Kewangan

Belanjawan 2027: LTAT Sokong Usaha Jaga Kebajikan Anggota Tentera

Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, khususnya peruntukan untuk sektor pertahanan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Belanjawan bertemakan “Malaysia MADANI: Menggapai Di Langit, Mengakar Di Bumi” itu memperuntukkan RM510 bilion, meningkat berbanding RM470 bilion pada tahun sebelumnya.

Daripada jumlah berkenaan, sebanyak RM22 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pertahanan (MINDEF) bagi memastikan kesiapsiagaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus terpelihara, selain menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.

Bagi LTAT, komitmen kerajaan terhadap sektor pertahanan turut membuka ruang untuk memperkukuh pelaburan strategik dan menjaga kepentingan pencarum dalam jangka panjang.

LTAT terus perkukuh pelaburan strategik negara

Ketua Eksekutif LTAT, Datuk Mohammad Ashraf Md Radzi, berkata ekosistem pertahanan yang kukuh penting bagi memastikan keselamatan negara terus terpelihara, sekali gus menyokong kestabilan dan kemakmuran Malaysia.

Menerusi pelan strategik lima tahun GEMPUR30, LTAT akan terus menyelaraskan pelaburannya dengan keutamaan negara, termasuk dalam sektor pertahanan dan farmaseutikal.

Kedua-dua sektor itu penting untuk memperkukuh keselamatan negara, meningkatkan daya tahan sistem kesihatan serta membangunkan keupayaan industri tempatan.

LTAT turut meneruskan sokongan terhadap industri farmaseutikal menerusi pelaburan strategiknya dalam Pharmaniaga, selain memperkukuh ekosistem pertahanan melalui Kumpulan Boustead.

Usaha itu diharap dapat membantu membangunkan sektor strategik negara sambil memastikan dana pencarum diuruskan secara bertanggungjawab bagi menjana pulangan yang mampan.

Pelaburan RM25 bilion buka peluang pertumbuhan ekonomi

Selain sektor pertahanan, LTAT turut menyambut baik inisiatif GEAR-uP yang menggerakkan pelaburan domestik, termasuk agenda pelaburan bernilai RM25 bilion.

Inisiatif itu memperkukuh peranan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) sebagai rakan strategik dalam merancakkan pertumbuhan ekonomi, membangunkan sektor berpotensi tinggi dan mewujudkan nilai ekonomi jangka panjang.

LTAT turut mengambil bahagian dalam New Economy Venture Fund menerusi pembangunan Elmina oleh Sime Darby Property, bersama Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kerjasama berkenaan mencerminkan usaha untuk menyokong pembangunan ekonomi domestik serta memperkukuh landskap pelaburan negara.

Menurut Datuk Mohammad Ashraf, GEAR-uP menyediakan peluang kepada GLIC untuk bekerjasama dengan kerajaan dan sektor swasta bagi menggerakkan modal ke arah fasa pertumbuhan ekonomi Malaysia seterusnya.

Pada masa sama, LTAT akan terus mengimbangi peluang pelaburan dengan tanggungjawab melindungi kepentingan pencarum.

Kebajikan anggota tentera dan keluarga turut diberi perhatian

Dalam usaha meningkatkan kesejahteraan komuniti ATM, LTAT turut memberi perhatian kepada pembangunan sosioekonomi anggota tentera, veteran dan keluarga mereka.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk Program Pemerkasaan Usahawan Wira, program literasi kewangan serta latihan peralihan kerjaya untuk anggota yang bakal bersara.

Program berkenaan bertujuan membantu anggota dan veteran membina kemahiran, mengurus kewangan dengan lebih baik serta meneroka peluang pendapatan selepas tamat perkhidmatan.

Langkah itu penting bagi membantu mereka membuat persediaan menghadapi perubahan kehidupan selepas bersara, termasuk merancang kewangan dan membina sumber pendapatan yang lebih stabil.

LTAT turut menyokong usaha kerajaan meningkatkan taraf hidup rakyat melalui dasar gaji progresif, termasuk inisiatif berkaitan gaji minimum dan gaji kehidupan wajar.

Secara keseluruhan, LTAT menegaskan komitmennya untuk mengurus dana secara berhemah, memperkukuh tadbir urus dan memastikan pelaburan yang dibuat selari dengan kepentingan pencarum serta pembangunan negara.

Melalui pendekatan itu, LTAT berharap dapat terus menyumbang kepada ekosistem pertahanan yang kukuh, pembangunan industri strategik dan kesejahteraan komuniti ATM untuk jangka panjang.

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

SEISMIK

To Top
SKIP THIS AD ×