Sihat

Batal Ke Wudhu Bila Angin Keluar Dari Faraj Wanita?

27
SHARES

Mesti ramai dalam kalangan wanita pernah mengalami situasi apabila angin keluar dari faraj atau Miss V bukan? Ada yang mengatakan bahawa ini petanda bahawa Miss V ‘longgar’ dan tidak sihat. Ada juga dalam kalangan wanita yang tertanya-tanya adakah batal wudhu apabila keluar angin dari faraj tersebut? Ini jawapan dari Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

BATAL KE WUDHU JIKA ANGIN KELUAR DARI FARAJ WANITA?

SOALAN: Apakah batal wudhu’ jika ada angin yang keluar daripada faraj wanita? Bagaimanakah jika ia sangat kerap berlaku?

Maksud kentut faraj

Vaginal flatulence, queefing adalah antara nama lain bagi kentut faraj atau vagina ini. Maksud kentut vagina ini adalah satu keadaan apabila terdapat udara yang terperangkap di dalam faraj. Bunyi yang terhasil adalah hampir sama seperti bunyi angin yang keluar melalui dubur.

Walau bagaimanapun, queefing tidak mempunyai sebarang bau. Namun, perlu diakui ia adalah satu situasi yang memalukan walaupun keadaan ini dianggap normal dan tidak melibatkan sebarang risiko berkaitan kesihatan.

Menurut Naib Presiden Bahagian Perubatan Luar di Planned Parenthood, Dr. Vanessa Cullins, “Kentut faraj berlaku apabila udara memasuki saluran faraj dan cuba melepaskan diri. Oleh kerana itu terhasil bunyi saat angin cuba melepasi bukaan lubang faraj. Ia tidak berbau kerana ia cuma angin kosong.”

JAWAPAN: BATAL ATAU TAK WUDHU

Angin yang keluar melalui faraj Wanita (atau disebut juga dalam Bahasa Inggeris sebagai queef) membatalkan wudhu’. Ini pandangan para ulama’ Syafi’iyyah sebagaimana yang dinukilkan oleh Imam al-Nawawi.

“Benda yang keluar daripada kemaluan hadapan lelaki atau perempuan, atau kemaluan belakang kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angin, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angin yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh [Imam] al-Syafie rahimahullah dalam kitab al-Umm, dan disepakati itu oleh ashab [ulama’ Syafieyyah].”[1]

Sabda Rasulullah SAW:

‌لَا ‌وُضُوءَ ‌إِلَّا ‌مِنْ ‌صَوْتٍ ‌أَوْ ‌رِيحٍ

Maksudnya: “Tidak batal wudhu’ kecuali kerana bunyi atau bau.”[2]

Jika ia berlaku dengan kerap atas faktor penyakit atau keuzuran, di sini terdapat keringanan untuk solat walaupun tetap keluar angin daripada farajnya kerana dianggap seperti darah istihadah. Pun begitu, saya menasihatkan wanita yang diuji dengan hal sebegini:

-Sedaya upaya menjaga kesuciannya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang angin daripada keluar;

-Bersegera mengambil wudhu’ apabila sudah masuk waktu solat fardu;

-Bersegera melakukan solat tanpa bertangguh iaitu melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid atau meletakkan penghadang solat (sutrah).[3]

Wallāhu aʿlam.

Sumber: HelloDoktor, DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×