Sihat

Bukan Di Muka Saja, Ini Punca Naik Jerawat Badan & Cara Mengatasinya

55
SHARES
jerawat badan

Malu dengan suami / ahli keluarga serumah bila ada jerawat badan ni… Ada yang timbul besar-besar sampai buatkan kulit rasa sakit!

Jerawat yang tumbuh di merata tempat seperti bahagian belakang badan, bahu, dada dan paha ini juga boleh menyebabkan kita kurang keyakinan.

Bagaimana nak elakkan jerawat pada badan, ya? Jom kita kenali cara rawatan dan petua untuk hilangkan jerawat pada badan.

Bagaimana Jerawat Badan Tumbuh Banyak Sangat?

Seperti jerawat yang tumbuh di muka, jerawat badan juga timbul disebabkan permukaan pori-pori kulit yang tersumbat akibat sebum dan sel kulit mati yang terkumpul di permukaan kulit.

Menurut pakar dermatologi, Dr Rita Linkner, ia berlaku kerana kesemua bahagian yang disebut itu memiliki kelenjar minyak yang dipanggil sebaceous yang merupakan akar penyebab jerawat tumbuh.

Apa yang boleh menyumbang kepada masalah ini antaranya termasuklah:

  • Kebiasaannya, individu yang mengalami masalah jerawat pada wajah mempunyai risiko lebih tinggi untuk jerawat tumbuh pada bahagian badan mereka.
  • Para atlet lebih rentan mengalami masalah ini disebabkan sering berada dalam keadaan berpeluh selain mengalami lebih banyak tekanan yang meningkatkan risiko jerawat pada badan.

     

  • Perubahan hormon seperti ketika hamil, menopause, datang haid juga boleh menyebabkan masalah itu.

     

  • Selain itu, penggunaan sabun yang kurang sesuai juga boleh menyebabkan masalah ini berterusan sehingga meninggalkan kesan parut.

jerawat badan

Kredit Foto : usdermatologypartners.com

Rawatan Untuk Jerawat Badan

Bagi menghalang pembentukan jerawat baru di badan, anda boleh dapatkan krim atau gel anti-jerawat yang mengandungi bahan seperti benzoyl peroxide, resorcinol, salicylic acid dan sulfur.

Anda juga boleh dapatkan sabun mandian yang mengandungi salicylic acid yang bersifat antibakteria dan menghalang pori-pori daripada tersumbat.

 

5 Tips Untuk Elakkan Jerawat Badan

Di samping amalkan produk anti jerawat atau petua menggunakan bahan semulajadi, anda juga digalakkan untuk ikuti tips ini untuk elakkan jerawat tumbuh di badan.

1. Mandi Selepas Bersenam

Segeralah mandi selepas bersenam bagi mengelakkan peluh dan kotoran terbiar lama di permukaan kulit. Badan yang berpeluh juga boleh menyebabkan jerawat mudah tumbuh. Jangan lupa untuk basuh sekali pakaian senaman yang sudah terkena peluh.

Jika cuaca panas atau anda jenis kuat berpeluh, anda juga perlu kerap mandi dan tukar pakaian bagi elakkan jerawat tumbuh pada badan.

Kredit Foto : eatthis.com

2. Kerap Tukar Cadar

Selain pakaian, anda juga perlu rajin ganti cadar bagi mengelakkan bakteria dan sel kulit mati di katil anda.

3. Gunakan Skrub

Untuk membuang sel kulit mati dan lebihan minyak pada badan, anda juga boleh amalkan penggunaan skrub yang mengandungi salicyclic acid. Pilihlah skrub yang bertekstur halus dan lembut bagi mengelakkan keradangan pada kulit.

Kredit Foto : thebodyshop.com

4. Elakkan Rambut Panjang Terkena Kulit

Rambut panjang yang dibiarkan lepas dan kena pada kulit juga boleh menyumbang kepada jerawat badan lebih-lebih lagi ketika cuaca panas. Rajin-rajinlah membasuh rambut dan ikat bila sudah kering. Bila anda cuci rambut pula, elakkan shampoo dan perapi rambut terkena pada kulit, ya! Bahan-bahan dari produk rambut juga boleh menyebabkan pori-pori kulit tersumbat.

5. Amalkan Pemakanan Berkhasiat

Kajian mendapati makanan yang tinggi nilai glisemik (GI) boleh menyebabkan paras gula meningkat dan merancakkan lagi pembentukan jerawat pada badan. Oleh itu, kurangkan pengambilan karbohidrat yang tinggi nilai glisemik seperti roti putih, pasta dan nasi.

Untuk mendapatkan kulit yang sihat, lebihkan makanan yang berkhasiat seperti sayur-sayuran, buah-buahan, protein dan bijirin penuh.

Kredit Foto : thefitscene.com

Bagi mengatasi masalah jerawat anda boleh gunakan produk anti jerawat dalam bentuk gel, krim atau sabun mandian.

Anda juga boleh mencuba petua hilangkan jerawat menggunakan bahan semulajadi seperti minyak kelapa, kunyit dan lidah buaya.

Namun, jika anda mempunyai masalah jerawat badan yang teruk, anda dinasihatkan untuk merujuk kepada pakar kulit untuk rawatan yang terbaik.

Di samping itu, anda perlulah amalkan pemakanan sihat, rajin menjaga kebersihan badan dengan kerap mandi dan menukar pakaian lebih-lebih lagi selepas bersenam atau ketika cuaca panas.

 

5 Petua Menghilangkan Jerawat Badan

Selain menggunakan produk anti jerawat, anda juga boleh gunakan bahan-bahan semulajadi untuk menghilangkan jerawat pada badan.

1. Minyak Tea Tree

Produk berasaskan minyak tea tree sangat popular dalam merawat jerawat di wajah dan badan.

Selain membeli produk, anda juga boleh menggunakan minyak pati tea tree dan sapukannya pada badan.

Caranya adalah seperti berikut :

1. Campurkan 7 titik minyak tea tree dengan minyak kelapa.
2. Sapukan pada bahagian yang bermasalah.
3. Biarkan semalaman dan cucikan keesokan harinya.
4. Anda boleh ulangi sehari sekali bagi mengatasi masalah jerawat.

 

2. Lidah Buaya

Gel lidah buaya mengandungi bahan anti-radang semulajadi dan berkesan dalam melawan pembentukan bakteria.
Caranya adalah seperti berikut :

1. Potongkan daun lidah buaya untuk mendapatkan lendirnya sebanyak 1 sudu.
2. Sapukannya pada kawasan berjerawat.
3. Biarkan selama 30 minit kemudian bilas dengan air bersih.
4. Anda boleh ulangi cara ini 2 kali sehari untuk dapatkan kesan segera.

3. Jus Lemon

Jus lemon sangat terkenal sebagai bahan semulajadi yang berkesan dalam menghapuskan bakteria dan bersifat antiradang.

Anda boleh gunakan jus lemon dengan cara berikut :

1. Perahkan jus daripada setengah biji lemon.
2. Rendamkan kapas pada jus lemon dan sapukannya pada kawasan berjerawat.
3. Biarkan selama 30 minit kemudian bilas sehingga bersih.
4. Untuk kesan yang segera, ulangi penggunaan jus lemon pada kulit sehari sekali.

4. Kunyit

Kunyit mengandungi antioksidan yang sangat baik untuk kesihatan kulit di samping mencerahkan dan menghalang pembentukan bakteria.

Kunyit juga sering digunakan sebagai rawatan semulajadi untuk merawat masalah kulit seperti ekzema dan psoriasis serta mengurangkan keradangan akibat jerawat.

Caranya penggunaan kunyit untuk merawat jerawat badan adalah seperti berikut :
1. Campurkan serbuk kunyit dengan minyak kelapa.
2. Sapukan pada kawasan berjerawat di badan.
3. Biarkan selama 15 minit kemudian bilas dengan air bersih.

5. Minyak Kelapa

Minyak kelapa pula mengandungi asid lemak sihat yang bersifat antiradang dan anibakteria. Untuk mendapatkan kulit yang sihat, anda boleh amalkan sesudu minyak kelapa dara setiap pagi. Anda juga boleh sapukan minyak kelapa di kawasan berjerawat seperti berikut :

1. Tuangkan sesudu minyak kelapa dara di kawasan bermasalah.
2. Urutkan dan ratakan minyak di kawasan tersebut dan biarkan selama 30 minit.
3. Bilas dengan air bersih dan sabun.
4. Ulangi 1 atau 2 kali sehari untuk kesan yang pantas.

NOTA: Pastikan anda mencuba kesemua bahan di atas dalam kuantiti kecil terlebih dahulu untuk memastikan tiada alahan.

Sumber rujukan :

  • Home Remedies For Back Acne + Causes, Treatment, And Prevention Tips
    https://www.stylecraze.com/articles/how-to-get-rid-of-back-acne/
  • Back Acne (‘Bacne’): Why Pimples Pop Up, and How to Prevent and Get Rid of Them : https://www.everydayhealth.com/acne/back-acne-treatment.aspx
  • How to Get Rid of Back Acne : https://www.healthline.com/health/how-to-get-rid-of-back-acne#_noHeaderPrefixedContent
  • 6 Natural Remedies for Acne That Actually Work, According to Experts : https://www.byrdie.com/natural-remedies-for-acne

 

MASAKAN TERBARU DARIPADA MYRESIPI

CERITA SENSASI DARIPADA BERITA HARIAN

To Top
SKIP THIS AD ×