‘Breast is best’, tak dinafikan lagi memang ada banyak kebaikan susu badan yang telah dikurniakan kepada para ibu yang melahirkan anak.
Kita boleh nampak pelbagai usaha ibu-ibu zaman sekarang yang berusaha memastikan bayi mereka mendapat susu ibu, setidak-tidaknya dalam 6 bulan pertama. Ada yang sampai stres dan sedih sangat kalau tak dapat menyusukan bayi.
Pernahkan kita terfikir betapa hebatnya ciptaan Tuhan sehingga ia mendapat gelaran ‘titisan emas’ ini?
6 Keunikan & Kebaikan Susu Ibu Yang Dibuktikan Sains
Berikut adalah beberapa kajian sains yang telah membuktikan keunikan dan kebaikan susu ibu.
1. Kandungan Susu Ibu Berubah Mengikut Usia Bayi
Kalau kita tengok pada iklan susu formula, ada macam-macam formula yang dirumuskan khas bagi usia 0-12, 1-3, 4-6 dan sebagainya.
Ini kerana tumbesaran bayi yang berbeza memerlukan nutrisi yang tertentu bagi menyokong perkembangan ini.
Jika anda perasan, warna susu ibu sering berubah daripada titisan kolostrum yang terhasil pada beberapa hari pertama hinggalah apabila bayi meningkat usia.
Ini kerana kajian sains membuktikan bahawa kandungan lemak dan tenaga dalam susu ibu semakin bertambah seiring dengan usia bayi.

Foto Kredit: verywellfamily.com
2. Susu Ibu Menghasilkan Antibodi Apabila Bayi Sakit
Apabila bayi kurang sihat atau demam contohnya, penelitian menunjukkan bahawa bilangan leukosit dalam susu ibu juga akan turut bertambah.
Sel ini bertindak memerangi jangkitan dan sekaligus menguatkan sistem pertahanan bayi.
Kalau kita perasan, bayi yang demam juga akan minum lebih banyak berbanding biasa. Jadi, ini memang bagus untuk bayi sebab lebih banyak antibodi akan membantu bayi cepat sihat.
Menakjubkan bukan?

Foto Kredit: rcemlearning.co.uk
3. Komposisi Susu Ibu Berbeza Mengikut Jantina Bayi
Penelitian menunjukkan bahawa susu badan yang dihasilkan oleh payudara ibu berbeza mengikut jantina bayi yang disusukan.
Secara spesifiknya, susu yang terhasil bagi bayi perempuan memiliki kandungan lemak dan protein yang kurang sedikit berbanding bayi lelaki.
Namun apa yang mengejutkan adalah bagaimana komposisi ini boleh beradaptasi mengikut budaya, seperti yang pernah dilaporkan dalam sebuah kajian di Kenya pada tahun 2012. Dalam kajian tersebut, didapati susu ibu yang dihasilkan oleh ibu yang kurang nutrisi adalah lebih berkualiti bagi bayi perempuan berbanding bayi lelaki. Para penyelidik melihat perkara ini sebagai salah satu yang luarbiasa, malah ia memberi impak yang besar kerana kaum wanita mempunyai peluang yang lebih cerah dalam meningkatkan profil keluarga mereka melalui perkahwinan.

Foto Kredit: DailyMail
4. Penyusuan Badan Mengurangkan Risiko Asthma, Alergi & Obesiti
Kajian saintifik juga telah membuktikan bahawa bayi yang diberi susu ibu kurang berisiko terhadap masalah kesihatan seperti alahan, asthma, alergi bahkan obesiti.
Kajian terkini juga mendapati bahawa susu ibu turut mampu mengurangkan risiko penyakit radang pada kulit atau ekzema serta penyakit leukemia.

Foto Kredit: activemomsnetwork.com
5. Pertumbuhan Otak Bayi Yang Lebih Baik
Selain kebaikan susu ibu dari segi kesihatan, ia juga didapati dapat menggalakkan pertumbuhan otak bayi yang lebih baik serta tingkah laku anak yang lebih berdisplin.
Para saintis berpendapat bahawa ini juga berkait rapat dengan masa berkualiti antara ibu dan anak untuk berinteraksi sepenuhnya sekaligus meningkatkan hubungan kasih sayang antara ibu dan anak.

Foto Kredit: parenting.com
6. Susu Badan Membantu Bayi Tidur Lena
Lagi satu yang unik tentang susu ibu adalah bagaimana komposisinya juga boleh berubah antara waktu siang dan malam.
Menurut hasil sebuah pemerhatian, susu badan yang terhasil pada waktu malam memiliki kandungan nukleotida yang lebih tinggi bagi membantu tidur bayi.
Atas sebab ini, ada saintis yang menganjurkan bahawa susu yang diperah pada waktu malam lebih sesuai untuk diberikan kepada bayi pada waktu malam kerana ia dapat menggalakkan bayi tidur lebih lena sesuai dengan waktunya.

Foto Kredit: breastfeedingexperience.com
Ia Juga Magik Buat Ibu!
Wah, banyak betul kebaikan susu ibu yang mungkin kita tak pernah tahu sebelum ini kan?
Selain kebaikan susu ibu kepada bayi, penyusuan juga banyak manfaatnya buat ibu kerana :
- membantu mengecutkan rahim dan mengembalikannya kepada saiz yang asal dengan cepat serta mengurangkan pendarahan selepas bersalin.
- membakar kalori dan mengembalikan bentuk badan asal anda dengan cepat.
- mengurangkan risiko kanser payudara dan kanser ovari.
- menjarakkan kelahiran jika mengamalkan penyusuan ibu secara sepenuhnya
Jadi walaupun susah, ternyata pengorbanan ibu untuk menyusukan bayi amat berbaloi kerana nutrisi dalam susu ibu tiada tolok bandingannya.
Tahniah buat ibu-ibu kerana berusaha sedaya-upaya menjayakan penyusuan susu ibu!