Seseorang yang ingin masuk Islam perlu melalui proses pengislaman dan pendaftaran rasmi bagi memastikan status sebagai Saudara Baru atau muallaf direkodkan oleh pihak berkuasa agama.
Berdasarkan Garis Panduan Pengurusan Saudara Baru (Muallaf), seseorang yang ingin masuk Islam hendaklah mengucap Dua Kalimah Syahadah di hadapan Pendaftar Muallaf, pegawai atau individu yang menguruskan proses pengislaman.
Baca juga: Bacaan Yasin Dalam Roblox Untuk Allahyarham Tun Dr Hasmah, Kreativiti Anak Muda Raih Perhatian
GARIS PANDUAN MASUK ISLAM DARI A-Z

Majlis pengislaman tersebut perlu disaksikan oleh seorang saksi lelaki yang memenuhi syarat ditetapkan.
Individu yang menjadi saksi dalam majlis pengislaman hendaklah memenuhi tiga syarat, iaitu:
- Beragama Islam
- Sempurna akal
- Berumur sekurang-kurangnya 18 tahun
Bagi individu yang tidak dapat bercakap, bantuan jurubahasa isyarat boleh digunakan bagi membantu pihak yang menguruskan pengislaman memahami bahasa isyarat yang digunakan.
Sekiranya majlis pengislaman dilakukan di hadapan individu selain Pendaftar Muallaf, individu yang menguruskan proses tersebut bertanggungjawab membawa Saudara Baru berkenaan kepada Pendaftar Muallaf untuk urusan pendaftaran.
Individu yang telah memeluk Islam atau pihak yang menguruskan pengislaman juga perlu mengisi borang yang disediakan oleh Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri.
Antara maklumat yang perlu direkodkan termasuk nama Saudara Baru, agama asal, nama selepas memeluk Islam, nombor kad pengenalan, tanggungan, nama individu yang menguruskan pengislaman, nama saksi serta tarikh, masa dan tempat pengislaman.
Maklumat lain yang turut diperlukan ialah kenyataan kerelaan untuk memeluk Islam berserta tandatangan serta status perkahwinan.
Di mana proses pengislaman boleh dilakukan?

Jika seseorang memeluk Islam di Pejabat Agama Islam, pengislaman tersebut akan terus didaftarkan secara rasmi mengikut peruntukan undang-undang.
Bagi pengislaman yang dilakukan di luar Pejabat Agama Islam, individu yang menguruskannya hendaklah segera membawa Saudara Baru tersebut ke Pejabat Agama bagi tujuan pendaftaran rasmi.
Sementara itu, individu yang memeluk Islam di luar negara juga perlu mendaftarkan pengislamannya di Malaysia selepas kembali ke negara ini.
Pendaftaran rasmi penting bagi memastikan maklumat pengislaman Saudara Baru direkodkan oleh Jabatan atau Majlis Agama Islam Negeri yang berkenaan.
Semoga bermanfaat!
Baca juga: Waris Pesara Kerajaan Boleh Tuntut RM3,000 Selepas Kematian, Ini Cara Mohon Bantuan Mengurus Jenazah
Sumber: e-muallaf Islam
