Kemurungan perinatal adalah sejenis gangguan mood yang berlaku semasa kehamilan atau selepas bersalin. Kemurungan perinatal berkait rapat dengan perubahan hormon besar-besaran yang berlaku semasa dan selepas kehamilan. Walaupun kehamilan sering dianggap sebagai detik bahagia, terdapat wanita yang menghadapi cabaran emosi dalam tempoh ini.
Sirap Limau menemubual Dr. Aida Harlina binti Abdul Razak, pakar psikiatri di Hospital Wanita & Kanak-kanak Andorra sempena Kempen Masam Masam Manis bagi mengetahui lanjut tentang perkara ini.
Hilang Minat, Salahkan Diri Antara Tanda Kemurungan Perinatal
Gejala kemurungan perinatal boleh dibahagikan kepada perubahan emosi, pemikiran, tingkah
laku, dan fizikal:
- Emosi: mood tidak stabil, kerap menangis, mudah marah atau perasaan sedih yang berpanjangan.
- Pemikiran: berfikiran negatif, menyalahkan diri sendiri dan kesukaran melihat sisi positif kehidupan.
- Tingkah laku: hilang minat terhadap aktiviti yang sebelum ini digemari & rasa tidak berminat dalam kehidupan harian.
- Fizikal: gangguan tidur, kurang tenaga dan kurang motivasi.
Dr. Aida berkata bahawa statistik kemurungan perinatal semakin meningkat di Malaysia, dengan kadar keseluruhan kemurungan meningkat sebanyak 30%.
Beliau turut menambah, apabila gejala ini berlarutan, ia boleh memberi kesan besar terhadap kesejahteraan ibu serta kemampuannya menjaga diri dan keluarganya.
Baca juga: Rupanya Sesuai Untuk Bayi Baru Lahir, Ini Teknik Grounding Di Malaysia Menurut Pakar
Beri Kesan Mendalam Kepada ‘Bonding’ Keluarga
Kesan kemurungan perinatal yang tidak dirawat bukan sahaja menjejaskan ibu tetapi juga:
- Semasa kehamilan: pengabaian penjagaan kehamilan boleh memberi kesan buruk kepada perkembangan bayi dalam kandungan.
- Selepas bersalin: ibu mungkin menghadapi kesukaran untuk membentuk hubungan dengan bayi, enggan menyusukan bayi atau mengabaikan penjagaan diri.
- Hubungan keluarga: keadaan ibu boleh menyebabkan tekanan kepada pasangan dan anak, mencetuskan kesan berantai kepada kesejahteraan keluarga.
Dalam kes yang lebih teruk, ada ibu yang mungkin terlintas untuk mencederakan diri sendiri atau bayi mereka.
Jangan Malu Dapatkan Bantuan, Rawatan Kini Mudah Diakses
Dr. Aida menegaskan kepentingan mendapatkan bantuan profesional bagi merawat kemurungan perinatal. Rawatan bermula dengan penilaian menyeluruh oleh pakar psikiatri, diikuti dengan pendekatan yang bersepadu:
- Ubat-ubatan: membantu mengawal mood dan kesihatan mental.
- Sokongan emosi: kaunseling dan sokongan daripada keluarga, rakan dan profesional kesihatan.
- Rawatan holistik: pelan menyeluruh yang merangkumi keperluan fizikal dan emosi.
Pesakit Perlu Sokongan Keluarga & Orang Sekeliling Untuk Pulih
Dr. Aida juga menekankan bahawa pemulihan daripada kemurungan tidak boleh dilakukan secara sendirian. Ia memerlukan sokongan aktif daripada pasangan dan ahli keluarga.

Dr. Aida Harlina binti Abdul Razak merupakan pakar psikiatri di Hospital Wanita & Kanak-kanak Andorra
Langkah pertama untuk mendapatkan bantuan boleh membuka jalan ke arah masa depan yang lebih cerah—untuk ibu, keluarga, dan bayi mereka
Dr. Aida dan pasukannya di Hospital Wanita & Kanak-kanak Andorra menyediakan penilaian dan rawatan yang disesuaikan. Beliau boleh ditemui setiap hari Ahad dan Isnin dari pukul 6:00 petang hingga 10:00 malam.
Baca juga: JMB Bermasalah, Ini Cara Nak Buat Aduan