Seorang ibu mengalami detik cemas apabila bayi lelakinya terperangkap di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) di hadapan rumahnya di Taman Sempelang, Kota Kinabalu hari ini.
Bayi berusia setahun itu ditinggalkan bersendirian oleh ibunya kerana ingin mengambil sesuatu di dalam rumah sebelum pintu kenderaan tiba-tiba terkunci.
Baca juga: Terperangkap Dalam Lif Klinik, 3 Bayi Usia 6-14 Hari Terlibat
IBU CEMAS BAYI TERPERANGKAP SEORANG DIRI DALAM KERETA
Menurut laporan Harian Metro, Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan tersebut pada jam 11.22 pagi.
Jelasnya sepasukan 10 anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dihantar ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi, bayi berkenaan masih berada di dalam kenderaan berkenaan dalam keadaan enjin dan penghawa dingin masih berfungsi.
“Anggota bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk membuka pintu kenderaan Toyota Avanza berkenaan,” katanya.
Bayi berkenaan berjaya diselamatkan selepas kegigihan pihak bomba membuka pintu kenderaan tersebut.
Sumber: Harian Metro