Rakyat

5 Perkara Mesti ‘Check’ Sebelum Beli Ubat & Produk Kesihatan

84
SHARES

“Ramai pulak kawan-kawan yang rekomen aku dengan produk ni. Kalau tengok secara fizikal, memang ada nampak perubahan pada diorang sendiri. Takkan diorang nak tipu kawan pulak kan.”

Sejak pasaran online makin mudah ditembusi, makin ramai juga peniaga dan usahawan yang telah membawa masuk pelbagai produk untuk dijual. Sungguhpun ia menampakkan persaingan sihat dan positif, keadaan ini juga memerlukan kita sebagai pengguna untuk lebih berhati-hati sebelum membeli dan menggunakan apa-apa produk, terutamanya yang dimakan.

Berikut adalah 5 perkara penting yang perlu disemak sebelum membeli sebarang produk kesihatan.

5 Perkara Mesti Semak Sebelum Beli Ubat & Produk Kesihatan

1. Kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia

Menurut portal rasmi Bahagian Perkhidmatan Farmasi  KKM, semua produk farmaseutikal di Malaysia, termasuklah suplemen kesihatan dan persediaan tradisional perlu didaftarkan dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) sebelum dipasarkan.

Terdapat 2 ciri utama yang membuktikan sesebuah produk telah diluluskan oleh KKM iaitu

  • Nombor pendaftaran –  dimulai dengan ‘MAL’, diikuti dengan 8 nombor dan diakhiri dengan huruf
  • Pelekat hologram Meditag yang tulen

Jadi, pastikan 2 perkara ini disemak pada label produk dengan jelas.

Foto kredit: Cawangan Penguatkuasa Farmasi Kelantan

2. Kesahihan Pendaftaran Produk

Bila dah nampak ada nombor yang tertera dan pelekat hologram pada produk, jangan pula terus percaya.

Seeloknya, fahami kategori pendaftaran produk tersebut:

A – Ubat mengandungi racun terkawal

X – Ubat yang tidak mengandungi racun terkawal / OTC

T – Ubat tradisional

N – Suplemen kesihatan

Seterusnya, semak pula kesahihan nombor tersebut di laman web rasmi KKM (Bahagian Perkhidmatan Farmasi) di www.pharmacy.gov.my atau Biro Farmaseutikal Kebangsaan di www.bpfk.gov.my.

3. Sijil Pengiktirafaran Halal Oleh JAKIM

Bagi pengguna Muslim, anda boleh menyemak status halal sesebuah produk dengan melayari terus laman web Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di www.halal.goy.my.

Untuk memudahkan pengguna, JAKIM juga telah melancarkan aplikasi ‘Verify Halal’ yang boleh dimuat turun secara percuma menggunakan Android dan iOS dengan mengimbas kod bar, menaip maklumat produk atau melakukan pencarian mengikut produk, jenama, syarikat, dan negara.

Jika sesuatu produk mengatakan bahawa mereka sedang dalam proses mendapatkan sijil ini, anda tidak perlulah terburu-buru mendapatkannya kerana status sebenarnya masih samar dan tidak diketahui.

4. Kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU)

Menurut AKTA UBAT (IKLAN & PENJUALAN) 1956, adalah menjadi kesalahan jika produk dan perkhidmatan perubatan diiklankan tanpa kelulusan Lembaga Iklan Ubat (LIU).

LIU bertindak menyaring dan memastikan produk-produk perubatan tidak disalaherti dan disalahguna oleh penjual mahupun pengguna. Untuk menyemak kelulusan ini, cari kod seperti ini pada label

Contoh – KKLIU 1234/2005/ABC

makan ubat ketika hamil

Foto Kredit: netdoctor.co.uk

5. Iklan 20 Jenis Penyakit Yang Dilarang

Tahukah anda, sebenarnya produk-produk dilarang mengiklankan sebarang dakwaan bahawa ia dapat menyembuhkan penyakit tertentu, terutamanya penyakit kronik yang perlu mendapat pemantauan doktor secara khusus.

20 jenis penyakit yang tidak boleh diiklankan di bawah AKTA UBAT (IKLAN & PENJUALAN) 1956 adalah:

  • Penyakit buah pinggang
  • Penyakit jantung
  • Kencing manis
  • Sawan
  • Lumpuh
  • Batuk kering
  • Asma / lelah
  • Kusta
  • Barah
  • Pekak
  • Ketagihan dadah
  • Hernia
  • Penyakit mata
  • Tekanan darah tinggi
  • Sakit mental
  • Kemandulan
  • Frigidity
  • Lemah fungsi seks
  • Penyakit venerus
  • Kelemahan urat saraf atau aduan kelemahan lain yang timbul berkaitan hubungan seksual

Memang Ada Produk Yang Bagus, Tapi…

…pertimbangkan sebaiknya sebelum membuat keputusan mengamalkan mana-mana produk kesihatan. Tak salah kita berikhtiar dengan produk-produk kesihatan yang berada di pasaran, namun sebagai pengguna pastikan kita melengkapkan pengetahuan kita dengan maklumat yang penting ini.

Seperkara lagi, jangan lupa maklumkan doktor jika anda sedang mengambil ubat-ubatan yang dipreskripsikan bagi penyakit tertentu. Kadangkala kita tak tahu jika kandungannya memberi reaksi terhadap ubat yang sedang diambil. Takut-takut nanti, lain pula jadinya!

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×