Anak merupakan rezeki dikurniakan oleh Allah SWT dan amanah yang perlu dijaga dengan baik. Setiap pasangan suami isteri pasti mengimpikan untuk mempunyai anak tidak kira cepat atau lambat.
Seperti kisah yang menarik perhatian warganet ini apabila dikurniakan 21 orang anak selama berkahwin dalam tempoh 42 tahun. Ternyata ada satu ‘rahsia’ yang diamalkan.
Baca juga: Disangka Dua, Rupanya Dikurniakan Kembar Tiga!
DIKURNIAKAN 21 ORANG ANAK, LELAKI INI KONGSI ‘RAHSIA’
Abdullah, 74, dari kampung Tok Raja, Jertih mempunyai 21 anak hasil perkongsian hidup dengan Aisyah Ismail, 61, sejak 42 tahun lalu namun, lima daripada 21 anaknya yang kini berusia 17 hingga 42 tahun, itu meninggal ketika kecil.
Laporan Harian Metro menyatakan, dia mengamalkan amalan pemakanan sihat sejak muda selain menjalani pekerjaan yang menggunakan tenaga seperti membajak sawah, mengambil upah menebang pokok dan pekerjaan buruh yang lain.
“Saya hanya jaga pemakanan dan mengamalkan petua menelan segumpal nasi berserta selawat sebelum makan untuk mengekalkan kesihatan tenaga batin.
“Apabila kita jaga pemakanan, kerja kuat pasti tubuh pun sihat selain amalan dan petua orang-orang tua untuk mengekalkan kesihatan tenaga batin.
“Ulam-ulaman adalah paling penting dalam setiap hidangan saya. Paling saya gemari ialah ulam raja, pucuk ubi kayu dan pucuk pegaga.
“Segala ulaman memang wajib dalam setiap hidangan dan isteri memang sedia maklum mengenainya serta sentiasa menyediakannya untuk saya,” jelasnya.
Meskipun mempunyai anak ramai satu perkara mencabar namun ia tidak sukar buat mereka kerana saling bertolak ansur dan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah.
“Ramai yang tak berani beranak ramai kerana bimbang tidak mampu membiayai perbelanjaan anak-anak ketika masih kecil dan bersekolah. Saya tidak nafikan mempunyai anak sehingga 16 orang pada satu-satu masa dan semua masih belajar memang mencabar.
“Banyak pengalaman pahit dan manis yang dilalui dalam membesarkan anak-anak. Bagaimanapun, janji Allah mengenai rezeki yang ditetapkan untuk setiap anak tidak pernah dimungkiri,” ujarnya.
Menurut datuk yang mempunyai 16 menantu dan lebih 50 cucu ini, anak-anaknya pernah ke sekolah tanpa membawa wang namun ia tidak sampai tahap mereka kebuluran.
“Setiap anak datang dengan rezeki masing-masing dan ia tidak perlu diragui, walaupun berkerja buruh dan berpendapatan kecil namun rezeki anak tetap ada.
“Anak-anak ialah magnet rezeki untuk sesebuah keluarga, jika dahulu saya dan isteri mengalami kesukaran membesarkan anak-anak tetapi sekarang semua anak memberi kesenangan kepada kami,” katanya.
Sementara itu, Aisyah berkata, peranan ibu sangat penting dalam membesarkan anak-anak kerana suami sibuk mencari rezeki untuk keluarga.
“Alhamdulillah, dahulu kami susah membesarkan anak-anak dalam keadaan kemiskinan tetapi berkat kesabaran sekarang Allah bagi kemudahan kepada kami,” tambahnya.
Sumber: Harian Metro