Nur

Adik Ni Tulis Surat Sebab Kecewa ‘Dihalau’ Ke Saf Belakang. Ini Respon Padu Mufti Wilayah

4.1K
SHARES

Tindakan seorang budak lelaki yang menulis surat kepada Tok Imam kerana mahu meluahkan rasa kecewa apabila disuruh ke saf belakang menjadi viral di media sosial.

Dalam surat tersebut, dia menyatakan rasa sedih dan kecewa kerana dihalau dari saf pertama walaupun tidak bermain-main dan bersolat dengan khusyuk.

Surat tersebut menjadi tular dan ramai netizen memuji tindakan adik ini kerana isu ini sering berlaku di banyak lagi surau serta masjid di Malaysia.

Ia juga mendapat perhatian daripada Mufti Wilayah Persekutuan dan beliau memberi respon yang cukup jelas serta terperinci terhadap isu ini.

Malah, dalam masa 1 jam saja post beliau ini mendapat lebih 5ribu perkongsian di Facebook!

Berikut adalah respon Mufti Wilayah yang dituliskan beliau di akaun Facebook.

Respon Mufti Wilayah Persekutuan Kedudukan Saf Kanak-kanak Dalam Masjid / Surau

Assalamualaikum wbt.

Ke hadapan anakanda Nadzrul Zarfan bin Sharul Azry bin Kasim bin Mat

Pakcik ada membaca surat anakanda yang ditularkan di media sosial. Ada yang tag pakcik di Twitter dan tanya berhubung kedudukan saf kanak-kanak dalam masjid/surau. Sebenarnya selaku Mufti Wilayah Persekutuan, pakcik dah ulas isu ini lama dahulu, tahun 2016 dalam Bayan Linnas bertajuk Masjid dan Kanak-Kanak. Anakanda boleh klik di sini http://muftiwp.gov.my/en/artikel/bayan-linnas/1154-bayan-linnas-siri-63-masjid-kanak-kanak untuk membaca.

Ringkasnya, di dalam Sahih al-Bukhari, no. 380 terdapat sebuah hadith yang menceritakan tentang bagaimana Rasulullah SAW menyusun saf kanak-kanak dengan mengarahkan Anas bin Malik RA berada bersama-sama kanak-kanak kecil dan kemudian Rasulullah SAW solat bersama mereka.

Al-Imam al-Mawardi rahimahullah di dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir: “dan telah berkata sebahagian ashab kami, yang lebih utama itu adalah dengan meletakkan kanak-kanak (di dalam saf) di antara dua lelaki kerana lebih membawa kanak-kanak tersebut kepada mempelajari pergerakan-pergerakan solat.” (Lihat al-Hawi al-Kabir, 2/340).

Begitu juga kata al-Khatib al-Syarbini: “Kedudukan sebagaimana yang disebutkan (kanak-kanak di belakang) ialah apabila mereka semua datang pada waktu yang sama. Sekiranya kanak-kanak hadir terlebih dahulu, tidak boleh ditarik mereka bagi memberi laluan kepada lelaki dewasa. Ini sebagaimana jika mereka terlebih dahulu masuk ke saf pertama, maka sesungguhnya mereka lebih berhak, pada pendapat yang sahih. Ia sepertimana dinukilkan dalam Al-Kifayah daripada Al-Qadhi Husain dan selainnya. Beliau memperakukan hal tersebut. Ini kerana mereka (kanak-kanak) merupakan daripada jenis mereka (lelaki dewasa), tidak seperti khunsa dan wanita. Sesungguhnya kanak-kanak hanya diletakkan di belakang daripada lelaki dewasa sebagaimana kata Al-Azraie apabila saf lelaki tidak muat untuk mereka. Jika tidak, hendaklah disempurnakan. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 1/492)

Maknanya anakanda, tak salah apa yang anakanda buat tu. Bagus duduk dengan orang-orang dewasa. Belajar cara solat dengan lebih sempurna. Tahniah pakcik ucapkan. Kalau ada orang kata nanti terputus saf bila ada budak-budak antara orang dewasa, cakap pada dia, Mufti Wilayah Persekutuan belum jumpa lagi mana-mana ulama’ yang kata begitu.

Secara umumnya, di bawah ini adalah keadaan saf mengikut bilangan makmum dan jantinanya.

1. Jika seorang imam bersama dengan dua orang ataupun lebih dari makmum lelaki, ataupun di belakang imam tersebut terdapat seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak maka keduanya berada di dalam satu saf di belakang imam.

2. Sekiranya seorang imam diikuti oleh dua orang makmum lelaki dan seorang perempuan, maka kedua orang lelaki tersebut berada dalam satu saf di belakang imam manakala perempuan tersebut berada di belakang keduanya.

3. Dalam keadaan ramainya makmum lelaki berserta perempuan dan juga kanak-kanak bersama imam maka kedudukan para makmum lelaki adalah di saf pertama atau kedua-dua saf yang paling hampir dengan imam. Kemudian kanak-kanak berada di belakang mereka. Manakala terdapat suatu pendapat di sisi para fuqaha bermazhab Syafie yang mengatakan bahawa diletakkan di antara dua orang lelaki dewasa itu seorang kanak-kanak supaya dia dapat mempelajari pergerakan-pergerakan solat. (Lihat Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 27/36-37).

Kepada pihak masjid dan ibu bapa, ini cadangan saya:

1. Jika kanak-kanak teramat kecil dan susah untuk di jaga serta mengganggu Jemaah, maka aulanya tidak di bawa ke masjid.

2. Jika kanak-kanak tidak mengganggu namun dibimbangi oleh kedua ibu-bapa akan keadaannya, maka boleh diletakkan di sebelah ibu-bapanya. Saya syorkan dalam keadaan sebegini, ibu-bapa untuk bersolat di tepi dinding (hujung saf) dan diletakkan anaknya itu dihujung sekali.

3. Jika kanak-kanak mampu berdikari, aulanya diletakkan di saf kanak-kanak. Tetapi kanak-kanak tersebut telah berada di saf pertama sejak awal, tidak perlu menghalau mereka ke belakang.

4. Sayugia juga wujudnya penyelia yang mengawasi dan membimbing kanak-kanak di dalam saf dan solat mereka agar kanak-kanak dapat melakukan solat dengan sebaik mungkin. Di samping itu, dia dapat menasihatkan kanak-kanak dari berbuat bising dengan mengajarkan adab-adab dan meraikan kehormatan masjid.

Tahniah sekali lagi pakcik ucapkan kepada anakanda Nadzrul. Pakcik doakan anakanda sentiasa menjaga solat lima waktu dan berusaha mendapatkan saf pertama setiap kali solat. Kalau jumpa pakcik di mana-mana nanti, kenalkan diri ya. Ada hadiah untuk Nadzrul.

Yang benar,

Dato’ Seri. Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri
Mufti Wilayah Persekutuan

Semoga Lebih Ramai Faham Isu Ini

Tahniah adik!

Adik patut menjadi contoh kerana rajin ke surau dan menjaga kelakuan di surau. Tak semua kanak-kanak bermain di surau kan?

Disebabkan adik juga, ramai yang lebih faham tentang isu ini.

Semoga kita juga faham dan mengambil iktibar daripada penjelasan Mufti WP.

Most Popular

To Top
×