Kegembiraan empat kanak-kanak keluar bermain bola bertukar tragedi apabila mereka dipercayai terjatuh ke dalam longkang di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan, Kulim pada Isnin.
Lebih menyayat hati, kesemua mereka yang berusia antara lapan hingga 12 tahun disahkan meninggal dunia dalam kejadian tersebut.
Baca juga: Kes Tik*m Pelajar Menengah Di Bandar Utama: Remaja Bebas Pertuduhan Bun*h Rakan Sekolah, Tak Waras
POLIS SAHKAN EMPAT KANAK-KANAK MENINGGAL DUNIA

Gambar Sinar Harian: Mangsa dipercayai tergelincir ke dalam longkang ketika mahu mengambil bola.
Empat kanak-kanak disahkan meninggal dunia
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Syamsul Sinring berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian kira-kira jam 7.45 malam selepas orang awam melaporkan terdapat empat mangsa lemas berhampiran kolam tadahan Taman Desa Kayangan.
“Pada jam lebih kurang 7.45 malam, semasa pengadu bertugas di Kaunter Pejabat Pertanyaan di Balai Polis Sungai Karangan telah terima panggilan daripada orang awam memaklumkan terdapat empat mangsa lemas berdekatan kolam tadahan Taman Desa Kayangan,” katanya.
Mangsa dikenal pasti sebagai Muhamad Aeril Aziz Muhamad Zafis, 12, adik tirinya, Muhammad Arif Naufan Abdullah, 8, serta dua rakan mereka, Muhammad Zafril Arsyad Muhamad Azrin, 12, dan Muhammad Iman Nuruddin Khairol Anuar, 10.
Menurut Syamsul, pasukan perubatan mengesahkan dua mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala dua lagi disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim.
Dipercayai cuba ambil bola yang terjatuh

Gambar Sinar Harian: Polis sahkan dua lagi kanak-kanak meninggal dunia dalam kejadian di Taman Desa Kayangan, Sungai Karangan di sini pada Isnin menjadikan keseluruhan mangsa seramai empat orang.
Siasatan awal mendapati kesemua kanak-kanak terbabit dipercayai tinggal berdekatan kawasan Taman Desa Kayangan.
Menurut beliau, hasil temubual bersama ibu mangsa mendapati mereka keluar dari rumah untuk bermain bola sebelum kejadian berlaku.
“Hasil temubual ibu mangsa mendapati kesemua mereka telah keluar dari rumah untuk bermain bola. Selepas itu, dipercayai bola terjatuh ke dalam longkang di tempat kejadian dan kesemua mangsa cuba mengambil bola tersebut sebelum terjatuh ke dalam longkang,” jelasnya.
Polis turut memaklumkan tiada saksi yang melihat kejadian tersebut secara langsung. Longkang berkenaan dianggarkan mempunyai kedalaman kira-kira tiga meter dan lebar sekitar 1.8 meter.
Kesemua mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat.
Baca juga: Lahirkan Bayi Dalam Tandas, Pelajar 19 Tahun Tergamak Simpan May*t Bayi Dalam Loker Asrama!
Sumber: Sinar Harian
FT Image: Sinar Harian
