Jangan segan nak mengaku, ada 2 benda yang kita paling suka buat masa cuaca sejuk atau hari hujan – TIDUR dan MAKAN.
Betul tak?
Di Malaysia sekarang ni cuaca memang agak sejuk berbanding biasa disebabkan musim tengkujuh.
Kalau kita perasan, cuaca sejuk-sejuk macam ni memanglah akan buat perut kita terasa lapar je kan?
Adakah ia sekadar ‘perasaan’ dan ‘imaginasi’ kita semata-mata?
Sebenarnya, memang ada perkaitan dari segi sains tentang kenapa kita asyik lapar ketika cuaca sejuk. Kebanyakan kajian di luar negara juga mendapati pengambilan kalori adalah lebih tinggi ketika musim sejuk berbanding musim-musim yang lain.
Tetapi adakah kita memerlukan lebihan kalori tersebut?
Haa… Mesti ramai nak tahu persoalan yang kedua tu kan?
Jom fahamkan selanjutnya!
4 Sebab Kenapa Kita Asyik Lapar Ketika Cuaca Sejuk
1. Tubuh Merangsang Rasa Lapar
Pada bulan-bulan sejuk, anda mungkin merasa lebih lapar kerana badan perlu membakar lebih banyak tenaga untuk mengekalkan suhu, kata Dr Lawrence menerusi laman web MedicalXpress.
Salah satu cara tubuh akan bertindak balas untuk menjaga keseimbangan homeostasis [keseimbangan] tenaga adalah dengan merangsang rasa lapar.
Jadi inilah antara faktor kenapa kita asyik lapaaarr je masa hujan-hujan tu…
Baca juga: 8 Sebab Kenapa Ada Orang Asyik Rasa Sejuk Padahal Orang Lain Macam Biasa Je
2. Kurang Aktiviti Luar
Musim hujan menjadikan aktiviti luar kita terbatas. Nak bawa anak ke taman permainan pun tak boleh, lebih-lebih lagi dalam tempoh PKP ni.
Apabila kita lebih sering berada di dalam rumah, kita mungkin punyai lebih banyak masa lapang DAN mempunyai akses yang mudah terhadap stok makanan.
Tak percaya cuba kira berapa kali buka peti sejuk hari ni… Kalau dekat pejabat, seganlah kalau orang nampak kita asyik mentekadarahhh je kan?
Jadi apabila terpaksa kekal di rumah, cubalah sibukkan diri juga dengan bersenam, tengok video zumba atau aerobik pun bolehlah… Ajak anak-anak join sekali. Mesti seronok!
3. Comfort Food
Cuaca sejuk boleh membuat seseorang berasa sejuk dan kurang selesa berbanding biasa.
Dalam keadaan yang kurang selesa, manusia secara automatiknya akan mencari penyelesaian untuk menghangatkan diri; dan salah satunya adalah dengan mengambil makanan yang panas dan sedap iaitu ‘comfort food’ untuk menghilangkan rasa kurang selesa tersebut.
Tipulah kalau kita tak pernah terdetik…”Hmm, kalau dapat makan maggi hujan-hujan ni mesti best!”
Tapi seeloknya cubalah ‘lawan’ nafsu tu dan fikirkan menu comfort food yang lebih sihat contohnya teh hijau atau kopi o’ tanpa gula.
4. Iklan TV / Media Sosial
Kebanyakan orang menghabiskan waktu lapang kini dengan menggunakan handphone, terutamanya di media sosial.
Selain iklan-iklan makanan yang tak terkira banyaknya, tengok news feed kawan-kawan yang makan itu ini pun boleh buat kita terliur jee….
Itu belum kira iklan di TV dan Netflix lagi. Tengok pelakon tu makan, kita pun rasa nak makan.
Habislah diet macam ni!
Baca juga: Badan ‘Naik’ Bukan Sebab Bahagia, Tapi Sebenarnya Stres. Ini 6 Buktinya
Adakah Kita Perlu Lebih Kalori Ketika Cuaca Sejuk & Musim Hujan?
OK persoalannya, adakah kita memerlukan lebih kalori untuk menghangatkan badan ketika musim sejuk?
Jawapan ringkasnya TIDAK.
Ini kerana, menurut pakar menerusi MyFitnessPal, walaupun kita terdedah kepada suhu yang lebih sejuk dan kita membakar kalori melalui menggigil atau termogenesis yang tidak menggigil (iaitu, tubuh kita menjaga kehangatan dengan cara selain menggigil), kebanyakan pakar bersetuju bahawa kalori yang terlibat dalam proses ini adalah tidak signifikan.
Oleh itu, kita tidak perlu mengubah jumlah pengambilan kalori harian bergantung pada musim hujan atau cuaca sejuk.
Boleh je nak makan goreng pisang panas ke, teh o suam ke, tapi kenalah bersederhana.
Yang penting, jangan jadikan alasan cuaca sejuk dan hari hujan untuk makan secara berlebihan sampai tak ingat dunia!