DIY & Kraf

Cara Paling Mudah Buat Play Doh Dengan 5 Bahan Yang ‘Confirm’ Ada Di Rumah Anda

2.2K
reads

Cuti-cuti sekolah atau hujung minggu, mesti seronok kalau dapat buat aktiviti dengan anak. Apa kata kita cuba buat play doh atau tanah liat? Macam-macam cara buat play doh yang kita tengok di internet. Kalau nak ikutkan, tentulah yang homemade ini lebih murah dan selamat, lebih-lebih lagi kalau ada bayi yang suka masukkan benda dalam mulut.

Tapi biasalah, bila dah banyak olahan, makin banyak versi. Ada yang leceh sedikit dan perlu dimasak, ada pula yang guna bahan yang susah nak didapati, contohnya cream of tartar. 

Hari ini, kami kongsikan cara paling mudah oleh Puan Yanie Rosdi. Kenapa ia paling mudah? Sebab prosesnya senang dan kelima-lima bahan yang diperlukan biasanya memang ada di rumah anda.

Cara Buat Playdoh Paling Mudah. Hasilnya Lembut & Tahan Hingga 3 Bulan

Mari kita lihat perkongsian beliau ini selengkapnya.

Bahan-bahan

  • 1 cawan tepung gandum
  • 1/4 cawan garam halus
  • Sedikit minyak masak @ minyak zaitun
  • 3-5 titis pewarna makanan
  • 1/4 cawan air

Cara-cara Membuatnya

1. Campurkan tepung gandum dan garam.

2. Campurkan air, minyak dan beberapa titis pewarna makanan.

3. Uli semua bahan sehingga mendapat doh yang lembut dan tak melekit.

4. Ulang langkah tadi untuk warna yang lain pula.

Beginilah hasilnya. Memang lembut. Kalau dah ada alat-alat untuk tekap, cookie cutter, atau set playdoh, boleh dimainkan bersama. Guna perkakas dapur pun boleh. Buat banyak-banyak pun tak ada masalah. Baru puas anak-anak dapat main!

Cara Menyimpan Playdoh Agar Tahan Lama Dan Tak Cepat Kering

Untuk kekalkan tekstur playdoh ini tiap kali lepas guna,simpan dalam plastik ‘ziplock’ atau bekas kedap udara dan masukkan ke dalam peti ais di bahagian ‘chiller’.

Dengan cara ini, play doh yang dibuat akan kekal lembut, tidak berkulat dan dapat bertahan sehingga 3 bulan lamanya.

Foto Kredit : br.pinterest.com

Banyak Manfaat Bermain Play Doh

Seronok tengok bila anak leka bermain play doh. Macam-macam bentuk yang mereka buat. Secara tak langsung, bermain dengan play doh sebenarnya dapat membantu kemahiran motorik mereka di samping meningkatkan daya kreativiti masing-masing.

Jadi, memang tak rugi buat play doh ini untuk mereka. Selain menjimatkan, dapat juga mengisi masa lapang dengan permainan yang besar manfaatnya. Kalau ibu ayah dapat turut serta, tentulah anak lebih seronok!

 

P/S: Penulis pun dah cuba dan hasilnya memang lembut, tak melekat di tangan. Masih boleh dimainkan macam biasa selepas beberapa hari disimpan dalam ‘chiller’.

 

*Perkongsian asal oleh Puan Yanie Rosdi dan ia diterbitkan semula dengan kebenaran beliau. Untuk sebarang pertanyaan dan lebih banyak perkongsian tips ibu-ibu, boleh follow beliau di SINI.

Yang Popular

To Top