Dalam media sosial, rasanya kerap juga kita tengok kes suami curang, suami tak bertanggungjawab, suami malas dan sebagainya.
Tapi apa yang kita TAK NAMPAK di media sosial, tak semestinya tak wujud di luar sana.
Ramai lagi suami zaman sekarang ni yang sangat prihatin, bahkan statistik menunjukkan bapa moden meluangkan 3 kali ganda lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding 2 generasi lalu.
Bapa Moden 3 Kali Ganda Lebih Banyak Luangkan Masa Dengan Anak
Sebuah kajian yang dilaporkan oleh Motherly.com membuktikan bahawa kebanyakan bapa zaman ini mahu terlibat secara langsung dalam membesarkan anak-anak.
Statistik menunjukkan bapa moden meluangkan 3 kali ganda lebih banyak masa dengan anak-anak mereka berbanding 2 generasi lalu.
Pada tahun 1982, lebih 43% kaum bapa mengaku mereka tak pernah menukar lampin anak. Hari ini, peratusan kaum bapa yang tak pernah tukar lampin anak hanyalah 3%.
Mungkin ada yang cakap, “Alah, tukar lampin je kot…!” Walaupun ia kelihatan sebagai perkara remeh, tapi percayalah hal ‘kecil’ begini besar maknanya dan amat dihargai oleh isteri. Pakar mendapati bahawa apabila si ayah terlibat dengan kerja domestik seperti memandikan bayi atau memakaikan pakaian pada anak, hubungan mereka menjadi lebih erat.
Bapa Moden Lebih Banyak Buat Kerja Rumah
Memang betul kebanyakan kerja rumah dilakukan oleh wanita, tak kiralah sama ada mereka bekerja atau surirumah sepenuh masa.
Namun, seiring dengan ini tinjauan pakar juga mendapati bahawa bapa moden meluangkan lebih 30 minit sehari melakukan kerja rumah berbanding 2 generasi lalu.
Ini menunjukkan kaum bapa makin alert dengan tugasan di rumah yang perlu dikongsi bersama.
Nampak Remeh Tapi Besar Kesannya Pada Anak-anak
Sikap bapa yang sebegini adalah sesuatu yang positif dan tentunya memberi banyak manfaat kepada keluarga, terutamanya anak-anak.
Seorang bapa yang buat kerja rumah bukan dayus, tapi mereka ikut sunnah.
Bapa begini menjadi inspirasi kepada anak perempuan, mengangkat martabat ibu dan wanita dalam sebuah keluarga.
Bapa begini mengajar anak lelaki bahawa kerja rumah bukan ‘kerja perempuan’, sebaliknya ia adalah tanggungjawab setiap individu. Mereka menormalisasikan erti berdikari.
Trend ini juga mengukuhkan hubungan suami isteri. Yalah, siapa tak suka kalau suami rajin jaga anak dan buat kerja rumah sama-sama kan?
Kaum Bapa Juga Perlukan Sokongan
Di Malaysia, mungkin ramai yang terlepas pandang semua pengorbanan bapa moden ini sebab yang selalu digembar-gemburkan adalah yang sibuk nak kahwin lagi sampai sanggup tinggalkan isteri yang sarat mengandung.
Hakikatnya ramai kaum bapa zaman ini yang berhempas pulas dan melakukan sedaya mereka untuk keluarga dan anak isteri mereka setiap hari. Namun sokongan keluarga, masyarakat dan tempat kerja amat penting dalam membolehkan mereka menyumbangkan yang terbaik.
Bapa selebriti seperti The Rock, John Legend, Dr Sheikh Muszaphar, Johan Raja Lawak, adalah antara yang sering dipuji kerana sering dilihat bersama anak-anak mereka.
Sebenarnya,dalam diam pun, ramai lagi suami dan bapa yang telah merevolusikan peranan mereka hari ini kan?
Respek buat semua kaum bapa yang sentiasa berkhidmat untuk keluarga walaupun diri sendiri tak cukup belanja.
Respek buat semua kaum bapa yang sanggup sembunyikan penat lelah dan tetap tersenyum depan anak dan isteri.
Respek buat kaum bapa yang ikhlas menunaikan tanggungjawab demi menjaga amanah Allah.
Semoga semua urusan anda dipermudahkan.
Terima kasih suami kerana menjadi bapa yang terbaik buat anak-anak kami!