Sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara, SAYS melancarkan kempen The Pink Ribbon yang berlangsung dari 1 hingga 31 Oktober. Kempen ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara melalui kisah-kisah survivor yang menginspirasikan, temu bual pakar, kandungan video yang menarik, dan daripada pelbagai sumber berguna.
Baca juga: Ramai Yang TAKUT Bila Perubahan Ini Berlaku Pada Payudara, Rupanya Normal Je…
SAYS LANCAR KEMPEN THE PINK RIBBON, BULAN KANSER PAYUDARA
Kanser payudara merupakan kanser paling lazim berlaku dalam kalangan wanita di Malaysia. Menurut Pendaftaran Kanser Kebangsaan, kira-kira 1 daripada 19 wanita di Malaysia akan menghidap kanser payudara dalam hidup mereka.
Setiap tahun, lebih 8,000 kes baru kanser payudara didiagnos, mewakili kira-kira 35% daripada semua kanser yang menjejaskan wanita Malaysia. Pengesanan awal adalah kunci untuk meningkatkan kadar kelangsungan hidup, di mana kajian menunjukkan bahawa kanser payudara yang dikesan pada peringkat awal mempunyai kadar kelangsungan hidup sebanyak 90%.
Sepanjang bulan Oktober, The Pink Ribbon akan mengeluarkan satu siri artikel, video, dan temu bual. Topik-topik termasuk perkongsian perjalanan peribadi survivor kanser payudara dan cabaran yang mereka hadapi, penjelasan tentang kanser payudara, sumber bantuan kewangan, serta saringan pengesanan awal.
Kempen ini juga akan menyediakan pandangan daripada pakar perubatan terkemuka, menawarkan maklumat tentang pemeriksaan payudara sendiri, pilihan rawatan, dan sistem sokongan untuk individu serta keluarga yang terkesan oleh kanser payudara.
Kempen The Pink Ribbon berkerjasama dengan Majlis Kanser Nasional (MAKNA), Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA), Pusat Perubatan Sunway (Sunway City), Pusat Kanser Sunway, dan Hospital Pantai Kuala Lumpur.
Menurut Gowri Chitra Martin, Head of Content di SAYS, terlalu banyak tanggapan yang salah mengenai kanser payudara di luar sana. Dia berharap dengan adanya kempen ini dapat merapatkan jurang dan menunjukkan kepada wanita serta lelaki bahawa ini bukan sesuatu yang harus disembunyikan atau dipandang rendah.
Layari says.com/thepinkribbon untuk mendapatkan kandungan terkini, termasuk akses kepada rangkaian sokongan kanser payudara dan sumber pendidikan.