“Berkesan ke pil perancang ni? Kenapa kawan aku makan tapi dia boleh ‘ter’mengandung juga?”
Bukan nak menolak rezeki, tapi kebanyakan wanita dinasihatkan makan pil perancang disebabkan alasan kesihatan. Contohnya ibu yang baru lepas bersalin, terutamanya secara Caesarean perlu menjarakkan kehamilan selama sekurang-kurangnya 2 tahun sebelum hamil semula. Maka, pengambilan pil perancang atau pil hormon ini adalah salah satu kaedah agar ibu dapat pulih daripada pembedahan dan lebih bersedia untuk kehamilan seterusnya.
Tapi, tak jarang juga kita dengar ada yang tetap ‘terbabas’ dan ‘termengandung’ juga walaupun mengambil pil perancang. Dari segi saintifiknya, ada beberapa perkara yang mungkin menjadikan pil perancang anda kurang berkesan.
5 Punca Pil Perancang Kurang Berkesan
1. Lupa Makan Ikut Waktu
Salah satu kesilapan ramai wanita adalah tidak mengambil pil perancang secara berdisiplin setiap hari. Sebab itulah anda dianjurkan agak menetapkan alarm atau sebarang peringatan untuk mengingatkan anda mengambilnya pada masa yang sama setiap hari.
Jika anda ter‘missed’ sekali, makan sebiji pil sebaik saja anda teringat. Tapi sekiranya anda dah terlupa makan lebih daripada 2 kali berturut-turut, sebaiknya elakkan hubungan intim dalam masa 7 hari yang berikut. Jika tidak, gunakan kaedah perancang sokongan seperti kondom semasa melakukan hubungan intim dalam tempoh tersebut.
Apapun, penting untuk difahami bahawa tak semestinya kalau terlupa makan sebiji akan terus mengandung, namun yang pastinya ia akan meningkatkan kebarangkalian anda untuk hamil.

Foto Kredit: lifesitenews.com
2. Cara Penyimpanan Yang Salah
Pil perancang atau sebarang ubat-ubatan yang terdedah kepada suhu panas yang melampau boleh menjejaskan keberkesanannya. Jadi, simpankan pil perancang anda di tempat yang dingin dan elakkan menyimpannya di dalam kereta.
Selain itu, jangan lupa periksa tarikh luputnya juga.

Foto Kredit: Joyce Hesselberth via New York Times
3. Pengambilan Sesetengah Ubat-ubatan
Ubat-ubatan yang biasa seperti ubat demam, selsema, dan batuk biasanya tidak akan menjejaskan pil perancang anda. Kajian mendapati hanya sesetengah antibiotik dan ubat anti-fungal yang khusus didapati mampu memberi kesan kepadanya.
Namun sebagai langkah berjaga-jaga, maklumkan doktor bahawa anda sedang mengambil pil perancang secara rutin.

Foto Kredit: netdoctor.co.uk
4. Teh Herba / Makanan Detox
Sebarang jenis makanan yang memiliki fungsi pelawas seperti teh herba atau suplemen diet yang bersifat detox mungkin boleh memberi kesan kepada keberkesanan pil perancang yang anda ambil.
Menurut laman kesihatan WebMD, antara herba yang perlu dielakkan adalah alfalfa, pil bawang putih, dan flaxseed. Oleh itu, pastikan anda mendapatkan nasihat doktor sebelum menggunakan produk-produk herba tersebut.

Foto Kredit: sublimemagazine.com
5. Muntah & Cirit Birit
Jika anda tak sihat dan sedang mengalami muntah-muntah atau cirit birit, seeloknya anda turut menggunakan kaedah merancang kehamilan sokongan selain pil perancang.
Ini kerana, jika anda muntah dalam masa 2 jam selepas mengambil pil perancang, kemungkinan besar ianya tidak dapat diserap sepenuhnya oleh tubuh. Maka, kebarangkalian untuk hamil adalah lebih tinggi. Begitu juga apabila anda sedang mengalami cirit-birit yang melebihi 24 jam.

Foto Kredit: parentables.howstuffworks.com\
Rujuk Pada Paket Pil Perancang Masing-masing
Setiap jenama pil perancang mempunyai kandungan yang mungkin berbeza. Di Malaysia, antara jenama yang popular adalah Noriday, Yasmin, dan Mercilon. Pil-pil yang anda beli mungkin mengandungi 21,28 ataupun 91 biji
Jadi, ambil perhatian pada labelnya dan teliti arahannya dengan betul. Jangan cuai ya!