“Ish, kenapalah isteri aku beli banyak buku baby ni. Nak suruh aku ajak baby 6 bulan membaca semua ni? Dia bukannya faham pun… Nanti dia rampas dan koyakkan buku adalah. Buat stres je.”
Kini, semakin banyak alat bantuan mengajar yang telah direka khas agar ia boleh diperkenalkan seawal usia bayi. Namun, seperti yang kita tahu, bayi mempunyai kebolehan yang terhad untuk menerima maklumat, memprosesnya, dan bertindak balas terhadapnya. Malah, ada yang mengecam juga tindakan ‘mengajar’ anak terlalu awal, seolah-olah hingga menyebabkan si kecil tidak cukup bermain dan memperkembangkan kemahiran motoriknya.
Jadi, adakah membaca untuk bayi terbukti faedahnya? Benarkah tanggapan bahawa bayi tidak sepatutnya ‘belajar’ terlalu awal?
5 Kerugian Besar Jika Ibu Bapa Tak Membaca Untuk Bayi
Berikut adalah manfaat luarbiasa apabila anda membaca untuk bayi seawal usia.
1. Bayi Menyenangi Suara Anda Walaupun Tidak Memahaminya
Pertama sekali, penting untuk anda faham bahawa tindakan ‘membaca’ dengan bayi bukanlah bermaksud kita mengajar mereka mengeja, mengenal huruf, dan sebagainya. ‘Membaca’ dalam konteks ini adalah perbuatan menerangkan sesuatu, bercerita, dan berkomunikasi secara langsung dengan bayi.
Buku hanyalah digunakan sebagai medium untuk kita mempunyai idea untuk menceritakan sesuatu kepada bayi. Sungguhpun bayi tidak memahaminya, mendengar suara anda sudah cukup memberikan mereka rasa selesa dan seronok mendengarnya.
Mungkin ada ibu bapa yang kekok apabila mahu berbual dengan bayi kerana mereka belum boleh menunjukkan kefahaman atau memberi respon. Tetapi dengan adanya buku cerita, setidaknya kita mampu untuk bercerita dan memupuk perasaan lebih mesra dengan mereka.
2. Kita Cenderung Menggunakan Bahasa Yang Baik
Laporan menunjukkan bahawa bayi yang dibesarkan dalam keadaan di mana mereka selalu dibacakan buku cerita dan sering berkomunikasi akan memiliki penguasaan kosa kata yang lebih banyak.
Purata sebuah buku kanak-kanak mengandungi 50% lebih banyak perkataan yang unik berbanding TV ataupun perbualan di antara 2 orang dewasa yang berpendidikan tinggi. Apabila ibu bapa sendiri didedahkan dengan bahasa yang baik, kita juga akan cenderung untuk menggunakan perkataan yang lebih baik apabila bercakap dengan bayi.
3. Logik & Emosi Memberi Impak Besar Kepada Perkembangan Otak Bayi
Menerusi The Guardian, pakar menemui perbezaan yang amat ketara pada perkembangan bayi yang dibacakan buku seawal usia 18-24 bulan. Aktiviti membaca memenuhi keperluan bayi untuk memahami emosi, mengingat, memahami bagaimana sesuatu berfungsi, serta mengenal dan membanding perkataan atau gambar.
Penglihatan, pendengaran, dan komunikasi, semua ini bertindakbalas antara satu sama lain, dan apabila ianya sering diulang-ulang, sudah tentulah ia memberi impak yang besar kepada perkembangan otak bayi.
Dalam sebuah ujikaji yang dilaporkan oleh CNN pula, penyelidik memerhatikan MRI brain scan (fMRI) kepada anak berusia 3-5 tahun. Mereka mendapati apabila anak-anak ini dibacakan buku cerita, bahagian otak mereka yang terlibat dalam memahami maksud perkataan, logik, dan memori dilihat menjadi aktif. Neuron-neuron ini sentiasa berhubung dan akan lebih berkembang selari dengan kekerapan ibu bapa membaca buku untuk bayi atau anak kecil tersebut.
4. Memperkenalkan ‘Positive Experience’ Terhadap Buku
Bayi suka gigit buku? Biarkan saja, asalkan anda memilih buku yang sesuai. Bayi suka melempar buku dan tak mahu beri perhatian? Tak mengapa kerana secara puratanya bayi hanya boleh memberi tumpuan selama 1-2 minit sahaja atau kurang daripada itu.
Oleh itu, iringi aktiviti membaca dengan bermain, bergurau, dan berbual dengan bayi. Apabila mereka merasakan pengalaman ini semasa dikelilingi oleh buku, ia akan memberi mereka ‘positive experience’ dan secara tidak langsung memupuk tabiat cintakan buku yang berkekalan hinggalah mereka dewasa.
5. Lebih Cepat Membaca Dan Menulis
Sebuah penelitian terkini yang telah menunjukkan bahawa aktiviti membaca untuk bayi mempunyai manfaat jangka masa panjang yang dapat dilihat dalam tempoh 4 tahun, iaitu sekitar tempoh apabila mereka mula bersekolah. Anak-anak ini lebih cepat mengenal huruf, membaca dan ada yang mampu menulis seawal usia 4 tahun.
Kajian yang dibentangkan ini mengukuhkan lagi saranan American Academy of Paediatrics yang menggalakkan ibu bapa membacakan buku untuk bayi seawal mereka dilahirkan. Dr. Pamela High yang mengetuai kajian tersebut menegaskan bahawa ibu bapa tidak perlu risau jika anak mereka tidak dapat menghabiskan 1 buku dalam 1 masa. Apa yang penting, ia dilakukan dengan penuh keseronokan dan bukannya rasa terbeban. Apabila ibu bapa suka meluangkan masa untuk membaca, barulah anak-anak akan dapat berkongsi rasa keterujaan tersebut.
‘Membaca’ Biar Kena Caranya
Sememangnya, anak kecil perlu diperkenalkan dengan persekitaran yang responsif. Anak kecil perlu bermain dan meneroka. Kalau anda kreatif, pelbagai aktiviti motorik dan outdoor sekalipun dapat dihubungkaitkan dengan membaca!
Ingatlah bahawa anak kecil bukan dilahirkan sebagai ‘ulat buku’, tetapi mereka dilahirkan dengan sifat ingin tahu dan suka belajar perkara baru. Membaca untuk bayi adalah sebuah aktiviti yang sihat asalkan ia dilakukan bersesuaian dengan caranya, bukannya dalam keadaan memaksa.