“Dah lama betul, berbelas-belas tahun dah tak jumpa… dah la besar 24cm.” Begitulah reaksi seorang petugas makmal selepas menemukan cacing berukuran kira-kira 24 sentimeter dalam sampel najis seorang pesakit. Penemuan tersebut dikongsikan di Threads dan sekali gus membuatkan ramai kembali teringat tentang ubat cacing, terutama bila kali terakhir mereka mengambilnya.
Baca juga: Ramai Ingat ‘Okay’, Doktor Nasihat Henti Guna Penutup Berus Gigi & Kongsi Langkah Selamat Nak Simpan
KEPENTINGAN UBAT CACING: SAMPEL NAJIS MEMBAWA KEPADA PENEMUAN CACING 24CM

Gambar: Threads Marina Mustafa.
Menerusi hantaran di Threads, Marina Mustafa berkata cacing tersebut dikenal pasti sebagai Ascaris lumbricoides dan ditemui ketika dia bertugas di makmal diagnostik.
Menurutnya, pesakit berkenaan merupakan seorang warga asing, namun keadaan kesihatan individu tersebut tidak dapat didedahkan kerana terikat dengan kerahsiaan maklumat pesakit.
“Saya tak boleh reveal condition patient macam mana sebab saya kerja di lab, kena jaga confidentiality. Cuma boleh share patient itu foreigner,” katanya.
Menjawab persoalan pengguna tentang lokasi cacing berkenaan ditemukan, Marina menjelaskan ia dijumpai dalam sampel najis pesakit.
“Telur cacing ini kita tak nampak dengan mata kasar,” katanya.
Walaupun penemuan cacing sebesar itu mungkin membuatkan ramai geli atau terkejut, Marina mengingatkan orang ramai supaya lebih mengambil berat tentang kebersihan diri.
“Paling penting, jaga hygiene! Basuh tangan dengan sabun, especially lepas berkebun atau buat aktiviti yang melibatkan tanah. Telur cacing ini kita tak nampak dengan mata kasar,” pesannya pula.
Reaksi warga maya
Di ruangan komen, beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman melihat kes cacing dalam sampel pesakit. Ada juga yang mengaitkannya dengan kanak-kanak yang kerap bermain pasir serta individu yang menguruskan najis kucing.
“Kanak-kanak yang selalu main pasir dan orang dewasa especially yang bela kucing pun jangan lupa makan ubat cacing sebab mostly mereka hari-hari bersihkan najis kucing.
“Benda tu pun sebenarnya boleh jadi punca cacing banyak dalam perut, lepas itu rasa macam tak cukup nutrien,” jelas @ainntshaaya.
Perkongsian tersebut turut mendapat respons daripada pengguna lain yang berkongsi pengalaman sama.
“Haluu kat lab kami,” kongsi @amey_as.

Gambar: Threads @amey_as.
Sementara itu, Marina menjelaskan simptom yang dialami pesakit boleh bergantung kepada keadaan masing-masing.
“Depend pada simptom, biasa kalau besar macam ni pesakit akan rasa sakit perut, cirit-birit yang berpanjangan,” jelasnya lagi.
Sehingga kini hantaran tersebut telah menerima lebih 35 ribu tanda suka, 3.2 ribu komen dan 32 ribu perkongsian.
Perlu ke sebenarnya ambil ubat cacing?
Persoalan itu sebenarnya bukan hanya berkait dengan kanak-kanak. Menerusi hantaran Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), penyakit cacing boleh menjangkiti kanak-kanak mahupun orang dewasa.
Menurut KKM, jangkitan boleh berlaku antaranya apabila seseorang termakan telur cacing melalui makanan atau sayur-sayuran yang tidak dimasak dengan sempurna. Ia juga boleh berlaku melalui kulit apabila aspek kebersihan diri dan persekitaran diabaikan.
Antara jenis cacing yang biasa menyebabkan jangkitan ialah:
- Cacing gelang (roundworm)
- Cacing kerawit atau cangkuk (hookworm)
- Cacing benang (threadworm)
- Cacing pita (tapeworm)
KKM turut menjelaskan bahawa cacing dalam tubuh boleh bersaing mendapatkan nutrien daripada makanan yang diserap badan. Jika jangkitan tidak dirawat, ia boleh menyebabkan kekurangan zat makanan dan menjejaskan tumbesaran serta perkembangan fizikal, terutama dalam kalangan kanak-kanak.
Dalam keadaan tertentu yang serius, jangkitan juga boleh merebak ke organ lain seperti otak, hati dan paru-paru. Namun, KKM menegaskan bukan semua jangkitan cacing berbahaya dan rawatan serta pencegahan awal perlu dipertimbangkan berdasarkan keadaan pesakit.
Antara ubat yang digunakan untuk merawat jangkitan cacing ialah albendazole dan mebendazole. KKM menerangkan albendazole bertindak dengan menghalang penyerapan glukosa oleh cacing sehingga cacing kehilangan tenaga dan mati.
Bagaimanapun, penggunaan ubat tidak sepatutnya dibuat secara sembarangan. Jenis ubat, dos dan tempoh rawatan bergantung kepada keadaan pesakit dan orang awam dinasihatkan mendapatkan nasihat doktor sekiranya mengalami jangkitan yang luar biasa atau serius.
Hal ini kerana, ubat cacing tidak boleh diambil oleh wanita yang mengandung dan bayi yang berumur kurang daripada 1 tahun.
Bagi mencegah jangkitan cacing, KKM turut menyarankan beberapa langkah mudah:
- Jaga kebersihan tangan dengan membasuhnya menggunakan sabun, termasuk membersihkan celah dan bawah kuku, terutama sebelum makan dan selepas melakukan aktiviti yang melibatkan tanah.
- Pakai kasut atau selipar ketika berada di luar rumah.
- Pastikan makanan disediakan dengan bersih, termasuk memasak daging dan ikan dengan sempurna serta membasuh buah-buahan dan sayur-sayuran sebelum dimakan.
- Jika mempunyai haiwan peliharaan, gunakan sarung tangan ketika membersihkan najis dan basuh tangan selepas menyentuh haiwan.
Sumber: Threads @rynamarina25 / Facebook Kementerian Kesihatan Malaysia
