“Macam mana nak tahu laptop murah dan bagus, lebih-lebih lagi kalau kita beli second hand?”
Musim PdPR tentunya memerlukan ramai antara kita yang menambah atau menaiktaraf peranti yang ada di rumah.
Selain anak-anak dan pelajar kolej dan universiti, pekerja juga perlu work from home untuk memastikan kerja di pejabat tidak tergendala.
Begitu juga dengan para guru yang perlu memastikan PdPR tetap terus berjalan setiap hari.
Dengan anak di rumah yang perlu belajar online, rasanya memang tak cukup kalau semuanya berkongsi satu laptop saja di rumah kan?
Di sini kami kongsikan sebuah perkongsian menarik daripada saudara W.H. Pui tentang ciri minimum komputer ribu bajet yang boleh menjadi panduan anda yang mungkin sedang mempertimbangkan untuk membeli laptop baru.
Sekurang-kurangnya kita yang tak berapa reti tentang komputer atau laptop ni pun bolehlah survey dan tahu apa nak cari supaya dapat beli yang elok untuk kegunaan sendiri.
Ciri Minimum Laptop Bajet Yang Kita Kena Tahu
Semasa mencari komputer riba baharu yang murah atau yang terpakai, sila pastikanlah bahawa carian anda memenuhi ciri minumum yang berikut (terutamanya untuk cikgu-cikgu) :
1. Pemproses: Intel i5
- cukup untuk “multi-tasking”
- Intel i3 agak perlahan untuk pelaksanaan aneka tugas serentak
- Intel i5 ialah pilihan yang paling ideal bagi “multi-tasking”.
- Jangan pilih pemproses Intel Celeron atau AMD Athylon yang lama dan terlalu perlahan!
2. Memori/Kecekapan Bekerja: 4 GB
3. Ruang Simpanan: 256 GB SSD
- Untuk menyimpan pelbagai RPH dan bahan bantu belajar serta video
4. Saiz Skrin: 14 inci atau 15 inci
- Saiz skrin 12 inci, 13 inci terlalu kecil- tidak cukup untuk produktiviti
5. Keterangan Skrin: 300 nits dan ke atas
- 300 nits ialah syarat minimum yang membolehkan skrin komputer riba dapat ditatap ketika terdedah kepada sinar matahari
- 250 nits dapat diterima, tetapi skrin komputer akan menjadi suram sedikit dan agak sukar dipandang ketika terdedah kepada sinar matahari.
6. Keberatan: tidak lebih daripada 1.8 kg
- 1.8 kg ialah keberatan sesebuah komputer riba yang mempunyai saiz skrin 15 inci
7. Ketahanan Bateri: 5 – 7 jam
- Jika lebih tinggi, lagi bagus – guru selalu perlu berdamping dengan komputer riba, jadi memerlukan ketahanan bateri yang lebih lama)
Kesimpulannya, guru mempunyai beberapa keperluan untuk komputer riba:
- Murah – gaji guru tidak tinggi.
- Papan kekunci yang mesra jemari – guru selalu menaip dokumen.
– Antara jenama yang mempunyai papan kekunci yang padat: Lenovo, Microsoft. - Saiz skrin yang besar dan bingkai yang tipis – produktiviti – anda dapat melihat perkataan yang lebih banyak pada skrin yang besar dengan bingkai yang tipis.
- Ketahanan bateri yang lama – guru akan menghadap komputer riba dari pagi sampai petang, oleh itu bateri komputer riba mesti lama.
- Kamera – 720p pun sudah cukup untuk Google Meet
Cadangan & Harga Laptop Bajet Yang Murah & Berkualiti
Jika cikgu-cikgu mencari komputer riba yang terpakai yang mempunyai kamera, saya mencadangkan Lenovo ThinkPad yang terpakai atas dua sebab:
- Tahan lama – 5 tahun dan ke atas, tidak meretak kalau dijatuhkan dari tempat tinggi atas bahan binaannya yang kukuh dan ketebalannya
- Papan kekunci ThinkPad diisytiharkan sebagai antara yang terbaik di dunia di samping papan kekunci siri Surface, Microsoft dan siri XPS, Dell. Hal ini dikatakan demikian kerana papan kekunci ThinkPad menghasilkan bunyi yang padat (tidak bising), ketikan yang memuaskan, mesra jemari.
Dengan itu, selain dapat menjalani Google Meet dengan murid, guru yang tentu selalu menaip markah murid akan mendapat pengalaman penaipan yang paling memuaskan hati.
Komputer-komputer riba ThinkPad dalam senarai tersebut dapat dibeli melalui Lazada dan Shopee.
Saya melampirkan jadual pembandingan tentang lima buah ThinkPad yang terpakai dengan harga daripada RM 750 kepada RM1280.
Muat turun : Bandingan Komputer Riba Siri ThinkPad Lenovo
Spesifikasi Minimum ChromeBook / Laptop Untuk Pelajar Sekolah
Selain laptop, mungkin ada ibu bapa yang mahu mencari spesifikasi paling minimum untuk kegunaan anak-anak PdPR.
Di sini disertakan sekali perbandingan Chromebook sebagai antara pilihan yang paling murah dan berbaloi.
Semua Chromebook yang dijual dalam Lazada antara harga RM 400 – RM 500 ialah Chromebook yang terpakai. Telitilah jadual tersebut dan buatlah putusan yang terbaik.
Muat turun: Bandingan Ciri Komputer Riba Chromebook
Semoga bermanfaat!
*Sumber: Facebook W.H. Pui
Nak banyak lagi tips beli laptop murah di Malaysia dan suggestion jenis-jenis laptop yang sesuai, boleh terus ke Facebook Cikgu W.H. Pui di SINI.