Kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengharamkan sepenuhnya penggunaan aplikasi navigasi Waze di Malaysia selepas meneliti beberapa alternatif yang boleh digunakan sebagai pengganti, termasuk aplikasi navigasi yang dibangunkan oleh pihak tempatan.
KERAJAAN TAK TOLAK KEMUNGKINAN HARAMKAN APLIKASI NAVIGASI WAZE

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berkaitan penggunaan aplikasi itu dibuat dengan mengambil kira aspek keselamatan rakyat dan negara, khususnya melibatkan isu perlindungan maklumat peribadi serta kerahsiaan negara.
Menurutnya, terdapat dua perkara utama yang menjadi kebimbangan kerajaan terhadap penggunaan Waze, iaitu lokasi ibu pejabat syarikat berkenaan dan undang-undang yang terpakai sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan perkhidmatan tersebut.
“Isu Waze ini isu berat bagi kita kerana pertamanya, ibu pejabatnya itu di Israel. Kedua, dalam perjanjian penggunaan aplikasi itu, jika ada masalah, itu undang-undang Israel yang tentukan. Itu menyebabkan mengapa saya ambil tindakan agak spontan (larang penggunaan Waze).
“Hal ini tak boleh nak tangguh, satu hari pun tak boleh. Ada orang kata patut sabar dulu, semak dulu.
“Saya kata dah sah kalau gunakan Waze, maknanya secara automatik dia menyerahkan semua maklumat kepada Israel. Jadi ini soal keselamatan rakyat dan negara, saya tidak boleh kompromi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Mustaqim, Taman Nirwana, di sini, hari ini.
Susulan larangan penggunaan Waze, khususnya dalam kalangan penjawat awam, Anwar menggalakkan orang ramai supaya mempertimbangkan penggunaan aplikasi navigasi tempatan sebagai alternatif.

Kredit: foto BERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Guna aplikasi tempatan lebih bagus
Beliau mengakui aplikasi tempatan mungkin masih mempunyai kekurangan dari segi kecanggihan, namun berpendapat penambahbaikan boleh dilakukan dari semasa ke semasa demi memastikan keselamatan maklumat pengguna lebih terpelihara.
Mengulas mengenai aplikasi navigasi TuJu yang dibangunkan oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Anwar mengesahkan bahawa pihak berkenaan telah memaklumkan terdapat beberapa kekurangan pada aplikasi tersebut.
“Ya, saya dapat pengakuan daripada LLM, kata Tuju itu rupanya tidak lengkap. Betullah TuJu tu ada kekurangan. Tapi buat sementara waktu, saya tidak mengerti kalau hal ini jadi kontroversi, kontroversinya kerana lembabnya alternatif, itu saya setuju.
“Tetapi keputusan kita (larang) bukan kontroversi. Ini soal keselamatan negara. Aneh kalau orang masih menekan. Saya tahu saya dikritik, dikecam kerana terburu-buru dan gopoh, saya kata tak apalah kalau agak menyusahkan berapa orang, saya minta maaf. Tetapi bagi saya keselamatan negara lebih penting,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut memaklumkan bahawa isu berkaitan penggunaan Waze telah dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung hari ini.
Baca juga: Aleeya Nurhanny Harumkan Nama Malaysia, Raih Anugerah Pelajar Antarabangsa Terbaik Di Jerman
Sumber: Sinar Harian
