DIY & Kraf

Cara DIY Playard Untuk Anak Kecil Dengan Bajet RM50 Saja

Playard atau playpen menyediakan ruang selamat untuk bayi atau anak kecil bermain dengan bebas, terutamanya apabila anda perlu melakukan kerja tertentu seperti memasak, bersedia untuk ke pejabat, atau pergi ke tandas.

Kalau dibeli di kedai, biasanya harga playard ini mahal juga, paling murah pun sekitar RM100 ke atas. Jadi, apa kata cuba buat sendiri playard ini dengan merujuk langkah yang dikongsikan oleh Puan Fatin Nadiah Yusoff.

Menurutnya, kos yang diperlukan adalah lebih kurang RM50 saja. Cara membuatnya pun tidak sesukar mana, anda pasti boleh DIY sendiri di rumah.

Jom ikuti perkongsiannya dengan lebih lanjut.

Cara DIY Playard Untuk Anak Kecil Dengan Bajet RM50

Mula-mula, mari kita lihat bahan-bahan yang diperlukan dalam senarai di bawah ini.

Bahan-bahan:

  • 5 batang paip RM1.60 / setiap batang
  • 80 T shape RM0.30/ setiap batang
  • 8 elbow (L) shape RM0.30 /setiap batang *(kalau tak silap)
  • PVC pipe cutter RM16 *(rasanyalah, tapi memang bawah RM20)

*Semua bahan ini boleh didapatkan dari kedai hardware.

*Saya tak beli batang paip yang berwarna kelabu sebab saya rasa yang putih lebih cantik. Tapi, batang paip yang putih begini agak keras sedikit. Mungkin sebab ia digunakan untuk buat wiring. Jadi terpulang pada anda untuk pilih mana-mana jenis yang berkenan di hati.

*Bilangan batang paip yang dibeli bergantung kepada saiz playard yang anda nak buat. Yang ini saya main agak-agak sahaja. Ada beberapa biji yang lebih.

Cara-cara

1. Tetapkan Jarak Yang Sesuai

Mula-mula, tetapkan jarak yang sesuai untuk setiap sambungan. Masa mula-mula saya buat, jarak antara batang paip terlalu jauh sampai si kecil berjaya meloloskan diri. Kena ubah dan betulkan semula.

Jadi seeloknya dapatkan anggaran yang sesuai terlebih dahulu. Pastikan ukur betul-betul saiz setiap potongan supaya penyambungan tidak senget apabila dipasang.

2. Buat Sambungan Asas

Seterusnya, boleh buat sambungan asas macam yang dilihat pada gambar di atas. Gunakan T shape untuk sambungan mendatar dan elbow L shape untuk 4 bahagian bucu.

Ini PVC pipe cutter yang digunakan untuk memotong paip.

Senang macam gunting saja. Tak perlu guna gergaji semua. Simple, perempuan pun boleh buat sendiri. Tak perlu minta tolong Encik Suami.

3. Kemaskan Sambungan

Akhir sekali, bolehlah kemaskan setiap sambungan supaya ia seragam. Pemasangan perlu betul-betul kemas dan ketat supaya ia tak mudah tercabut.

*Gambar di bawah adalah selepas dikecilkan jarak antara batang paip. Ada bahagian yang tak cukup saya gunakan T shape saja sebab batang paip dah habis. Tapi tak apalah sebab si kecil tak boleh keluar dah.

4. Hiaskan

Akhir sekali, bolehlah alaskan dengan tilam atau tikar getah yang tebal.

Selepas itu, letakkan beberapa permainan yang sesuai di dalamnya untuk anak bermain. Ada yang suka letakkan bola-bola dan sebagainya. Terpulanglah ya. Saya gantung dan ikatkan begini saja,

Nota:

*Playard DIY ini kurang sesuai untuk anak yang lasak-lasak atau yang dah boleh memanjat sebab ia boleh bergerak. Kalau perlu, ikatkan pada sesuatu supaya ia tak bergerak.

*Playard ini saya tak buat pintu. Jadi, langkah ke dalam saja. Pastikan ketinggian dianggarkan supaya senang anda nak melangkah ya.

Jimat, Mudah, Dan Praktikal!

Alhamdulillah siap playard untuk si kecil. Cuma DIY saja. Jimat bukan?

Senanglah ibu-ibu nak buat kerja sambil pantau anak nanti. Semoga bermanfaat.

Selamat mencuba!

 

*Idea asal DIY playard ini adalah oleh Puan Fatin Nadiah Yusoff dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, rujuk post asal di SINI.

Yang Popular

To Top