Seorang sahabat pernah meminta pendapat saya bagaimana memulihkan hubungannya dengan suami yang semakin renggang semenjak kehadiran anak-anak.
Oleh sebab saya pun masih single, jadi dengan bantuan Internet, kami mula mencari jawapan yang boleh membantu. Banyak rujukan dan cadangan yang kami jumpa namun sahabat saya segan untuk melakukannya atas alasan hanya sesuai untuk pasangan muda dan pasangan yang hangat bercinta sahaja bukannya pasangan yang sudah ada anak.
Siapa kata, meskipun sudah lama berkahwin dan ada anak, anda dan pasangan sudah tidak boleh lakukan pelbagai aktiviti bersama?
Belum cuba, belum tahu.
Semarakkan cinta suami isteri
Jadi bagi pasangan yang sudah lama berkahwin, semarakkan kasih sayang anda dan pasangan dengan:
1. Kongsi hobi pasangan
Jika isteri anda minat berkebun, suami boleh bantu isteri dengan mencantas rumput di sekeliling taman. Dan sebaliknya, jika suami sukakan aktiviti permotoran, isteri boleh sesekali temani suami mengikut road trip bersama. Ajak anak ikut serta untuk memeriahkan lagi aktiviti sekeluarga.
2. Cuba hobi baru
Tidak pun cari satu hobi baru yang tidak pernah dicuba sebelum ini dan bersama pasangan cuba mempelajarinya. Jadi,anda sama-sama dapat berkongsi pengetahuan baru dan bantu-membantu jika ada masalah.
3. Rancang percutian bersama
Ambil time off untuk bercuti berdua. Pasti sambil bercuti, anda akan ingati semula saat manis di awal perkahwinan. Jalan berpegangan tangan sambil berjalan di taman, aduh terasa seperti kembali di zaman percintaan.
4. Tulis nota
Meskipun anda biasa berbual dengan pasangan setiap hari, anda boleh mencuba cara ini untuk menyerikan hari anda. Sediakan buku nota kecil di dapur atau di dalam bilik tidur.
Catat setiap hari apa sahaja yang boleh membuatkan pasangan anda tersenyum dan gembira contohnya “Terima kasih gosok baju abang malam tadi”. Meskipun ayatnya pendek, tapi kesannya akan membuatkan si isteri senyum sepanjang hari.
5. Wujudkan hari tanpa telefon
Dengan ini, anda dapat memberi tumpuan pada pasangan tanpa gangguan daripada FB dan Whatsapp.
6. Membaca untuk pasangan anda
Sambil duduk bersama, salah seorang boleh membaca dan seorang lagi mendengar. Tidak semestinya membaca daripada buku, anda boleh juga membaca status kawan-kawan di Facebook dan berkongsi yang menarik dengan pasangan. Secara tidak langsung, pasangan anda mengenali kawan-kawan anda.
7. Cuba resipi baru di restoran
Bawa pasangan anda ke restoran yang baru di buka. Sesekali manjakan pasangan anda yang seharian penat bekerja ataupun menguruskan rumah tangga. Bagus juga dijadikan satu hobi sekeluarga.
Apa pun, komunikasi itu penting dalam perhubungan. Cari masa untuk berbual dengan pasangan. Elak memberi tumpuan pada teknologi yang semakin merenggangkan masa berkualiti anda dengan keluarga.