Asuh

Datuk & Nenek Jaga Anak Tanda Ibu Bapa ‘Lari’ Dari Tanggungjawab, Betul Ke?

31
SHARES

Mungkin tidak ramai dalam kalangan kita yang dahulunya dijaga oleh datuk dan nenek. Ada juga yang berpendapat bahawa anak-anak yang berada di bawah jagaan datuk dan nenek akan menjadi lebih manja dari anak-anak biasa. Betul ke?

Oleh itu, terdapat pelbagai persoalan di laman media sosial dimana ramai dalam kalangan kita yang masih ragu-ragu dengan tindakan menjadikan datuk dan nenek sebagai pengasuh anak-anak. Adakah tindakan ini akan memberikan keputusan yang baik kepada kedua belah pihak atau sebaliknya?

DATUK NENEK MENJAGA CUCU. WAJARKAH?

Ada rakan Parent Connect yang bertanya pendapat saya tentang meletakkan anak di bawah jagaan datuk nenek ketika ayah ibu keluar bekerja yakni menjadikan datuk nenek sebagai pengasuh atau ‘baby sitter’ anak.

Saya secara peribadi mempunyai perasaan yang pelbagai tentang isu ini. Ketika mula berkahwin dahulu, salah satu perkara penting yang suami dan saya bincangkan walaupun belum mempunyai anak, adalah tentang penjagaan anak jika/ketika kami keluar bekerja. Kami sama-sama bersetuju bahawa kami tidak akan meletakkan anak-anak di bawah jagaan orang tua di kedua-dua belah. Itu bukannya satu pilihan melainkan jika dalam kecemasan antara hidup dan mati.

Kenapa kami mengambil keputusan begitu?

Kerana memikirkan orang tua kami sudah letih lelah membesarkan kami adik beradik walaupun mereka tidak pernah merungut. Sudah sampai masanya mereka berehat melakukan aktiviti dan ibadah yang sesuai usia mereka yang semakin tua. Walaupun fizikal mereka masih kelihatan gagah, biarlah mereka berehat kerana menjaga anak kecil SANGAT MELETIHKAN. Ia memerlukan kerahan otak dan tenaga yang terlalu banyak yang tidak patut dipikul lagi oleh mereka yang berpangkat datuk dan nenek.

Kita perlu ingat, datuk nenek TIDAK AKAN MENOLAK sekiranya diminta menjaga cucu. Tambahan lagi jika kita mengadu tentang sukarnya cari pengasuh yang elok, mengadu tentang kes-kes penderaan di TASKA, mengadu tentang masalah kewangan, mengadu tentang kekangan masa dan sebagainya, mereka TIDAK AKAN MENOLAK.

Ia bergantung sepenuhnya kepada kita untuk memikirkan tentang kebajikan kedua ibubapa kita yang semakin tua. Adakah kita sampai hati membebankan mereka dengan tanggungjawab mengasuh anak kecil dan berhadapan dengan kerenah, songel dan amuk si anak kecil setiap hari? Tanya diri sendiri. Jangan hanya ucapkan kasihan tetapi tiada tindakan. Jika sayang, jika kasihankan orang tua kita, jangan tambahkan beban.

Ramai datuk nenek yang sayangkan cucu tetapi tidak ada kudrat dan tenaga untuk menjaga cucu. Jika mereka menolak, itu bukannya bermakna mereka tidak sayang. Jika mereka sudi menjaga anak kakak dan menolak apabila kita meminta mereka menjaga anak kecil kita, itu tidak semestinya bermakna mereka tidak sayangkan kita. Mungkin pengalaman menjaga anak kakak itu selama ini sudah cukup meletihkan, maka mereka menolak. Tidak perlu merajuk dan sentap dengan ayah atau ibu.
Mereka juga memerlukan masa dan ruang untuk diri sendiri.

ADAKAH MENJAGA CUCU BAIK UNTUK DATUK NENEK?

Jika menjaga cucu mengurangkan stres pada datuk dan nenek, itu akan membawa kebaikan bagi mereka. Tetapi jika menambahkan stres kerana perlu fikir tentang diri sendiri, fikir tentang anak-anak, fikir tentang cucu yang dijaga, fikir tentang ayam itik lagi, itu mendatangkan stres dan memudaratkan mereka.

Jika mereka bertenaga membawa cucu jalan-jalan di luar, bawa cucu ke taman permainan, ke tepi pantai dan sebagainya itu baik untuk kesihatan fizikal mereka dan juga cucu. Tetapi sekiranya mereka hanya terperuk di rumah dan perlu kejar cucu ke hulu ke hilir kerana tidak diam sehingga mengah, sampai lelah, maka itu tidak baik untuk kesihatan mereka.

Jika mereka mempunyai interaksi sosial yang positif dengan cucu dan orang sekeliling, itu baik untuk mereka. Walau bagaimanapun jika sepanjang masa perlu marah, jerit, tegah cucu dengan perangai yang sukar dikawal, itu tidak membantu kesihatan fizikal dan emosi datuk dan nenek.

Fikirkan juga aktiviti mental atau kognitif datuk nenek kerana kesihatan mental juga harus dijaga. Adakah dengan menjaga cucu mereka mempunyai ruang dan peluang untuk belajar agama? Mereka sudah semestinya sukar untuk ke kelas atau ke masjid untuk belajar walaupun mereka mempunyai keinginan untuk melakukannya. Sekiranya tidak boleh keluar kerana menjaga cucu, bolehkah datuk nenek menonton tv mendengar ceramah agama dan mana-mana program ilmiah? Ataupun anak kecil kita asyik hendak menonton kartun dan menguasai tv sepanjang masa? Adakah mereka mempunyai peluang untuk solat dan mengaji dengan tenang ataupun tergopoh-gapah kerana perlu mengelek cucu?

ATUK DAN NENEK TAK AKAN TOLAK UNTUK JAGA CUCU

Anak yang sayangkan ayah dan ibunya harus memikirkan semua ini dan bukan hanya penting diri sendiri walaupun ayah ibu tidak mengadu dan tidak mengeluh.

Selain itu, adakah kita boleh menyediakan semua kelengkapan dan keperluan anak, makan, pakaian, lampin pakai buang, susu, beras, bahan kering, bahan basah, bahan mandian, bahan pencuci yang digunakan anak ketika berada di rumah dijaga oleh datuk nenek? Ataupun ayah dan ibu kita perlu juga menanggung perbelanjaan untuk cucu-cucu mereka? Jika itu berlaku, ia amatlah tidak patut.

Adakah kita juga membayarkan bil elektrik, bil air dan segala bil untuk kediaman ayah dan ibu yang menjaga anak 12 jam sehari 5 kali seminggu? Ataupun ayah dan ibu juga yang perlu melunaskannya? Semua ini harus difikirkan.

Ingatlah, kemungkinan besar ayah dan ibu kita TIDAK AKAN MENOLAK jika kita meminta mereka menjaga cucu 12 jam sehari selama 5 hari seminggu ataupun pada jangkamasa yang berpanjangan. Semuanya terpulanglah kepada diri kita sendiri untuk memikirkan sama ada kita sayang atau tidak kepada ayah dan ibu kita sehingga sanggup membebankan mereka dengan tanggungjawab yang paling sukar di dunia untuk pusingan kedua.

Coretan di atas tidak merujuk kepada keadaan di mana kita menghantar anak ke kampung ketika cuti sekolah untuk ‘bond’ dengan datuk nenek. Itu situasi yang berbeza kerana ia sementara, menggembirakan dan santai.

Sumber : Noor Afidah Abu Bakar, Parent Connect Consultancy

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×