Doa Keluar Rumah & Memulakan Perjalanan
Islam mengajar kita untuk ingat kepada Alah dan bertawakal kepadaNya dalam setiap perkara yang kita lakukan.
Begitu juga ketika kita hendak ke sesuatu destinasi sama ada ke tempat kerja, pulang ke kampung halaman dan sebagainya, kita perlulah memohon kepada Allah agar dilindungi daripada sebarang malapetaka dan kemalangan yang tak diingini.
Oleh itu, kita disarankan untuk berdoa ketika hendak keluar dari rumah dan mulakan perjalanan.
Bertawakal Ketika Keluar Rumah
Sebaik sahaja keluar dari rumah, lafazkanlah zikir tanda bertawakal kepada Allah dalam apa jua urusan :
بِسْمِ اللهِ تَوَكَّلْتُ عَلَى اللهِ، لَا حَوْلَ وَلَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللهِ
Bacaan Rumi : Bismillahi tawakkaltu ‘alallah, laa haula wa laa quwwata illaa billaah
Maksud : Dengan nama Allah (aku keluar). Aku bertawakal (berserah diri) kepada Allah, tiada daya upaya melainkan dengan izin Allah.
(Hadis Riwayat Tirmidzi dari Anas bin Malik).
Doa Ketika Keluar Rumah
Rasulullah juga mengajar kita untuk berdoa agar terlindung daripada perkara yang tak diingini. Bacaan doa adalah seperti berikut :
اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ أَنْ أَضِلَّ أَوْ أُضَلَّ أَوْ أَزِلَّ أَوْ أُزَلَّ أَوْ أَظْلِمَ أَوْ أُظْلَمَ أَوْ أَجْهَلَ أَوْ يُجْهَلَ عَلَىَّ
Bacaan Rumi : Allahumma inni a-‘udzu bika an adhilla aw udholla, aw azilla aw uzalla, aw azhlima aw uzhlama, aw ajhala aw yujhala ‘alayya.
Maksud : Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu, janganlah sampai aku tersesat atau disesatkan (syaitan atau orang jahat), tergelincir atau digelincirkan orang lain, menganiaya atau dianiaya orang lain, dan berbuat bodoh atau dibodohi orang lain.
(Hadis Riwayat Abu Dawud dan At Tirmidzi)
Baca Ayat Kursi Sebelum Mulakan Perjalanan
Berdasarkan perkongsian dari Mufti Negeri Sembilan, kita digalakkan untuk membaca ayat Kursi sebelum memulakan perjalanan. Amalan ini pernah dipesan oleh Rasulullah SAW kepada Saidina Ali agar tujuan perjalanan kita tertunai.
Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda,
يا علي: إذا خرجتَ منْ منزلك تريدُ حاجةً فاقْرَأ آية الكرسي، فَإن حاجتك تقضى إن شاء الله تعالى
Maksud : Wahai Ali, jika kamu keluar dari rumah untuk hajat yang sangat penting maka bacalah ayat al-Kursi nescaya hajat kamu akan tercapai dengan keizinan Allah swt.
Kredit Foto : merdeka.com
Doa Menaiki Kenderaan
Sebelum memulakan perjalanan sama ada memandu sendiri atau menaiki pengangkutan lain, berdoalah agar perjalanan kita selamat dengan melafazkan doa dari petikan Al-Quran di bawah :
سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ، وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ
Bacaan Rumi : Subhanal ladzi sakhora lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina wa inna ila ila rabbana la munqalibun
Maksud : Segala puji bagi Allah, Maha suci tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum ini tidak terdaya menguasainya.
(Surah Al-Zukhruf : Ayat 13-14)
Hadis ini dipetik daripada kitab al-Wasoya karangan Muhyiddin Abi Abdullah al-Hatami al-Ta’ie al-Andalusi (Ibnu Arabi).
Doa Agar Selamat dalam Perjalanan
Anda juga boleh lanjutkan doa menaiki kenderaan seperti di bawah agar perjalanan anda ke destinasi yang dituju selamat dan perjalanan anda dipermudahkan.
سُبْحَانَ الَّذِى سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقْرِنِينَ وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنْقَلِبُونَ اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ فِى سَفَرِنَا هَذَا الْبِرَّ وَالتَّقْوَى وَمِنَ الْعَمَلِ مَا تَرْضَى اللَّهُمَّ هَوِّنْ عَلَيْنَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطْوِ عَنَّا بُعْدَهُ اللَّهُمَّ أَنْتَ الصَّاحِبُ فِى السَّفَرِ وَالْخَلِيفَةُ فِى الأَهْلِ اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ وَعْثَاءِ السَّفَرِ وَكَآبَةِ الْمَنْظَرِ وَسُوءِ الْمُنْقَلَبِ فِى الْمَالِ وَالأَهْلِ
Bacaan Rumi : Subhanal ladzi sakhora lana hadza wa ma kunna lahu muqrinina wa inna ila ila rabbana la munqalibun. Allahumma inna nas aluka fi safarna hadzal birra wat taqwa wa minal ‘amali ma tardla. Allahumma hawwin ‘alaina safarana hadza wa’thu ‘anna bu’dahu. Allahumma antash shokhibu fis safari wal kholifatu fil ahli. Allahumma inni a’udzubika min wa’tsais safari wa kabatil mundhori wa suil munqolabi fil mali wal ahli.
Maksud :
“Maha suci Allah yang telah menundukkan (kenderaan) ini untuk kami, padahal kami sebelumnya tidak mempunyai kemampuan untuk melakukannya, dan sesungguhnya hanya kepada Rabb kami, kami akan kembali.
Ya Allah, sesungguhnya kami memohon kepada-Mu kebaikan, taqwa dan amal yang Engkau redhai dalam perjalanan kami ini.
Ya Allah mudahkanlah perjalanan kami ini, dekatkanlah bagi kami jarak yang jauh. Ya Allah, Engkau adalah pendamping dalam perjalanan dan pengganti di tengah keluarga.
Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu dari kesukaran perjalanan, tempat kembali yang menyedihkan, dan pemandangan yang buruk pada harta dan keluarga.” (HR. Muslim no. 1342, dari ‘Abdullah bin ‘Umar)
Perbanyakkan juga berzikir semasa kita dalam perjalanan sebagai tanda kita mengingati Allah. Ia bukan sahaja amalan yang menjanjikan ganjaran pahala malah ia juga melindungi kita daripada bisikan syaitan. Semoga dengan doa dan zikir yang dilafazkan dapat memudahkan urusan kita untuk sampai ke destinasi yang dituju.
Sumber rujukan:
- Doa Menaiki Kenderaan
muftins.gov.my/2019/04/22/doa-menaiki-kenderaan