“Wah, ramai yang cadang nak puasa esok. Aku pun nak puasa jugalah. Tapi, kenapa orang berpuasa pada Hari Asyura ya? Kalau aku tak puasa hari ni, tak apa ke kalau puasa esok? Nanti 11 Muharram pun kena puasa juga ke?”
Bermulanya bulan Muharram menandakan masuk tahun baru bagi kalendar Islam. Dalam bulan Muharram ini, terdapat satu amalan yang dianjurkan kepada umat Islam iaitu berpuasa pada Hari Asyura, iaitu 10 Muharram.
Tapi, apakah keutamaan Hari Asyura yang menjadikannya istimewa?
Ketahui 6 Perkara Tentang Hari Asyura (10 Muharram)
Mungkin tak ramai yang tahu apa sebenarnya berlaku pada 10 Muharram yang menjadikannya istimewa. Bila kita tengok orang puasa, kita pun ikut puasa. Jadi, eloklah kalau kita ambil tahu beberapa perkara yang berkaitan dengan Hari Asyura.
1. Keistimewaan Hari Asyura
Dalam bahasa Arab, hari Asyura bererti hari ke sepuluh.
Hari Asyura dikaitkan dengan beberapa peritiwa penting dalam sejarah umat Islam, contohnya hari di mana Allah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Israel daripada Firaun dan musuh-musuh mereka.
Dalam sebuah hadis menyebutkan:
Rasulullah S.A.W datang ke Madinah dan kemudian baginda melihat golongan Yahudi berpuasa pada hari Asyura. Lalu baginda berkata: “Apakah ini ?”. Mereka pun menjawab: “Ini adalah hari yang baik. Inilah harinya Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut. Lalu Baginda bersabda: “Aku lebih berhak ke atas Musa berbanding kamu”. Maka Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan supaya umatnya berpuasa pada hari itu.
(Riwayat al-Bukhari)
2. Hukum & Kelebihan Berpuasa Pada Hari Asyura
Hukum berpuasa pada Hari Asyura adalah sunat.
Terdapat nas yang menceritakan kelebihan berpuasa pada 10 Muharram ini secara khusus. Antaranya adalah sebuah riwayat daripada Abu Qatadah RA bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
Berpuasa pada hari ‘Asyura sesungguhnya aku mengharapkan kepada Allah supaya ia dapat menghapuskan dosa-dosa setahun sebelumnya.
(Riwayat Ibn Majah)
3. Kenapa Umat Digalakkan Berpuasa Pada 9 & 11 Muharram?
Kalau anda perasan, kebanyakan yang berpuasa Asyura ini sudah mula berpuasa pada 9 Muharram dan akan turut berpuasa pada 11 Muharram. Kenapa agaknya ya?
Sebenarnya amalan ini adalah bertujuan untuk menyelisihi golongan Yahudi yang hanya berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Berdasarkan sebuah riwayat daripada Ibn Abbas, Nabi SAW bersabda:
Berpuasalah kalian pada hari ‘Asyura dan berbezalah dengan golongan Yahudi. Berpuasalah sehari sebelumnya ataupun sehari selepasnya.
(Riwayat Ahmad)
4. Tapi, Kalau Nak Puasa Pada 10 Muharram Saja Bolehkah?
Menurut penjelasan Mufti Wilayah Persekutuan, cara paling afdal untuk menyempurnakan puasa Hari Asyura adalah dengan berpuasa sehari sebelum dan sehari selepas 10 Muharram.
Cara kedua yang terbaik adalah dengan berpuasa pada 9 dan 10 Muharram. Manakala, cara ketiga adalah dengan berpuasa pada 10 Muharram secara tunggal. Ini bermakna, tak salah kalau kita hanya berpuasa pada 10 Muharram saja.
5. Keistimewaan Lain Bulan Muharram
Selain berpuasa Hari Asyura, sebenarnya hari-hari lain dalam bulan Muharram juga dianjurkan untuk berpuasa ya. Ini kerana, bulan Muharram adalah bulan paling afdhal untuk berpuasa sunat setelah bulan Ramadhan.
Terdapat sebuah hadis yang menceritakan tentang seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah SAW tentang bulan apakah yang Rasulullah perintahkan untuk dirinya berpuasa setelah bulan Ramadhan? Baginda SAW menjawab:
Sekiranya kamu hendak berpuasa setelah bulan Ramadhan maka berpuasalah kamu pada bulan al-Muharram kerana sesungguhnya ia adalah bulan Allah.
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, kalau kita baca semula hadis di atas, bulan Muharram juga disebut sebagai bulan Allah – yang tidak disebut pada bulan-bulan lain. Secara umumnya, jika sesuatu perkara itu disandarkan kepada Allah maka sudah tentu ia adalah sesuatu yang mulia, seperti Baitullah, Abdullah, Rasulullah, dan seumpamanya.
Jadi, lepas puasa Syura ini, jangan lupa manfaatkan baki bulan Muharram dan mengisinya dengan pelbagai amal soleh!
6. Kenapa Ada Ritual Mencederakan Diri Pada Hari Asyura?
Bagi golongan Syiah, mereka melakukan ritual berdarah sebagai tanda kesedihan atas kematian Saidina Husain, iaitu cucu Rasulullah SAW. Ada yang memukul dada, menampar pipi, memukul bahu, menghiris kepala mereka dengan pedang dan sebagainya.
Mencederakan diri adalah salah satu bentuk kesesatan yang jelas sekali bukan dalam ajaran Islam. Sungguhpun Saidina Husain adalah seorang ahli ibadah, mulia, berani dan murah hati, tetapi kesedihan terhadap kewafatan beliau tidak seharusnya diperingati dengan cara ini.
Sebaliknya, umat Islam dianjurkan agar bersabar dan mengucapkan “Innalillahi wa inna ilaihi rajiiun” apabila ditimpa musibah.
Akhir Sekali, Apa Kaitan Bubur Asyura Dengan Hari Asyura?
Siapa tak kenal dengan bubur asyura, kan? Walaupun resepinya mungkin berbeza di sesetengah negeri, tapi majoritinya boleh membayangkan yang bubur ini dibuat beramai-ramai di surau atau masjid untuk diagihkan kepada orang ramai.
Bubur ini turut digelar bubur lambuk dan ia amat sinonim sebagai juadah Hari Asyura. Sebenarnya, ia lebih kepada adat yang diamalkan dalam masyarakat kita. Namun, ada yang mengaitkan bubur tersebut dengan peristiwa Nabi Nuh selepas diselamatkan daripada banjir besar – maka dibuatlah makanan daripada apa yang ada iaitu bubur. Apapun, tiada sumber sahih yang dapat mengesahkan peristiwa ini.
Apapun, tiada aktiviti bergotong-royong ini merupakan satu kerja kemasyarakatan yang baik dan selagi ia tidak terlalu diperbesar-besarkan, tidak salah jika kita ingin membuatnya walaupun pada hari-hari lain.
Apa yang pasti, marilah kita rebut peluang pada bulan yang mulia ini untuk menambah amalan dengan berpuasa sunat. Jangan kerana sibuk menyediakan bubur asyura, ia menghalang pula kita daripada melakukan puasa sunat dan ibadah lain!