Inspirasi

Selebriti Ini Tak Mewahkan Anak Walaupun Hartanya Beratus Juta. Lihat 5 Buktinya!

750
SHARES

Peminat rancangan masakan pasti sudah kenal dengan personalitinya yang tegas dan panas baran dengan chef amatur lain. Setiap komennya yang pedas dan sarkastik pasti membuatkan peserta rancangan masakan terkedu. Namun begitu, sifat kebapaannya jauh terserlah dalam rancangan masakan kanak-kanak, Junior Masterchef. Di samping itu, beliau juga sering mendapat perhatian kerana kemesraan dan gelagat lucu dengan 4 orang anaknya – Megan (18), Jack dan Holly (17), serta Matilda (15).

Pada tahun 2016, Gordon Ramsay dinobatkan sebagai salah seorang selebriti berpendapatan tinggi dan boleh dikatakan setaraf dengan Beyonce. Kini dalam usia 50 tahun, beliau dipercayai memiliki jumlah kekayaan bernilai kira-kira £113 juta (RM623 juta) hasil titik peluhnya. Sungguhpun begitu, beliau mempunyai prinsip tertentu dalam mendidik anak-anak, dan jelas sekali beliau tidak mahu memanjakan mereka dengan kemewahan.

Foto Kredit: refinery29.com

Foto Kredit: refinery29.com

5 Bukti Gordon Ramsay Tak Mewahkan Anak Walaupun Hartanya Beratus Juta

Gordon Ramsay sebenarnya adalah seorang bapa yang sangat melindungi dan tegas dalam membentuk disiplin anak-anaknya. Walaupun hartanya melimpah-ruah, beliau amat cerewet dalam memewahkan anak.

1. Tak Biasakan Anak Makan Di Restoran Mahal

Menurutnya, amat penting untuk anak-anak bekerja keras untuk merasa kekayaan dengan usaha sendiri. Walaupun berstatus chef selebriti popular dan memiliki 19 restoran terkemuka serata dunia, ironiknya chef ini tidak suka membawa anaknya makan di restoran mahal.

Seperti yang dilaporkan oleh Majalah Time, Ramsay sendiri mengakui bahawa beliau tidak pernah membawa anak-anaknya ke restoran mahal atau fine dining, termasuklah restoran yang dimiliki olehnya sendiri!

2. Tiada Penerbangan Kelas Pertama Untuk Anak

Walaupun sibuk, keluarga Ramsay sering terlihat meluangkan masa menikmati makan malam, bercuti dan bersiar-siar di umum. Tidak kira berapa pun usia anak, mereka perlu menghargai nilai kekeluargaan dan kehadiran ibu bapa sebagai sahabat. Tapi apa yang mengejutkan, beliau bersepakat dengan isterinya bahawa di dalam penerbangan, anak-anak mereka mesti duduk di Kelas Ekonomi dan bukannya Kelas Pertama atau business class.

“Mereka tidak bekerja dan masih kecil, jadi kenapa pula mereka harus duduk di Kelas Pertama? Saya dan isteri sangat tegas akan hal ini,” kata Ramsay, ketika diwawancara oleh The Telegraph.

Foto Kredit: zimbio.com

Foto Kredit: zimbio.com

3. Wang Saku Yang Terhad Untuk Anak

Dipetik dari Travel And Leisure, anak-anaknya hanya diberikan sekitar £50 seminggu untuk membiayai sendiri tambang bas dan bil telefon. Kalau ada duit lebih yang disimpan, barulah mereka boleh membeli barang lain seperti pakaian. Anak sulungnya pula, Megan, yang kini menuntut di universiti diberikan belanja mingguan £100. Menurutnya, anak-anak hanya perlu diberi wang setaraf dengan komisyen, bukan gaji. Membina satu had untuk anak adalah penting bagi perkembangan anak untuk menjadi seorang individu yang bertanggungjawab.

Dia juga turut berasa terkilan dengan beberapa jutawan yang memilih untuk mencurahkan kekayaan kepada anak. Beliau berpendapat bahawa perbuatan itu hanya akan meruntuhkan prestasi anak dan tidak akan menghasilkan sebarang keuntungan. Tepat sekali, cara didikan ini turut disokong oleh pakar psikologi, Judith Locke. 

Foto Kredit: hdimagelib.com

Foto Kredit: hdimagelib.com

4. Bawa Anak Ke Tempat Kerja

Sekali-sekala, Gordon akan membawa anak ke tempat kerja. Dengan cara ini, anak dapat melihat sendiri proses kerja dan disiplin yang dilalui setiap hari. Namun, ketika berada di tempat kerja, beliau sama sekali tidak membiarkan anaknya berlagak seperti bos, sebaliknya membiarkan mereka tetap bekerja dan menolong di samping stafnya yang lain. Apa yang menarik, beliau tidak mahu menggajikan anak-anaknya di restoran miliknya kerana tidak mahu stafnya berasa kurang selesa.

Tambah beliau lagi, anak-anak perlu diajarkan memasak bukanlah kerana beliau seorang chef terkenal, tetapi supaya mereka boleh berjimat dan berdikari. Maka, memasak dilihat sebagai salah satu skil mustahak untuk membolehkan mereka ‘survive’. “Saya tak mahu ketika mereka besar, mereka boleh memasak hanya kerana mereka anak Gordon Ramsay. Tapi mereka patut tahu memasak kerana mereka sendiri boleh memasak,” ujar beliau.

Foto Kredit: pinterest.com

Foto Kredit: pinterest.com

5. Tidak Akan Mewariskan Harta Kepada Anaknya

Seperti Mark Zuckerberg, chef ini nampaknya punya pendirian yang hampir sama dalam hal pewarisan harta. Sumber menjelaskan bahawa beliau tidak bercadang mewariskan hartanya kepada anak-anak beliau. Katanya, beliau bukanlah mahu bertindak kejam, tetapi niatnya adalah untuk mendidik mereka bekerja secara normal dan berusaha meraih pendapatan dengan titik peluh sendiri.

Jika anda fikir chef selebriti ini dilahirkan dalam keluarga mewah, anda tentu terkejut untuk mengetahui pengalaman silam beliau yang sebenarnya. Menurut autobiografinya, beliau meninggalkan rumah pada usia 16 tahun kerana tidak tahan dengan bapanya yang kaki botol dan sering memukul ibunya. Malah, adiknya, Ronnie Ramsay adalah seorang penagih dadah dan pernah ditangkap di Indonesia. Berbeza dengan isterinya yang datang dari keluarga yang stabil dan agak mewah, mereka cuba mencari keseimbangan dalam mendidik anak-anak.

gordon ramsay

Foto Kredit: dailymail.co.uk

Disiplin Tetapi Bertolak Ansur

Gordon Ramsay memahami bahawa karakter seorang ayah amatlah perlu untuk menyokong kehidupan anak-anaknya. Beliau memberi peluang pada mereka untuk menjadi diri sendiri.

Sebagai contoh, anak bujang yang paling mirip dengannya iaitu Jack menunjukkan minat terhadap bidang pertahanan dan mahu melibatkan diri kepada ketenteraan laut. Holly pula minat terhadap bidang fesyen. Buat masa ini, hanya seorang anaknya mengikut jejak langkahnya dalam bidang kulinari, iaitu Matilda yang kini mempunyai rancangan masakan di televisyen.

gordon ramsay

Anak bongsu Gordon Ramsay, Matilda yang lebih mesra dengan panggilan Tilly. / Foto Kredit: food24.com

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×