dan terlepas begitu saja jika ia dibiarkan berleluasa. Maka, akta yang kukuh tentu sekali dapat membanteras gejala yang amat menjijikkan, apatah lagi  hingga menyebabkan kematian serta trauma kepada seluruh keluarga mangsa!

 

*Sumber berita: Berita Harian, 28 November 2018

*Foto Kredit: The Star TV

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×