Kejadian kelas terbakar di sebuah sekolah pada petang semalam berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 10 hingga 12 minit hasil tindakan pantas guru dan warga sekolah yang menggunakan pemadam api.
Kisah berkenaan dikongsikan oleh pengguna Threads, nasikerabu_abeysyed, yang menceritakan detik cemas ketika kebakaran berlaku di sekolah pada 14 September 2026.
Baca juga: Guna Kertas Kajang Buat Resume Mohon Kerja, Lelaki Ini Dipuji “Sekurang-Kurangnya Dia Ada Usaha”
KELAS TERBAKAR DI SETIA ALAM, CIKGU BERGEGAS PADAM API

Menurutnya, kejadian berlaku sekitar jam 4.13 petang ketika dia baru hendak menunaikan solat Asar sebelum terdengar jeritan murid.
Tanpa berlengah, dia menangguhkan solat dan terus bergegas ke lokasi kejadian dengan masih memakai selipar solat.
“Tangguh solat jap, terus berkejar dengan selipar solat, angkut semua pemadam api di setiap level atau blok, 15 hingga 20 tong. Sembur non stop. Sekitar 10 hingga 12 minit api berjaya dikawal, dengan izin Allah,” katanya.
Berdasarkan kronologi yang dikongsikan, semua murid berjaya diarahkan keluar dari bangunan dan berkumpul di padang sekitar jam 4.13 petang.
Dalam tempoh sama, warga sekolah mengambil peranan masing-masing bagi memastikan keadaan dapat dikawal. Guru wanita ditugaskan mengawasi murid di padang, manakala guru lelaki menghubungi pihak bomba.
Beberapa warga sekolah lain turut membantu memadam kebakaran termasuk kakitangan pejabat, pekerja kantin, pengawal keselamatan dan tukang kebun.
Katanya, sekitar jam 4.20 petang, pihak bomba menerima laporan mengenai kejadian sebelum api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira jam 4.28 petang.
Pihak bomba kemudiannya tiba di lokasi pada jam 4.33 petang. Lebih melegakan, kebakaran hanya melibatkan sebuah bilik darjah dan berjaya dikawal dalam tempoh kira-kira 10 hingga 12 minit.
Tindakan pantas elak api merebak

Menurutnya, tindakan pantas amat penting kerana api dipercayai berpotensi merebak ke bilik bersebelahan sekiranya berlaku kelewatan.
Malah, dia turut berkongsi keadaan dinding simen kelas bersebelahan yang masih terasa suam selepas kebakaran berjaya dikawal.
Menariknya, warga sekolah berkenaan pernah menjalani latihan kebakaran pada 9 Disember 2025 bagi sesi petang.
Latihan tersebut dilihat menjadi antara persediaan yang membantu warga sekolah memahami tindakan perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan sebenar.
Dalam perkongsiannya, nasikerabu_abeysyed turut menzahirkan penghargaan terhadap semua warga sekolah yang bekerjasama dan bertindak pantas ketika kejadian.
Perkongsian tersebut menjadi peringatan bahawa latihan keselamatan dan tindakan pantas setiap warga sekolah amat penting bagi mengelakkan kebakaran kecil daripada bertukar menjadi tragedi lebih besar.
Sumber: Threads Nasi Kerabu Abey Syed
