Bila anak boleh mula menyusu dan memegang botol dengan sendiri? Ramai ibu yang masih tidak pasti sama ada boleh atau tidak anak mereka memegang botol semasa menyusu sejak bayi lagi. Biasalah, agak susah untuk melatih anak supaya menurut kata tambahan pula mereka masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Ramai yang berpendapat bahawa anak-anak yang berusia 6 bulan ke atas sudah mula boleh memegang botol sendiri kerana inilah masanya untuk mereka mempelajari ‘motor skills’.
Oleh itu, jom kita baca dengan lebih lanjut mengenai cara untuk memperkenalkan dan tips untuk anak-anak mudah untuk menyusu secara sendiri. Perkara ini dapat memudahkan kerja ibu-ibu juga ya…Semoga bermanfaat!
Cara untuk kenalkan anak dengan botol susu
1. Perkenalkan anak dengan botol susu sejak mereka menyusu badan lagi dengan membiarkan mereka menyentuh botol susu tersebut supaya mereka dapat merasa bentuk dan saiz botol susu.
2. Kerap membiasakan anak memegang botol susu kosong, supaya mereka terbiasa dengan bentuk botol tersebut
3. Apabila anak mula rasa selesa dengan memegang botol tersebut, isikan botol susu dengan air atau susu.
4. Apabila mengisi air atau susu di dalam botol, pastikan anak mampu untuk menampung berat botol supaya mudah untuk mereka menyusu sendiri.
5. Kemudian, perlahan-lahan ubah posisi botol dari tangan ke mulut mereka. Dengan cara ini, mereka tidak akan mudah terkejut ketika menyusu.
6. Apabila anak sudah mula menerima keadaan itu, pastikan anda membantu anak untuk memegang botol dahulu sebelum membiarkan kepada mereka.
6 Tips Untuk Ajar Anak Pegang Botol Sendiri
1. Pantau cara anak selalu menyusu
Setiap anak ada cara menyusu tersendiri. Bayi akan mula pandai untuk membuka mulut untuk menyusu apabila mereka berusia hampir tiga bulan. Jika tidak, mesti macam agak susah untuk memberi susu khususnya dengan menggunakan botol susu kan? Jadi, untuk memudahkan anda melatih anak minum susu dengan sendiri, langkah demi langkah harus diambil supaya mudah untuk mereka adaptasikan.
2. Ajar anak ‘guna botol susu jika perlu’
Bila anak merengek, perkara paling mudah untuk dilakukan adalah ‘ menyumbat’ anak dengan botol susu saja kan? Salah sebenarnya teknik ini. Perkara ini dapat menyebabkan anak-anak akan bertambah ‘ketagih’ dengan penggunaan botol susu. Sebaliknya, latih anak sejak dari kecil beza antara perlu dan kehendak terhadap penggunaan botol susu. Dalam erti kata lain , latih anak kecil ini untuk mencari botol susu apabila mereka lapar sahaja.
3. Peluk, supaya rasa selesa
‘Silent technique’ untuk melatih anak-anak kecil menyusu botol sendiri adalah dengan memeluk anak ketika menyusu. Ini supaya, anak akan berasa selamat dan rasa seperti ketika mereka menyusu badan. Dengan memeluk anak ketika menyusu juga akan menjadikan mereka lebih mudah untuk terbiasa menyusu dengan sendiri.
4. Kekalkan suasana senyap dan aman semasa anak menyusu
Perkara yang boleh menganggu anak-anak ketika menyusu khususnya menyusu sendiri adalah suasana bising. Contohnya, ketika anak menyusu, ramai pula rakan-rakan yang datang melawat di rumah. Suasana sebegini dapat menganggu konsentrasi anak-anak yang mahu menyusu.
5. Hulurkan bantuan semasa proses menyusu
Bila anak sudah boleh menyusu dan memegang botol secara sendiri, jangan terlalu membiarkan anak-anak ya. Sebaliknya, berikan bantuan juga kepada mereka ketika menyusu dengan meletakkan bantal atau pemegang botol untuk mereka. Perkara ini juga dapat membantu merehatkan otot dan lengan anak-anak yang sudah lama memegang botol sendiri.
6. Jangan terlampau ‘strict’
Situasi biasa ketika menyusu adalah akan ada hari yang anak-anak tidak mahu untuk menyusu dan memegang botol dengan sendirinya. Kadang-kadang mereka juga mahu untuk menyusu badan selepas lama menyusu secara sendiri. Janganlah pula anda marah dengan mereka, sebaliknya ambil peluang ini untuk bermesra dan kuatkan ‘bonding’ dengan anak.