Hari Guru sering menjadi detik istimewa yang diraikan dengan penuh penghargaan oleh murid kepada insan yang membimbing mereka saban hari. Pelbagai hadiah Hari Guru yang diterima namun di sebalik deretan hadiah mewah dan barangan berhias, terselit sebuah kisah yang menyentuh hati dari seorang murid dan hadiah RM1 yang sarat dengan makna.
Siapa sangka, hadiah yang kecil ini boleh menyentuh hati sehingga mengundang air mata…
Baca lagi: Cikgu Dah Banyak Dapat Mug? Boleh Cuba Idea Hadiah Hari Guru Bajet INI Tapi ‘Touching’ Habis!
HADIAH HARI GURU UNDANG AIR MATA, SELIT RM1 DUIT BELANJA SENDIRI

Menurut perkongsian Tiktok Cikgu Saadah, kisahnya bermula apabila beliau menerima pelbagai hadiah daripada anak-anak muridnya daripada alat tulis, bunga, kek buatan sendiri hinggalah barangan eksklusif yang dikirim ibu bapa. Namun, satu hadiah yang paling mencuri perhatian beliau datang dalam bentuk yang paling sederhana iaitu sekeping kad ucapan tulisan tangan dan sehelai duit kertas RM1.
Apa yang menjadikan hadiah itu begitu istimewa bukanlah nilainya, tetapi niat dan pengorbanan di sebaliknya. Guru itu menyedari bahawa murid berkenaan mungkin tidak mempunyai hadiah seperti rakan-rakan lain. Besar kemungkinan, ibu bapanya tidak sempat menyediakan apa-apa kerana pelbagai kekangan yang tidak diketahui. Namun, apabila melihat rakan-rakan lain memberikan sesuatu kepada guru mereka, murid ini tidak mahu ketinggalan.
Dengan niat ikhlas dan semangat menghargai, dia menggunakan duit belanja hariannya semata-mata untuk memberikan sesuatu kepada guru kesayangannya. Duit RM1 itu diselitkan dalam kad buatan sendiri yang ditulis dengan penuh teliti dan jujur.
TULUS TIDAK SEMESTINYA MAHAL…

Tindakan kecil ini membawa makna yang sangat besar. Ia mengingatkan kita bahawa penghargaan yang tulus tidak semestinya datang dalam bentuk mahal atau mewah. Sebaliknya, nilai sebenar sesebuah hadiah terletak pada keikhlasan dan kejujuran hati yang memberi.
Guru tersebut mengakui bahawa hadiah kecil itu menjadi antara yang paling bermakna dalam seluruh kerjaya perguruannya. Ia bukan sahaja mencerminkan kasih sayang seorang murid terhadap gurunya, tetapi juga memperlihatkan nilai empati, usaha dan keazaman yang luar biasa bagi seorang kanak-kanak yang ingin menggembirakan orang lain.
Kisah ini mengajar kita untuk melihat dengan hati. Dalam kehidupan yang semakin materialistik ini, tindakan seperti inilah yang mengingatkan kita bahawa penghargaan sebenar tidak diukur pada harga, tetapi pada niat.
*Semoga kisah ini menjadi inspirasi bukan sahaja kepada para guru, malah kepada semua ibu bapa dan anak-anak bahawa keikhlasan dan rasa hormat adalah hadiah paling berharga yang boleh kita berikan dan wariskan.
Baca juga: 5 Jenama Emas Terbaik & Dipercayai Di Malaysia Untuk Simpanan Jangka Panjang, Berbaloi Beli!
Sumber: Tiktok @CikguSaadah
