Kewangan

Insentif KWSP Untuk Surirumah Yang Layak Bermula 15 Ogos Ini

211
SHARES

Dalam salah satu manifesto Pakatan Harapan baru-baru ini yang hangat diperkatakan adalah peruntukan 2% daripada KWSP suami untuk wanita yang bergelar surirumah. Ia disambut baik oleh golongan wanita manakala ada antara suami yang membahaskannya.

Jika dilihat dari sudut positif, ia merupakan antara langkah yang baik untuk memperkasakan kedudukan kewangan wanita dalam keluarga, terutamanya bagi mereka yang tidak dapat keluar bekerja atas tuntutan keluarga.

Sehubungan dengan itu, Program Sukarela Insentif (SURI) telah diwujudkan bagi membolehkan suri rumah peluang menikmati sekuriti sosial yang berkualiti dan meningkatkan sekuriti pendapatan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail seperti yang dilaporkan oleh Astro Awani.

Program ini akan dilaksanakan dalam 3 fasa.

 

3 Fasa Yang Dirancang Bagi Program Sukarela Insentif (SURI)

Fasa Pertama

Dalam ucapannya pada Persidangan Sekuriti Sosial Antarabangsa Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 2018, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata fasa pertama akan bermula pada minggu hadapan, iaitu pada 15 Ogos.

Dalam fasa pertama ini, anggota SURI boleh menyimpan minimum RM5 sebulan dalam akaun KWSP masing-masing dan kerajaan pula akan menyumbang RM40 sebulan.

Difahamkan seramai 359,065 wanita yang berdaftar dengan sistem e-Kasih bakal menerima manfaat insentif tersebut.

Fasa Kedua

Dalam fasa kedua pula, sumbangan kerajaan itu akan dinaikkan kepada RM50, di mana sejumlah RM10 akan diagihkan untuk perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (PERKESO).

Fasa kedua ini dijadual untuk dilancarkan awal tahun hadapan.

Fasa Ketiga

Tambah beliau lagi, dalam fasa ketiga nanti, 2% daripada sumbangan KWSP suami akan dimasukkan dalam akaun isteri seperti yang termasuk dalam 10 janji Parti Harapan dalam PRU ke 14 yang lalu.

Walaubagaimanapun, proses untuk sampai ke fasa ketiga ini akan mengambil sedikit masa kerana ia memerlukan pindaan terhadap Akta KWSP 1991.

Pelaksanaan Bakal Diperluaskan

Diharapkan insentif ini mampu menjadi simpanan hari tua bagi isteri serta membantu menjamin kelangsungan hidup pada masa hadapan.

Namun pasti ramai wanita berhasrat ia dapat diperluaskan agar dapat melibatkan lebih ramai surirumah yang layak menerimanya, kan?

Apapun, kita tunggu perkembangannya dalam fasa kedua dan ketiga nanti.

Info lanjut boleh layari www.kwsp.gov.my dan www.kpwkm.gov.my.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×