Golongan berpendapatan sederhana (M40) dijangka menikmati peningkatan gaji bersih mulai Januari 2027 susulan kenaikan pelepasan cukai individu kepada RM12,000 daripada RM9,000 di bawah Belanjawan 2027.
Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein, berkata langkah itu dijangka mengurangkan potongan cukai bulanan (PCB) daripada gaji pembayar cukai yang layak, sekali gus memberi manfaat secara langsung kepada golongan berpendapatan sederhana.
Baca juga: Dulu Sekitar RM12,000 Saja…Kini Gaji Graduan TVET Boleh Cecah RM16,000 Sebulan, Makin Laku!
GAJI BERSIH GOLONGAN M40 DIJANGKA MENINGKAT MULAI JANUARI TAHUN DEPAN

Gambar L Manimaran (NSTP): Penasihat Ekonomi Pejabat Perdana Menteri, Nurhisham Hussein.
“Pelepasan cukai individu tidak pernah berubah selama 20 tahun, jadi saya berpendapat langkah itu sesuatu yang positif. Sebenarnya, itu antara perkara yang berjaya dilaksanakan kerajaan dalam tempoh tiga tahun lalu, sekali gus menyelesaikan banyak isu terkumpul.
“Maksud saya, gaji penjawat awam tidak diselaraskan selama kira-kira 15 tahun sebelum pelarasan dilaksanakan tahun lalu. Begitu juga dengan pencen, termasuk peralihan kepada KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) yang merupakan satu reformasi besar,” katanya menerusi audio siar ‘Ngopi Dengan Zafrul’.
Peningkatan had pelepasan cukai individu sebanyak RM3,000 itu dijangka mengurangkan jumlah cukai yang perlu dibayar, sekali gus berpotensi meningkatkan gaji bersih pekerja. Bagaimanapun, jumlah penjimatan bergantung pada pendapatan dan keadaan cukai setiap individu.
Kerajaan seimbangkan bantuan dan pengurusan fiskal
Mengulas Belanjawan 2027, Nurhisham berkata kerajaan terus mengimbangi usaha mengukuhkan kedudukan fiskal negara dengan langkah meringankan beban kos sara hidup rakyat.
Usaha itu dilaksanakan ketika negara berdepan ketidaktentuan global susulan perang di Ukraine dan konflik di Asia Barat, selain keperluan menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Beliau berkata maklum balas orang ramai terhadap belanjawan itu secara umumnya positif, khususnya peluasan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang merangkumi lebih banyak barangan keperluan asas, termasuk hasil segar dan ayam.
Nurhisham turut berkata reformasi bagi sektor p-panggilan dijangka dipertimbangkan tahun depan bagi memperkukuh kawal selia, meningkatkan perlindungan pekerja dan memastikan tahap pendapatan minimum terjamin.
Mengenai perbelanjaan kerajaan, beliau menjelaskan unit Pantau di bawah Jabatan Perdana Menteri memantau perbelanjaan kementerian berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI), termasuk mengenal pasti peruntukan yang kurang dimanfaatkan dan menangani masalah pelaksanaan.

Gambar hiasan: GeminI AI
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyifatkan Belanjawan 2027 sebagai belanjawan mesra rakyat yang mengimbangi pemberian bantuan dengan pengurusan fiskal berhemah.
“Jika anda membuat keputusan yang tidak bertanggungjawab dari segi fiskal, pasaran akan menghukum anda dan boleh juga membawa implikasi politik. Kita telah menyaksikan pemimpin di seluruh dunia menerima akibat daripada pengurusan kewangan awam yang tidak bertanggungjawab,” kata bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta Menteri Kewangan itu.
Beliau menegaskan pelaksanaan dasar, komunikasi berkesan dan hasil nyata penting bagi memastikan manfaat belanjawan dapat direalisasikan seperti yang dijanjikan, sekali gus meningkatkan keyakinan rakyat.
Kenyataan itu disampaikan dalam episod pertama audio siar ‘Budget 2027: Boleh Deliver Ke?’ yang turut menampilkan bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming, dan dimuat naik di YouTube.
Sumber: Berita Harian
