Nur

Dua Cara Mandikan Jenazah Mangsa Kebakaran, Elak Kulit Melepuh Tertanggal

4
SHARES
cara mandi jenazah kebakaran

Baru-baru ini, kemalangan melibatkan sebuah pesawat di Elmina Seksyen U16, Shah Alam yang meragut 10 nyawa, telah membuka mata ramai pihak berkenaan pelbagai isu. Hal ini termasuklah, cara mandi jenazah kebakaran kerana dikhuatiri akan menyebabkan kulit mangsa yang melepuh tertanggal apabila dimandikan.

Rentetan itu, bagi menjawab persoalan berkenaan kaedah menguruskan jenazah kebakaran yang berlegar di minda semua, mari ikuti penjelasan yang pernah dikeluarkan oleh bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Baca juga: Cara Buat Solat Sunat Tasbih, Ini Panduan & Langkah Yang Jelas. Jom Beramal!

CARA MANDI JENAZAH KEBAKARAN

cara mandi jenazah kebakaran

Gambar: mstar

Kaedah memandikan mayat mangsa kebakaran

Hukum asal atau hak bagi jenazah adalah wajib dimandikan, samada ianya terbakar ataupun tidak.

Pandangan dalam mazhab Syafie menyatakan, sekiranya terdapat keuzuran seperti tahap kebakaran yang amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), tidak diperlukan air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, digantikan dengan tayammum.

Dalil bagi para fuqaha’ adalah qias kepada keadaan orang yang hidup. Sekiranya seseorang yang sihat berubah daripada wudhu’ dengan air kepada tayammum disebabkan keuzuran tertentu, begitu juga bolehnya ditayammumkan jenazah kerana keuzuran pada jenazah itu sendiri.

Imam Al-Nawawi rahimahullah apabila menjelaskan hal ini berkata:

Apabila terdapatnya keuzuran untuk memandikan mayat disebabkan ketiadaan air, atau jenazah terbakar, yang mana apabila ia dimandikan akan menyebabkan daging terpisah maka ia tidak dimandikan bahkan ditayammum. Dan tayammum ini wajib kerana ia adalah proses penyucian yang tidak berkaitan dengan menghilangkan najis maka wajib untuk beralih kepadanya (tayammum) ketika tidak mampu menggunakan air sama seperti mandi junub. Lihat Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab (5/178).

Baca juga: Kalau Bulu Kucing Melekat Pada Pakaian, Badan Atau Sejadah…Sah Atau Tidak Solat?

Tambahan lagi, dalam kitab lain, Imam al-Nawawi juga mengulas hal yang sama. Menurutnya,

Jikalau seseorang Islam terbakar sekira-kira jika dia dimandikan dia akan hancur lumat, dia tidaklah dimandikan, bahkan cukuplah ditayamumkan.” Lihat Raudhah al-Talibin,( 2/108).

Begitu juga Syeikh Nawawi al-Bantani rahimahullah menyebutkan:

“Dan mayat yang tidak dapat dimandikannya kerana ketiadaan air atau seumpamanya, seperti jenazah yang terbakar jika dimandikan akan hancur, maka ia ditayammumkan.” Rujuk Nihayah aI-Zain (hal. 151)

Kesimpulannya

Cara untuk memandikan jenazah mangsa kebakaran hendaklah dilihat kepada keadaan mayat mangsa berkenaan iaitu:

  • Sekiranya kebakaran yang dialami pada mayat itu tidak parah atau dalam erti kata lain terlalu sedikit, dan mayat berkenaan boleh terkena air (yakni tidak menjejaskannya), maka dalam keadaan ini, dia hendaklah dimandikan dengan menggunakan air sebagaimana jenazah yang lain. Pada masa yang sama hendaklah mengambil kira juga keadaan mayat. Justeru kami mencadangkan agar memandikannya dengan cara ringkas yang mencapai maksud mandi dan terlepas daripada dosa iaitu dengan menghilangkan najis yang mungkin terdapat di badan, kemudian meratakan air ke seluruh badannya.
  • Akan tetapi jika kebakaran yang dialami oleh mayat itu amat parah iaitu tahap ketiga (deep burn), di mana tidak boleh terkena air kerana dikhuatiri kulit yang melepuh akan tertanggal dan menyukarkan lagi keadaan. Maka, jenazah itu tidak dimandikan, sebaliknya wajib digantikan dengan tayammum. Hal ini kerana keadaan atau situasi yang dialami oleh mayat itu termasuk dalam keuzuran. Inilah juga pendapat dalam mazhab Syafi‘i.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

Baca juga: Doa Keluarga Bahagia, Elok Amalkan Walaupun Belum Ada Zuriat Atau Masih Bujang

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan / Maktabah AlBakri

FT Image: Remaja

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×