CARA BUAT SEMAKAN JALAN YANG DITUTUP AKIBAT BANJIR DAN LALUAN ALTERNATIF MELALUI PORTAL PENGURUSAN BENCANA JKR
Memang tidak boleh terbayang betapa besarnya dugaan yang dialami mangsa-mangsa banjir.
Malaysia telah mencatatkan lebih daripada 60,000 mangsa banjir dari serata negeri antaranya Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Perak.
Ada yang terperangkap di dalam rumah berhari-hari akibat paras air yang terlalu tinggi, ada juga yang terperangkap di tengah jalan raya sehingga berbelas jam.
Dengan cuaca yang sangat sukar untuk dijangka sekarang, macam-macam perkara boleh berlaku semasa dalam perjalanan ketika ini. Boleh dikatakan hampir setiap hari, ada sahaja berita kenaikan air di jalan raya serta kejadian tanah runtuh, jalan mendap dan jambatan runtuh di serata negara.
Kredit Foto : utusan.com.my
Oleh itu, adalah penting untuk anda merancang perjalanan dan mengelak kawasan-kawasan yang berisiko supaya anda selamat sampai ke destinasi.
Laman Rasmi Pengurusan Bencana JKR
Bagi memudahkan perjalanan orang ramai ke destinasi serata negara, Pengurusan Bencana JKR telah mengambil inisiatif untuk membina sebuah laman web khas bagi pengguna jalan raya untuk memantau keadaan semasa jalan raya.
Laman web ini juga pasti sangat berguna untuk para sukarelawan yang sudah merancang untuk turun padang membantu di kawasan yang dilanda banjir.
Melalui laman web tersebut, pengguna dapat mengenalpasti laluan semasa yang terjejas dengan bencana.
Portal tersebut juga menawarkan kemudahan tapisan bagi pengguna mendapatkan maklumat terperinci mengikut jenis bencana dan negeri.
Tidak hanya itu, portal ini juga memberikan butiran lain seperti laluan alternatif sekiranya ada bagi memudahkan pengguna jalan raya ke destinasi yang ingin dituju melalui laluan lain yang lebih selamat. Hanya klik pada “Laluan Alternatif” pada Laluan Alternatif 1 atau 2 dan sebuah pop-up akan keluar untuk menunjukkan laluan alternatif.
Sekiranya tiada laluan alternatif yang ditunjukkan, maka anda dinasihatkan untuk elak melalui kawasan tersebut untuk elakkan sebarang kemalangan yang tidak diingini.
Dengan adanya portal ini, pengguna Malaysia dapatlah menuju ke destinasi masing-masing dengan lebih selamat dan terjamin.
Portal ini juga akan dikemaskini dari semasa ke semasa mengikut kejadian bencana yang berlaku berikutan cuaca yang sukar diramal di seluruh negeri.
Cara Check Jalan Yang Ditutup & Laluan Alternatif
- Anda bolehlah layari laman web bencanaalam.jkr.gov.my untuk lihat keadaan jalan raya semasa.
- Sila lihat pada peta dan pilih laluan yang anda ingin semak.
- Jika laluan tersebut terbabit dengan bencana seperti banjir atau tanah runtuh, semak jika ada laluan alternatif untuk melancarkan perjalanan anda ke destinasi.
- Jika anda scroll lagi ke bawah, anda juga akan diberikan maklumat tentang status krisis terkini tentang bencana yang sudah dinyatakan di peta.
Diharap laman web yang dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya ini dapat dijadikan panduan bagi semua rakyat Malaysia agar berhati-hati di jalan raya.
Ditambah pula dengan penularan wabak Covid-19 yang masih mengganas di luar sana, kita perlulah merancang perjalanan agar selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Buat para sukarelawan yang ingin menuju ke kawasan banjir, berhati-hatilah di jalan raya dan semoga perjalanan dan urusan anda dipermudahkan.
Baca juga: