Kalau selama ini laluan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dianggap kurang menjanjikan dari segi pendapatan, perkembangan terbaharu menunjukkan graduan TVET kini berpeluang meraih gaji sehingga RM16,000 sebulan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan berkata, angka itu menunjukkan permintaan terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi semakin berkembang, sekali gus membuka lebih banyak peluang kepada mereka yang memilih bidang kemahiran.
Baca juga: Wanita Datang Interview Bawa Anak, 9 Tahun Pengalaman Kerja Kilang Rupanya Tak Cukup Tanpa SPM…
“GAJI GRADUAN TVET BOLEH CECAH RM16,000 SEBULAN,”- RAMANAN

Gambar oleh Mohd Fadli Hamzah: Ramanan (dua kiri) menyampaikan sijil kepada penerima ketika Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17 di Putrajaya.
Menurut beliau, gaji berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding anggaran yang pernah diberikan sebelum ini, iaitu sekitar RM12,000 bagi bidang TVET tertentu.
“Minggu lalu atau dua minggu sebelum ini, saya diberitahu gaji TVET ini boleh sampai RM16,000.
“Jadi ia sedang naik. Harapan ada di situ, peluang ada di situ,” katanya ketika berucap pada Majlis Konvokesyen Pusat Latihan Pengajar dan Kemahiran Lanjutan (CIAST) ke-17, semalam.
Gaji tinggi datang bersama kemahiran yang diperlukan industri
Ramanan berkata, pada awal tempoh beliau menerajui kementerian, beliau dimaklumkan bahawa gaji dalam bidang TVET berada sekitar RM8,000 hingga RM12,000, dengan hanya sebahagian kecil tenaga kerja menerima pendapatan pada paras lebih tinggi.
Perkembangan terkini itu dilihat seiring dengan keperluan industri terhadap pekerja yang mempunyai kemahiran khusus dan mampu mengendalikan teknologi yang semakin berkembang.
Dalam masa sama, perubahan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) dan automasi tidak seharusnya membuatkan golongan muda terlalu bimbang tentang peluang pekerjaan pada masa depan.
“Ramai yang tertanya-tanya bila kita lihat apa yang sedang berlaku dalam dunia yang sedang berkembang dan maju. ‘Will we have a place? Will we be able to get a job? Will we be replaced?’
“Sebenarnya kita tidak perlu bimbang langsung. Kita kena ikut perkembangan zaman dan mengejar apa yang ada di depan kita,” katanya.
Menurut Ramanan, manusia masih mempunyai peranan penting dalam membangunkan, memprogram dan mengendalikan teknologi yang digunakan dalam pelbagai sektor.
“Akan sentiasa ada ruang untuk kita. ‘We can never be replaced’. Tetapi kalau kita ketinggalan, kita jauh ketinggalan, kita akan menghadapi kesukaran untuk mengejar semula,” katanya.

Gambar hiasan: Harian Metro
Graduan TVET perlu terus upskill dan reskill
Sehubungan itu, beliau mengingatkan graduan supaya tidak berhenti menambah kemahiran selepas tamat pengajian.
Langkah upskill dan reskill penting bagi memastikan tenaga kerja sentiasa relevan dengan perubahan keperluan industri, khususnya apabila teknologi baharu semakin banyak digunakan di tempat kerja.
Dalam perkembangan sama, Ramanan turut memberi bayangan bahawa ada berita baik untuk graduan TVET menerusi Belanjawan 2027.
Bagaimanapun, beliau tidak memperincikan perkara berkenaan dan berkata pengumuman lanjut akan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pada majlis sama, seramai 929 graduan CIAST dari kampus Shah Alam dan kampus satelit menamatkan pengajian masing-masing di peringkat diploma serta diploma lanjutan.
Perkembangan gaji sehingga RM16,000 sebulan yang disebut itu memberi gambaran tentang potensi pendapatan dalam bidang kemahiran tertentu, namun jumlah sebenar tetap bergantung kepada bidang, tahap kemahiran, pengalaman dan keperluan industri.
Sumber: Harian Metro
