Ketika isu kekurangan jururawat Malaysia terus menjadi perhatian, Indonesia dilaporkan bersedia membekalkan sehingga 15,000 tenaga kejururawatan bagi membantu menampung kekurangan petugas kesihatan di negara ini.
Perkembangan itu didedahkan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Raden Datuk Mohammad Iman Hascarya Kusumo yang memaklumkan negara itu mempunyai bekalan jururawat mencukupi dan bersedia memenuhi permintaan Malaysia jika diperlukan.
Baca juga: Ranking 10 Jersi Bola Paling Cantik Sempena World Cup 2026, Ada Yang Macam Lukisan Mahal!
ISU KEKURANGAN JURURAWAT MALAYSIA, INDONESIA SEDIA HANTAR TENAGA KERJA
Indonesia sedia bantu tampung kekurangan jururawat
Menurut laporan Berita Harian, Indonesia ketika ini menghasilkan kira-kira 65,000 jururawat setiap tahun, sekali gus mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk dihantar ke luar negara termasuk Malaysia.
“Indonesia bersedia untuk menghantar berapa pun (jumlah) cuma yang pasti sekarang ini kita mempunyai kira-kira 65,000 jururawat.
“Kita bersedia (jika diperlukan 15,000) untuk memenuhi permintaan Malaysia,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Berita Harian.
Sebelum ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dilaporkan berkata Malaysia mempertimbangkan cadangan Indonesia untuk memperluas penempatan pekerja migran Indonesia (PMI) ke sektor kesihatan, khususnya tenaga kejururawatan.
Mohamad Iman menyatakan perkara itu selepas pertemuan bilateral bersama Menteri Luar Indonesia, Sugiono, ketika menghadiri sidang Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala JCBC Ke-17 di Gedung Pancasila, Kementerian Luar Indonesia, minggu lalu.
Media sebelum ini melaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini berdepan kekurangan hampir 15,000 jururawat bertauliah dengan kadar kekosongan mencecah sekitar 18 peratus.
Difahamkan, isu itu dipengaruhi beberapa faktor termasuk penghijrahan tenaga kerja ke luar negara, peningkatan beban tugas serta penuaan populasi.
Mohammad Iman turut menjelaskan bahawa proses membawa masuk jururawat Indonesia boleh dilakukan melalui pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G), membabitkan rundingan antara Lembaga Jururawat Malaysia dan Lembaga Jururawat Indonesia bagi menyelaraskan standard serta kriteria kelayakan.
“Setelah standard itu diselaraskan, maka Nursing Board Malaysia (Lembaga Jururawat Malaysia) akan memberitahu kepada KKM beberapa keperluan.
“Selepas itu, KKM akan memberitahu kepada kami di kedutaan atau Kementerian Kesihatan Indonesia supaya kita boleh menyediakan jururawat untuk dikirimkan dan berkhidmat di Malaysia,” katanya.
Bawa masuk jururawat luar bukan solusi utama
Dalam masa sama, hantaran oleh Public Health Malaysia (PHM) di Facebook turut menarik perhatian ramai apabila menyifatkan isu kekurangan jururawat bukan perkembangan kecil yang boleh dipandang ringan.
Menurut PHM, jururawat merupakan tulang belakang sistem kesihatan kerana mereka paling dekat dengan pesakit, selain bertanggungjawab memantau keadaan klinikal, mengurus ubat, dokumentasi serta menjadi penghubung penting antara doktor, pesakit dan keluarga.
“Apabila bilangan jururawat tidak mencukupi, kesannya dirasai di semua peringkat. Beban kerja meningkat. Masa bersama pesakit menjadi terhad. Risiko burnout bertambah,” katanya.
PHM berpandangan langkah membawa masuk jururawat luar negara mungkin boleh menjadi penyelesaian sementara bagi mengurangkan tekanan di fasiliti kesihatan tertentu, namun ia tidak boleh dijadikan jawapan utama kepada masalah yang lebih besar.
Malah, mereka menegaskan Malaysia perlu melihat semula punca sebenar mengapa ramai jururawat tempatan memilih berhijrah atau meninggalkan sektor tersebut.
“Mengapa kerjaya yang sangat penting ini masih dilihat tidak setimpal dengan beban dan tanggungjawabnya,” katanya lagi.
Menurut PHM lagi, jika tenaga kerja luar mahu dibawa masuk, aspek seperti standard latihan, kompetensi bahasa, keselamatan pesakit, adaptasi budaya kerja dan kebajikan pekerja perlu dipastikan berada pada tahap terbaik.

Gambar: PHM
Kebajikan jururawat tempatan perlu diberi perhatian
Dalam pada itu, PHM turut menegaskan bahawa jururawat tempatan tidak sepatutnya merasakan masalah yang dihadapi diselesaikan hanya dengan menggantikan mereka menggunakan tenaga kerja luar.
Sebaliknya, kebajikan anggota kesihatan perlu diperkukuhkan termasuk beban kerja yang lebih munasabah, laluan kerjaya lebih jelas dan usaha mengekalkan tenaga kerja (retention) yang lebih serius.
“Malaysia memang perlukan lebih ramai jururawat. Tetapi Malaysia juga perlu membina sistem yang membuatkan jururawat mahu kekal,” katanya.
Sumber: Berita Harian / Public Health Malaysia
FT Image: FMT / Mohamad Shahril Badri Saali (NSTP)

